Wednesday, December 03, 2008

Anak Askar Pencen

Saya bukan dilahirkan dari keluarga yang senang. Arwah abah cuma seorang askar yang pencen tanpa apa2 pangkat dan arwah mak hanya berniaga kain secara kecil2an. Tapi mereka berdua mempunyai semangat dan azam yang kuat untuk memastikan kami berjaya dalam pelajaran. Mereka selalu mengingatkan kami adik beradik bahawa mereka tidak mampu untuk meninggalkan harta kepada kami tapi mereka berazam untuk meninggalkan anak2 yang berilmu dan beriman agar kami dapat menjadi anak yang soleh yang dapat menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara serta dapat mendoakan kesejahteraan mereka bila mereka sudah tiada. Alhamdulillah berkat doa mereka sehingga ke hari ini dalam setiap doa saya samada doa yang dipanjatkan ringkas atau panjang saya tidak pernah tinggalkan doa untuk mereka di sana. Al-Fatihah.

Saya amat bersyukur kepada Ilahi kerana kini setelah berumur 35 tahun saya telah pun diberikan ni'mat yang amat besar olehNYA. Banyak kejayaan yang saya raih sepanjang proses pengajian saya dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah seterusnya ke peringkat universiti sehinggalah saya memperolehi ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana. InsyaAllah saya akan kembali ke universiti untuk mendapatkan phd saya selepas isteri saya tamatkan pengajian phd beliau. Jika mengikut perancangan saya paling lewat pun insyaAllah pada tahun 2010 nanti.

Banyaknya ni'mat yang diberikan oleh Allah SWT kepada saya. DIA telah mengurniakan lagi ni'matNYA kepada saya apabila saya dikahwinkan dengan seorang wanita solehah yang hebat. Jika dilihat dari latarbelakang akademik, beliau merupakan bekas pelajar Kolej Islam Klang dan seterusnya melanjutkan pengajian beliau di University College London sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dan selepas itu diarahkan bertugas di Universiti Multimedia dan mendapat ijazah sarjana di situ dan akhirnya mendapat tawaran melanjutkan pengajian di peringkat phd di Oxford University England. Maka beliau telah membawa saya merantau di United Kingdom. Lagi ni'mat dari Yang Maha Esa kepada saya apabila saya diberi peluang olehNYA untuk berada di UK selama 3 tahun lebih. Walhal kalau diikutkan sejarah hidup saya, tempat yang paling jauh saya pernah pergi hanyalah Negeri Sarawak apabila diarahkan bertugas di sana. Tak pernah termimpi oleh saya untuk sampai ke United Kingdom.

Besar sungguh ni'mat yang DIA kurniakan kepada saya. Walaupun saya datang dari keluarga yang kurang berkemampuan kini melalui isteri yang tercinta saya dapat berada di UK. Seluruh UK telah saya jelajahi. Secara kasarnya saya telah pun melancong dan memandu kereta seluruh UK dari utara ke selatan dan dari timur hinggalah ke barat, hampir semua tempat telah saya terokai. Saya juga telah diberi peluang oleh Allah SWT untuk melawat dua tempat di Negara Eropah iaitu Amsterdam dan Paris serta Disneyland Park. Saya juga hampir untuk pergi ke Bandar New York di Amerika Syarikat jika tidak kerana tarikh seminar isteri saya di sana jatuh pada Bulan Ramadhan yang lalu, maka isteri saya hanya mewakilkan penyelianya untuk membentangkan kertas seminar beliau. Walaupun masih ada beberapa tempat bahkan banyak lagi tempat dan negara yang belum saya lawati dan tak sempat pergi tapi saya rasa cukuplah bagi seorang anak askar pencen. Bertuah sungguh rasanya.

Selepas saya berkahwin dengan isteri saya, tuhan telah menambahkan lagi ni'matnya kepada saya apabila isteri saya telah melahirkan seorang putera dan seorang puteri, anak2 kami yang comel ini menambahkan lagi seri dan kegembiraan kami berdua. Alhamdulillah. InsyaAllah kami merancang untuk mendapatkan anak ketiga apabila isteri saya berjaya menamatkan pengajian beliau. Kami dahpun mula berangan nama2 yang sesuai untuk anak ketiga kami. Semoga DIA memakbulkan doa kami. Amin.

Jika dilihat dari sudut status dalam masyarakat. Oleh kerana saya dan isteri hanya bekerja makan gaji dengan ijazah yang kami ada, maka saya meletakkan kedudukan kami berada di tahap sederhana rendah. Dari dulu lagi saya selalu berfikir bagaimana untuk menaikkan taraf kami dari sederhana rendah ke sederhana tinggi. Bagi saya amat susah kerana kerjaya seperti kami tidaklah membawa pulangan yang besar. Puas saya memikirkannya tapi masih gagal menemui jalan yang sesuai. Ini mungkin disebabkan sikap kami yang terlalu berhati2 dalam soal halal dan haram rezeki yang akan masuk dalam keluarga kami. Akhirmya banyak peluang yang datang terpaksa kami tolak kerana syubhah, haram dan ada unsur yang kami ragui kehalalannya. Akhirnya kami hanya menyimpan, melabur di tempat yang kami yakin halal dan membeli rumah. Ini semua masih tidak cukup untuk mengubah status kami.

