Thursday, December 04, 2008

Kembali Berkhidmat

Tugas rasmi pertama di majlis rasmi

Pn. Pengetua bersyair sebelum berucap

Jamuan akhir tahun 2008 Kelab Guru dan Staf

Guru2 lelaki sentiasa ceria

Setahun sebelum saya pulang ke Malaysia saya tidak henti2 bermohon pada Yang Maha Kuasa dalam menentukan arah tuju karier saya sebagai guru agama apabila saya kembali ke tanahair. Saya selalu bermunajat kepadaNYA kerana saya berada dalam kebingungan dalam menentukan hala tuju saya setelah saya berkhidmat selama 6 tahun 10 bulan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ) dan bercuti panjang selama 3 tahun 4 bulan kerana menemani isteri menyambung pengajian phdnya di Oxford University.

Sebelum saya terbang ke UK saya telah dihubungi oleh beberapa orang pentadbir sekolah yang berminat mendapatkan khidmat saya apabila saya pulang ke Malaysia. Susah bagi saya untuk membuat keputusan kerana semuanya belum pasti ketika itu dan saya pun sukar untuk menentukan apa yang terbaik untuk karier saya. Jadi saya buat keputusan untuk terus bermunajat dan bertawakkal kepada Ilahi agar dia dapat membuat keputusan yang terbaik bagi saya dan keluarga.

Apa yang pasti ialah kami sekeluarga akan mengalami saat getir dalam hidup apabila saya terpaksa pulang awal kerana cuti saya sudah tamat sedangkan perjuangan isteri saya di Oxford masih belum selesai. Memang teramat susah untuk saya membuat keputusan. Akhirnya apabila pulang ke Malaysia saya menghubungi KPM dan mereka mengarahkan saya melaporkan diri dengan kadar segera ke Pejabat Pelajaran Negeri Selangor, berdasarkan rekod saya yang terakhir sebelum bercuti iaitu di bawah Negeri Selangor. Saya hanya melaporkan diri tanpa menghubungi kenalan2 yang ada di KPM. Saya berserah padaNYA untuk menentukan di mana saya akan ditempatkan bertugas. Biarlah Allah SWT yang menentukan kerana hanya Dia yang tahu apa yang sepatutnya dan apa yang terbaik bagi saya, isteri dan anak2.

Di Sektor Perkhidmatan Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor saya telah dipertemukan dengan pegawai yang akan menguruskan penempatan saya. Berdebar2 dan risau sangat saya ketika itu kerana mungkin saya akan ditempatkan ditempat yang tidak sepatutnya, terutama yang jauh dari rumah saya di Dengkil, Sepang. Bertambah lagi debaran saya apabila saya diberitahu bahawa kawasan Sepang iaitu daerah saya semuanya tiada kekosongan tempat untuk saya di sekolah. Memandangkan waktu penempatan saya yang tidak sesuai iaitu Bulan September maka susah untuk mencari sekolah yang ada kekosongan. Lainlah sekiranya saya ditempatkan pada hujung tahun kerana pada waktu hujung tahun atau akhir penggal persekolahan akan berlaku proses pertukaran yang melibatkan semua guru di seluruh Malaysia.

Memang sukar pada waktu itu. Pegawai tersebut pun tidak dapat mengusahakan saya untuk berada di sekolah yang berdekatan dengan rumah. Oleh kerana saya merupakan seorang guru yang telah lama berkhidmat, saya diberi pilihan oleh pegawai tersebut untuk memilih sendiri sekolah yang paling dekat dengan rumah yang terdapat kekosongan guru agama. Akhirnya setelah berbincang dengan pegawai berkenaan saya memilih sekolah yang saya tak pasti di mana tapi saya kenal sangat dengan kawasan tersebut iaitu Bandar Baru Bangi. Kawasan ini saya dah biasa sangat kerana saya pernah belajar di peringkat Sarjana dulu di UKM Bangi. Akhirnya saya berserah pada Allah SWT dan saya memilih SMK Jalan Reko. Yang kelakarnya apabila saya bertanya pada Pegawai JPN Selangor mereka mengatakan sekolah ini di Bangi tapi apabila saya bertanyakan penduduk di kawasan tersebut mereka mengatakan itu kawasan Kajang. Bagi saya sekolah itu berkongsi kawasan kerana apabila saya ke sana saya dapat melihat kawasan depannya termasuk dalam Daerah Kajang tetapi kawasan tepi dan belakangnya termasuk dalam Daerah Bandar Baru Bangi Selangor. Saya tak pernah sampai ke sekolah dan kawasan ini dan tak termimpi akan berkhidmat di situ.

