( Gambar ini kurang sempurna tanpa Abang Roslan Sekeluarga )
Semalam umat Islam di Oxford menyambut Eidul Adha. Kami berdua juga beraya secara sederhana. Walaupun sibuk dengan pengajian isteri saya, kami dapat menunaikan ibadat2 sunat yang dituntut pada sebelum dan semasa Hari Raya Qurban kali ini. Alhamdulillah walaupun berada di tempat orang dan berjauhan dengan anak2 kami masih beraya secara sederhana di sini. Dengan sokongan sahabat2 kami sekeluarga, teman2 serumah dan juga masyarakat muslim setempat sudah cukup untuk menghiburkan kami dalam menyambut perayaan di sini tanpa anak2 di sisi.
Memang niat saya untuk menyambut hari raya kali ini dengan suasana yang berbeza dari apa yang saya alami sebelum ini di Oxford. Alhamdulillah niat saya ini direstui Ilahi. Disebabkan niat ini dan kesibukan isteri saya dengan pengajian beliau, maka saya tidak dapat mengimamkan Masyarakat Muslim Malaysia Oxford pada kali ini, samaada untuk mengetuai majlis takbir raya pada malam hari raya dan mengimamkan solat raya serta membaca khutbah pada keesokan harinya. Walaubagaimanapun saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan kerana masih sudi menjemput saya untuk mengendalikan majlis yang mereka anjurkan pada perayaan kali ini. Kalau selama 3 tahun yang lalu saya yang mengimamkan mereka semua tetapi kali ini saya boleh menolaknya kerana saya lihat ramai orang2 yang baru datang ke Oxford yang berilmu dan berkeupayaan untuk mengetuai majlis Warga Muslim Malaysia Oxford. Biarlah saya datang ke Oxford kali ini hanya sebagai pelancong.
Syukur saya pada Allah SWT kerana saya masih diberi kesempatan untuk menyambut Eidul Adha pada tahun ini. Saya dan isteri serta sahabat2 sekeluarga sama2 menunaikan solat raya dan mendengar khutbah raya di Masjid Jamek Oxford. Terima kasih pada sahabat2 yang menguruskan kenderaan kami ke sana, maklumlah kali ini kami sudah tidak ada kereta lagi. Saya dapat merasakan satu suasana yang amat tenang dan dipenuhi keberkatan pada pagi tersebut dan penuh kegembiraan apabila dapat ke masjid dan ditambah lagi apabila bersama sahabat2 sekeluarga yang rapat dengan kami sekeluarga.
Pada malam hari raya, isteri saya telah membantu Sue (isteri Nash) teman serumah kami di sini memasak makanan untuk di makan selepas solat raya di Masjid. Alhamdulillah saya dan isteri, Sue, Nash dan Adam, Tamara dan Saema, bagaikan sebuah keluarga yang besar sama2 menjamu selera di pagi raya setelah pulang dari menunaikan solat raya di masjid. Ketua Chef (Sue) telah memasak nasi tomato berlaukkan ayam masak merah dan kambing masak kurma Pakistan, ditambah lagi dengan hidangan2 lain. Semuanya lazat dan sedap dimakan apalagi bila dimakan beramai2. Terima kasih kepada semua teman serumah kerana sama2 memeriahkan suasana hari raya pada kali ini.
Selepas solat zohor isteri saya terpaksa bergegas ke tempat kerja kerana banyak perkara yang perlu beliau selesaikan segera. Namun selepas Isya' kami semua satu rumah telah dijemput oleh Saudara Steve (Yusuf) dan Kak Butik untuk menghadiri jamuan hari raya yang dianjurkan oleh Masyarakat Muslim Didcot tidak jauh dari Oxford. mereka terdiri dari pelbagai bangsa yang datang dari pelbagai negara, seperti English, Pakistan, Arab Saudi, Bangladesh, Maghribi, Libya, Sudan dan lain2 negara lagi. Meriah juga majlis mereka dan kuat juga hubungan mereka walaupun mereka datang dari rumpun yang berbeza.
Setelah pulang ke rumah apabila selesai majlis tersebut maka selesailah perayaan kami pada tahun ini, InsyaAllah tahun terakhir kami beraya di Oxford. Saya dan isteri akan terus bertakbir sehinggalah ke hari ketiga Eidul Adha. Terima kasih kepada semua sahabat2 sekeluarga, teman2 serumah dan Masyarakat Muslim Didcot yang telah menjadikan suasana Eidul Adha kami pada kali ini meriah dan berbeza dari tahun2 sebelumnya kami di Oxford United Kingdom.
Selamat Hari Raya Qurban dan Maaf Zahir dan Batin.
Wassalam