Tuesday, December 27, 2011

PENANTIAN SATU PENYEKSAAN

Sehingga ke hari ini, saya masih belum pasti hala tuju kerjaya saya untuk tahun 2012. Banyak perancangan yang saya aturkan, namun terganggu dengan penantian surat tawaran yang masih dalam proses katanya.

Kalau mengikut perancangan asal, saya akan berada di tempat kini untuk setahun lagi. Segala perancangan telah saya susun dengan rapi. Namun saya gantung dahulu, bagi memberi laluan kepada sesuatu yang masih belum pasti.

Walaupun dalam beberapa hari lagi akan bertukar tahun, semangat saya untuk membuat perancangan aktiviti bagi tahun 2012 amat lemah kerana ketidakpastian ini. Apa-apa pun saya menunggu untuk sebulan dua lagi. Selagi tiada kepastian saya malas untuk membuat perancangan.

Tunggulah, apabila segalanya telah pasti, dari situlah bermulanya perjalanan kerjaya saya untuk perjuangan yang seterusnya.......Lenguh juga bila kena menunggu...

Monday, December 05, 2011

APA YANG SAYA DAH LAKUKAN

Bila saya masuk Putrajaya...saya melihat saya boleh membuat sesuatu yang kalau dilakukan betul-betul, hasilnya boleh dilihat dalam masa yang singkat.

Apa sebenarnya yang saya telah lakukan dan akan dilakukan.....kini saya sudah bersedia untuk berkongsi sedikit daripadanya.

2009 (Fokus kepada individu)

Bila saya mula bertugas saya melihat keadaan keseluruhan sekolah dan pelajar-pelajarnya. Maka saya simpulkan bahawa saya tidak mampu mengubah semuanya dalam masa terdekat. Saya susun strategi yang hanya melibatkan beberapa orang pelajar yang paling bermasaalah.

Maka saya mula berjumpa dan aturkan sesi kaunseling dengan pelajar-pelajar yang terlibat dengan aktiviti berisiko tinggi (dosa besar). Banyak rahsia mereka yang saya simpan hingga kini.

Apabila saya mulakan langkah-langkah ini, maka timbullah kontroversi-kontroversi di kalangan masyarakat sekolah. Saya biarkan mereka bergossip kerana saya ada target yang perlu dicapai.

Saya biarkan semua warga sekolah tidak faham, kerana saya tidak mengharapkan mereka faham dan saya tidak akan membuatkan mereka faham. Kerana ia susah untuk difahami.

Akhirnya mereka mula menyiasat tentang saya dan membuat kesimpulan sendiri. Namun segala halangan berjaya saya tempuhi dengan jayanya.

2010 (Fokus kepada kumpulan)

Apabila saya berjaya memulihkan beberapa orang pelajar. Saya memasang strategi untuk menawan pelajar secara berkumpulan pula.

Apabila Badan Pengawas Sekolah diserahkan kepada saya, maka tugas saya nampak dipermudahkan. Pada awal tahun saya nampak berjaya bersama kumpulan ini. Saya berjaya menawan pelajar-pelajar bermasaalah dan berjaya melahirkan beberapa orang pemimpin pelajar.

Namun di pertengahan tahun saya tewas dengan beberapa gelora yang melanda saya. Saya akur dan menyerahkan Badan Pengawas kepada orang lain serta memasang strategi baru kerana matlamat saya belum tercapai dan masih di peringkat awal.

Akhirnya saya membuat kumpulan baru iaitu Kumpulan Naqib dan Naqibah Sekolah dan beberapa orang pengawas yang saya pilih untuk menjadi AJK Indahnya Iman. Akhirnya jumlah mereka mencapai 40 orang pelajar.

Dengan apa yang telah kami lakukan akhirnya kumpulan ini berjaya dengan cemerlang dan diiktiraf oleh banyak pihak, walaupun pada awalnya cuba diperlekehkan dan digagalkan oleh sesetengah pihak.

Mereka semua berjaya menjadi pemimpin dan pembimbing sekolah dan banyak membantu sekolah dalam banyak aspek serta mereka telah memulakan rutin ibadah yang baik dalam kehidupan mereka.