Mula2 saya agak kecewa kerana sekolah tersebut bukannya sekolah idaman saya. Jauh sekali sekolah pilihan saya kerana saya ada banyak pilihan lain yang lebih terkenal dan mungkin lebih sesuai bagi saya pada pendapat saya. Tapi saya akur dengan pilihan Yang Maha Esa. Walaupun agak sedih tapi saya sedar dan insaf kerana DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk saya dan keluarga. Sudah setahun lebih saya bermunajat dan bertawakkal padaNYA kenapa sekarang saya tidak boleh menerima ketentuanNYA. Astaghfirullahal 'azim.

Kini setelah berkhidmat di sana selama 3 bulan, baru saya sedar bahawa inilah yang terbaik untuk saya yang telah lama bercuti dan semuanya seolah2 bermula dari awal kembali. Juga sesuai untuk isteri saya yang masih di perantauan yang tidak dapat membantu saya di Malaysia dan amat sesuai dengan keadaan saya yang akan menguruskan anak2 seorang diri tanpa bantuan isteri tercinta bermula pada Bulan Januari 2009 nanti serta amat sesuai dengan anak2 saya yang akan bersekolah di Seri Asyesha School di Bandar Baru Bangi. Maka dalam situasi begini DIA meletakkan saya di sebuah sekolah yang amat sesuai dengan keadaan semasa kami.

Sekolah ini bukanlah sekolah yang terbaik dan terkenal. Daerah Kajang dan Bangi pun bukannya dua daerah yang mengenali saya. Saya lebih dikenali di kawasan Sepang ke Nilai dan Seremban dan juga di Wilayah Persekutuan Putrajaya serta di Cyberjaya. Apabila saya balik ke Malaysia sahaja, minggu pertama lagi pihak pentadbir Sekolah Alam Shah sudah menghubungi saya untuk mengimamkan solat Tarawih di Masjid SAS, tapi saya terpaksa menolak kerana saya terlalu sibuk dan penat dengan urusan keluarga. Begitu juga dengan masjid dan surau yang menghubungi saya untuk mengisi slot kuliah maghrib dan membaca khutbah Jumaat di tempat mereka. Semuanya saya terpaksa tolak kerana keadaan semasa keluarga saya tidak mengizinkan saya untuk membantu mereka semua. Nasib baiklah SMK Jalan Reko dan penduduk di sekitar Bangi dan Kajang tidak mengenali saya dan tidak tahu kelebihan dan keupayaan saya, maka dapatlah saya berehat dan bertenang kerana saya perlu menguruskan rumahtangga dan anak2 di Malaysia sendirian tanpa bantuan isteri yang masih di Oxford. Buat sementara waktu ini saya tidak mampu untuk berkhidmat lebih kepada masyarakat. Maafkan kelemahan saya.

Kini saya sangat selesa di sini dan saya terpaksa menolak ketepi dahulu daripada memikirkan untuk menerima mana2 tawaran yang lebih baik dan daripada berpindah ke sekolah2 yang memerlukan khidmat saya terutama di W.P. Putrajaya. Biarlah saya menyorokkan diri dan merendahkan diri dahulu agar saya lebih selesa dan mempunyai banyak masa dengan anak2 yang terpaksa berpisah dengan mama mereka. InsyaAllah apabila keadaan keluarga saya sudah kembali normal saya akan menilai kembali kedudukan saya, bermunajat dan bermuhasabah dalam usaha menentukan yang terbaik untuk karier saya, keluarga dan masyarakat. Tak lama lagi kan Sayang...........?

Wassalam