Saturday, August 08, 2009

Dari Sarawak Ke Putrajaya

Sibuk betul saya sejak berpindah ke Putrajaya. 01hb Jun yang lepas saya telah berpindah ke Putrajaya. Banyak cerita disebalik perpindahan kali ini. Sedikit sebanyak telah saya tulis sebelum ini. Kini saya berada di sekolah yang keenam dalam karier saya dalam tempoh 7 tahun lebih perkhidmatan ( 11 tahun sebelum ditolak 3 tahun lebih saya bercuti tanpa gaji ).

Setelah berbagai usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak yang berminat mendapatkan perkhidmatan saya telah gagal. Akhirnya dengan sentuhan ajaib dari orang yang paling berkuasa di Pejabat Pelajaran Putrajaya saya telah ditempatkan di sekolah menengah di mana isteri beliau yang menjadi pengetua. Terima kasih Tuan Haji. Maka kembalilah saya diberi kepercayaan sebagai Ketua Guru Disiplin tugas yang memang menjadi kepakaran saya di mana sahaja saya bertugas.

Ramai yang bertanya kenapa walaupun masih baru beberapa bulan di Kajang/Bangi saya sudah dapat bertukar ke Putrajaya, malah Putrajaya merupakan kawasan yang susah untuk masuk. Jawapan saya mudah sahaja. Cuba tengok rekod perkhidmatan saya yang berada di 6 sekolah dalam masa 7 tahun yang bermula Dari Sarawak akhirnya ke Putrajaya.

Saya tidak ada kroni. Tak ramai pembesar dalam istana pendidikan ini yang saya kenal. Tapi saya bersyukur kerana hasil kerja saya sebagai Guru Pendidikan Islam, Pendakwah Agama dan Ketua Guru Disiplin sentiasa dihargai oleh mereka-mereka yang faham tentang perjuangan dalam bidang pendidikan.

Dari dulu saya memang sentiasa ditawarkan tempat di sekolah-sekolah elit yang berminat dengan hasil kerja saya. Saya juga lebih berminat bekerja dengan pengetua-pengetua yang faham cara saya bekerja dan pandai menghargai saya. InsyaAllah mereka biasanya tidak kecewa dengan susah payah mereka mendapatkan saya.

Saya masih ingat bagaimana bekas pengetua SMK Cyberjaya terpaksa bersusah payah memandu kereta ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menarik saya dari Bandar Baru Nilai. Akhirnya dia berjaya, cuma jodoh saya tak panjang kerana saya terpaksa menemani keluarga ke Oxford, England.

Dulu pun ada 3 buah Sekolah Berasrama Penuh cuba mendapatkan saya ke sekolah mereka. Tapi rezeki saya tidak di SBP. Ada sahaja halangan yang menghalang saya dari ke SBP. Tapi saya bersyukur walaupun rezeki saya masih di sekolah biasa saya tetap dapat meneruskan usaha dakwah saya dengan cemerlang.

Baru-baru ini setelah sebulan saya di Putrajaya, sekali lagi saya mendapat tawaran yang sangat hebat iaitu saya ditawarkan jawatan penolong kanan di salah sebuah sekolah yang paling hebat di Malaysia walaupun dari segi kekananan untuk perjawatan saya masih dikira mentah dalam dunia pendidikan.

Namun kali ini saya terlepas peluang yang hebat ini. Hanya Dia yang tahu apa yang ditaqdirkan kepada saya pada masa akan datang. Saya pasrah dan bersyukur kerana walaupun saya baru berkhidmat 7 tahun lebih tapi mereka berani menawarkan jawatan yang sebegini penting dalam sekolah yang sebegini hebat.

Saya tidak kecewa kerana di sekolah kini saya di dihargai oleh semua staf dan saya dilayan dengan baik oleh pihak pentadbir sekolah. Saya di beri bilik khas yang berhawa dingin, tempat letak kereta berbumbung dan berlabel dan walaupun sekolah hanya 4 tingkat tapi disediakan lift. Bukannya saya tak biasa ( jakun ) dengan kemudahan ini semua tapi boleh dikira dengan jari sekolah-sekolah di Malaysia yang mendapat kemudahan yang sebaik ini. Patutlah ada pelancong yang datang disangkanya sekolah ini universiti.

Kadang-kadang saya pun rasa penat berpindah kerana dalam tempoh perkhidmatan saya yang baru setahun jagung ini saya telah berada di 6 buah sekolah. Saya bermula di Sebuyau Sarawak kemudian berpindah ke Undang Rembau Negeri Sembilan kemudian berpindah lagi ke Bandar Baru Nilai Negeri Sembilan, Seterusnya saya ke Cyberjaya Selangor ( bercuti tanpa gaji ke Oxford ) dan saya memulakan kembali karier di Bangi/Kajang Selangor, akhirnya saya kini di Putrajaya serta hampir-hampir berpindah lagi pada bulan ini. Fuuuh............ tak tahu la lepas ni ke mana pula.