Di akhir tahunnya saya berjaya meraih Anugerah Naib Johan Pengurusan Disiplin Sekolah Peringkat Putrajaya. Ini Kejayaan pertama saya di sini.

2011 (Fokus kepada individu)

Alhamdulillah saya berjaya memulihkan masaalah disiplin dan sahsiah pelajar di sekolah ini, sehingga diiktiraf oleh banyak pihak dan disegani di Putrajaya, malah pelajar-pelajar di sekolah ini pernah dipuji oleh Timbalan Pengarah di beberapa tempat dan juga pernah dipuji di kalangan PIBG peringkat Putrajaya.

Selepas itu saya mulakan strategi saya yang seterusnya iaitu memberikan tumpuan kepada pelajar-pelajar yang baik dan cemerlang dalam usaha saya melahirkan pelajar muslim yang soleh dan pelajar muslimah yang solehah.

Saya berjaya mendekatkan ramai pelajar cemerlang dengan budaya dan pemikiran Islam. Mungkin ramai yang tidak faham cara saya dan bagaimana bentuk kejayaan saya. Hanya saya dan mereka yang bersama saya sahaja yang tahu.

Akhirnya saya berjaya membentuk beberapa kumpulan yang telah, akan dan cuba mengamalkan budaya dan pemikiran Islam dalam kehidupan mereka. Ramai yang sudah mula solat sepenuhnya, menutup aurat sepenuhnya, membaca bahan-bahan ilmiah Islam, bertahajjud, berzikir dan memilih Islam dalam setiap pilihan mereka.

Kumpulan yang saya fokuskan ialah kumpulan pengawas, naqib dan naqibah dan pelajar kelas aliran agama (KAA). Bilangan mereka seramai 200 orang pelajar cemerlang dan pemimpin pelajar.

Bagi mengembangkan lagi kumpulan ini dan membuka peluang kepada pelajar-pelajar lain bersama dalam perjuangan saya, maka saya telah menubuhkan Kelab Indahnya Iman secara atas talian. Alhamdulillah penyertaan dalam kumpulan ini telah mencecah 360 orang.

Semua kumpulan pelajar yang saya jaga telah berkongsi pelbagai perkara positif di dalam kelab ini. Respon yang saya terima daripada pelajar-pelajar dan keluarga mereka amat baik. Alhamdulillah.

Strategi-strategi saya memang kontroversi dan tidak difahami warga sekolah, namun saya nekad untuk menunjukkan hasilnya yang positif bukan untuk memahamkan mereka tentang apa yang saya telah, sedang dan akan lakukan.

Secara individu saya bersyukur pada Ilahi dan berbangga dengan pelajar-pelajar saya yang mana telah ramai yang berusaha mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT. Ramai yang telah melakukan amalan-amalan sunat dan mengikuti sunnah Nabi Muhammad saw.

Tahun ini merupakan tahun yang paling banyak saya diuji, saya disiasat setiap hari, pergerakan saya diintip, pelajar saya dimarah dan disoal macam-macam. Saya telah banyak dilaporkan dengan negatif kepada ketua saya. Sehinggalah saya cuba dikeluarkan daripada sekolah ini.

Saya bersabar dengan cabaran-cabaran yang datang. Saya tidak mengambil pendekatan menyerang balik atau menerangkan sesuatu agar mereka faham dan saya tidak memberitahu apa-apa dan apakah kejayaan yang saya telah capai.

Bagi sebuah sekolah harian biasa yang bermula dengan teruk diawalnya, kini boleh berbangga dengan pelajar-pelajarnya dalam banyak aspek. Syukur pada Yang Maha Esa.

Akhirnya di tahun 2011 ini banyak kejayaan, anugerah dan pengiktirafan yang saya dan kumpulan saya terima. Alhamdulillah. Banyak kenangan manis saya dan pelajar-pelajar saya.

KEJAYAAN BESAR DAN PALING BERHARGA BUAT SAYA IALAH PERUBAHAN PELAJAR-PELAJAR YANG RAPAT DENGAN SAYA DARI SUDUT PRINSIP, PEMIKIRAN DAN BUDAYA HIDUP DAN IBADAH YANG MEREKA AMALKAN DALAM DIRI DAN KEHIDUPAN MEREKA.

2012 (Fokus kepada kumpulan)

Jika saya masih di sini......................