Alhamdulillah, dengan taqdir Yang Maha Kaya kami dihantar ke England. Selain dari target utama kami iaitu untuk mendapatkan phd bagi isteri saya, saya telah menanamkan azam yang kuat untuk membuat 'wang besar'. Azam ini saya mulakan sebelum kami memijakkan kaki di UK lagi. Isteri saya telah mula memohon kerja2 separuh masa untuk saya dari Malaysia lagi. Memandangkan saya yang akan bertanggungjawab terhadap pengurusan rumahtangga sepenuh masa, saya hanya boleh bekerja secara sambilan sahaja. Kami juga banyak bertanya kepada mereka yang telah kembali dari UK bagaimana corak kehidupan dan pekerjaan di sana. Maka berbekalkan maklumat2 yang diberikan oleh rakan2 yang berpengalaman tinggal di sana, saya dan isteri telah membuat perancangan yang rapi bagaimana untuk mendapatkan faedah yang semaksima mungkin apabila kami ke sana untuk dibawa pulang ke Malaysia dan dapat menaikkan tahap status sosial kami di dalam masyarakat. Untuk makluman pembaca saya pernah menulis tentang matlamat saya ke UK di blog ini.

Apabila kami sampai di Oxford maka bermulalah perjuangan kami dalam mencapai semua matlamat yang telah kami gariskan di Malaysia. Setelah dua bulan berada di sini saya masih gagal mendapatkan pekerjaan, semua temuduga kerja yang saya hadir telah gagal. Susah rasanya untuk mula bekerja di UK. Namun dengan berkat kesabaran dan pertolongan Allah SWT pada bulan ketiga di Oxford saya mendapat tawaran kerja secara sepenuh masa dari sebuah agensi pekerjaan di Oxford. Sedihnya saya terpaksa menolak tawaran tersebut kerana tidak sesuai dengan waktu belajar isteri saya. Saya memang kecewa dengan situasi tersebut kerana ia telah melambatkan perancangan saya untuk mencapai matlamat 'wang besar'. Kesedihan saya terubat juga akhirnya apabila agensi tersebut sekali lagi menghubungi saya untuk menawarkan pekerjaan secara separuh masa. Maka pada saat itu bermulalah pencarian 'wang besar' saya. Alhamdulillah, itulah antara saat yang paling mengembirakan kami suami isteri di Oxford.

Alhamdulillah, Besarnya ni'mat Allah SWT kepada saya dan keluarga. Kini saya pulang ke Malaysia dengan membawa kemenangan dan kejayaan. Saya sudah mampu mengangkat status hidup saya sekeluarga dari tahap sederhana rendah ke tahap sederhana tinggi. Cuma kami masih menanti kejayaan isteri saya mendapatkan phd beliau dari Oxford University, insyaAllah tak lama lagi. Bagi saya untuk mengangkat tahap status sosial dari tahap sederhana tinggi ke tahap tinggi bukan dengan cara menjadi pekerja tetapi mesti menjadi majikan. Nampaknya masih terlalu jauh perjalanan kami ke tahap itu. Rasanya kami akan berhenti di tahap sederhana tinggi bagi memberi laluan kepada perancangan pendidikan anak2 dalam proses menjadikan mereka anak2 yang soleh yang akan memikul perjuangan Islam. Kami juga ingin memberikan tumpuan yang lebih dan khidmat kami kepada perjuangan memartabatkan Agama Islam di Malaysia.

Saya dan isteri juga merancang untuk menumpukan usaha dalam menambah dan melengkapkan amal ibadah kami terutama ibadah fardhu yang masih belum ditunaikan contohnya ibadah haji dan umrah dan ibadah2 lain. Kami juga merancang untuk membantu ahli keluarga dan masyarakat yang kurang berkemampuan dari segala aspek setakat yang kami ada dan mampu. Semoga niat suci kami diredhai olehNYA. Kerana kami dari dulu lagi sentiasa berpegang kepada prinsip Islam bahawa di dalam hidup kami ada kehidupan orang lain dan di dalam harta kami ada harta orang lain. Oleh itu hidup ini bukan hanya kita tetapi kita berkongsi dengan orang lain. Hendaklah kita tunaikan semua tanggungjawab2 yang wajib ke atas kita untuk kita dan tanggungjawab2 yang wajib di atas kita untuk orang2 lain.

Ya Allah! Ya Tuhanku! Selaku seorang anak askar pencen yang kurang berkemampuan, banyaknya limpahan ni'mat yang Engkau kurniakan kepadaku. Ya Ghoffar! Ampunilah dosa2 aku dan ahli keluargaku. Engkau pandulah aku dan ahli keluargaku ke jalanMu yang benar dan Engkau rahmatilah kehidupan kami sekeluarga sehingga ke akhir hayat kami. Walhamdu Lillahi Rabbil 'Alamin.

Wassalam