Tuesday, July 19, 2011

PERJUANGAN DITERUSKAN.........

Bila saya berpijak di bumi SMKPP9(2) saya tak pernah rasa yang saya akan lama di sini, kenapa? Kerana khidmat saya di mohon oleh beberapa sekolah lain. Tapi kini sudah 2 tahun lebih saya di sini. Alhamdulillah.

Bila saya masuk ke sini banyak cerita negatif yang saya dengar tentang sekolah ini dari semua sudut dan dari semua segi yang melibatkan seluruh sekolah dan warganya. Tak banyak cerita positif yang saya dapat.

Maka saya kira saya bermula dari kosong. Satu persatu saya susun strategi untuk membalas kepercayaan Tuan Haji Timbalan Pengarah dan isteri dan menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan.

Dari awal saya memulakan dengan membuka fail-fail yang sepatutnya ada di setiap sekolah dan mengemaskini apa yang diperlukan oleh seorang Ketua Guru Disiplin. Alhamdulillah berjaya.

Seterusnya saya menumpukan sepenuh perhatian, masa dan tenaga kepada pelajar-pelajar kelas belakang yang biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang berisiko sederhana dan tinggi.

Setahun saya bergelumang dengan pelbagai masaalah mereka akhirnya saya berjaya pulihkan masaalah disiplin sekolah dengan cara tersendiri dan juga bantuan beberapa orang guru lain.

Siapa yang tahu tentang sekolah ini, mereka akan lebih faham keadaan sekolah ini dulu dan sekarang. Kini sekolah saya amat berjaya dalam semua aspek samaada kurikulum, kokurikulum, disiplin dan sahsiah pelajar.

Nampaknya pengurusan baru di sekolah ini berjaya membawa sekolah ini ke tahap yang boleh dibanggakan di Putrajaya. Saya hanya melihat dari sudut yang positif sahaja. Hendak mencari yang negatif memang mudah, tapi itu bukan cara saya.

Selepas setahun di sini, masaalah disiplin dan sahsiah di bawah tanggungjawab saya dapat saya uruskan dengan baik sehingga saya mendapat anugerah dari PPWPP

Masuk 2011 sahaja saya cuba lebih proaktif dengan cara melahirkan pemimpin pelajar yang berkualiti dari sudut dalaman dan luaran. Saya lebih menumpukan kepada pelajar-pelajar dari kelas yang cemerlang.

Alhamdulillah, saya berjaya melahirkan ramai pemimpin pelajar sekolah dengan sokongan pentadbir dan bantuan rakan-rakan guru yang lain. Semua pelajar ini berkualiti dan manjadi harapan ramai guru-guru dalam banyak perkara.

Kini saya rasa sudah sampai masanya saya hentikan semua ini dan membuat sesuatu yang berbeza. Mungkin saya sudah tidak releven sebagai Ketua Guru Disiplin. Hati saya semakin tua semakin lembut. Jiwa saya lebih menyayangi dari memarahi dan menghukum pelajar.

Saya cuba untuk melepaskan semua ini. Namun saya masih gagal dan mungkin pihak pentadbir belum menemui pengganti saya yang sesuai. Saya bukanlah hebat sangat cuma saya sentiasa mencuba untuk melakukan sesuatu yang berlainan dan terbaik.

Saya harap DIA dapat memberikan yang terbaik untuk menggantikan saya dan membantu sekolah ini ke arah yang lebih cemerlang. Jika berlainan taqdirNYA maka saya akan tetap di sini melakukan perkara yang sama setiap hari.