Wednesday, December 31, 2008

Penghargaan Dan Terima Kasih

Saya abadikan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya kepada semua sahabat dan kenalan yang telah menjadikan percutian saya di Oxford selama sebulan sebagai satu kenangan indah yang tidak akan saya lupakan sehingga ke akhir hayat.

Semoga Allah SWT membalas budi baik anda semua dan merahmati kehidupan dan perjuangan anda semua di bumi Oxford England

Tempat penginapan saya
'terima kasih Sarina'

Terima kasih Wan sekeluarga

Terima kasih Abg Roslan sekeluarga


Terima kasih sahabat2 yang sudi beraya bersama

Terima kasih Steve sekeluarga

Terima kasih Amin sekeluarga

Terima kasih Abg Salim sekeluarga

Terima kasih Din sekeluarga

Terima kasih Alfian sekeluarga

Terima kasih sekali lagi Abg Roslan sekeluarga

Terima kasih Nash 'sekeluarga'

Selamat tinggal semua dan selamat tinggal United Kingdom

Ilal liqa'

Sunday, December 14, 2008

Oxford! 3 Hari Lagi

Selamat tinggal Oxford

Ahad 14hb Disember 2008. 3 hari lagi saya akan kembali ke tanahair selepas 33 hari melancong di Oxford United Kingdom. Walaupun hanya datang ke Oxford lebih kurang sebulan rindu rasanya nak balik ke Malaysia, rindu pada anak2, rindu pada rumah, rindu pada motorsikal dan kereta saya serta rindukan rutin harian hidup yang sempurna di Malaysia.

Saya memang jaguh kampung. Sehingga ke saat ini saya masih tak percaya dan tidak tergambar perasaan bagaimana saya boleh bermukim di Oxford dan meninggalkan kerjaya dan kehidupan di Malaysia selama 3 tahun 4 bulan. Bukannya saya tak gembira dan bersyukur kerana diberi peluang untuk berada di UK, cuma kalau diberi pilihan saya lebih suka berada di Malaysia dengan rutin harian normal saya. Kini bila saya dah pulang ke Malaysia dan kembali bercuti di sini selama sebulan lebih, saya tetap memilih kehidupan di Malaysia. Sekiranya ditaqdirkan Allah swt suatu hari nanti saya ditawarkan biasiswa untuk menyambung pengajian di UK, insyaAllah rasanya saya tidak akan menerima dan saya akan menyambung pengajian saya hanya di Malaysia. Melainkan sudah tertulis di Luh Mahfuz yang saya akan belajar di UK.

Saat yang paling manis bagi saya di Oxford ialah saat2 bersama keluarga. Banyak kenangan manis kami di sini, samaada di rumah, di tempat kerja, di sekolah anak2, semasa berjalan2 di Oxford dan juga apabila melancong di United Kingdom dan Eropah. Bersyukur saya kerana dikurniakan ni'mat yang besar ini. Saya juga amat terharu apabila mengenangkan saat2 saya melakukan kerja2 separuh masa di Oxford di samping tugas2 sepenuh masa menguruskan rumahtangga dan anak2.

Alhamdulillah. Saya telah diberi peluang kedua olehNYA walaupun tanpa apa2 perancangan awal untuk saya kembali ke Oxford. Namun dipendekkan cerita saya datang kembali ke Oxford untuk menemani isteri di sini dan dapat saya menjadi pelancong di Oxford. Sebak rasanya saya apabila mengenangkan ni'mat ini. Sepanjang saya berada di sini untuk kali kedua saya banyak mengenang kembali kenangan2 saya dan keluarga di sini, rasa nak menangis pun ada. Gembira dan sedih apabila mengenang kembali saat2 suka dan duka kami di Oxford selama 3 tahun lebih.

Sepanjang saya di sini saya telah melawat semua tempat yang pernah kami menetap dan tempat2 kerja saya dan isteri serta sekolah anak2 kami. Setiap kali saya melalui atau pergi ke kawasan yang pernah kami tinggal, bekerja dan sekolah anak2, saya tidak dapat menahan perasaan sebak saya sehingga saya tidak mampu untuk berkata2 dan apa yang mampu saya keluarkan dari bibir saya hanyalah kata2 syukur alhamdulillah berkali2 tanpa henti sepanjang perjalanan saya kerana saya diberi peluang olehNya mampu melihat semuanya untuk kali kedua.

Yang paling membuat saya sebak dan terharu ialah apabila saya melawat dan mengimbas kembali kenangan2 di tempat2 kerja saya iaitu bermula di Radcliffe Infirmary Hospital ( 2 bulan setengah ), Oxforshire Music Service and Bayards Hill Primary School ( 3 tahun ), Bicester Village ( 6 bulan ) dan Pharmacology Department Oxford University ( 2 tahun ). Inilah tempat2 dan tempoh2 saya bekerja secara separuh masa di Oxford UK dan di sinilah saya mencapai kejayaan menghasilkan 'wang besar' untuk saya sekeluarga. Hasilnya dapatlah saya membeli 3 buah kenderaan, membeli sebidang tanah lot banglo di Kelantan, mengubahsuai rumah kami di Dengkil, perbelanjaan untuk menunaikan haji dan umrah, perbelanjaan untuk ke majlis konvokesyen isteri di Oxford ( insyaAllah pada tahun 2010 ), menggunakan barangan2 dan pakaian2 yang berjenama terkenal dan dengan 'wang besar' ini juga dapatlah saya dan isteri menghantar anak2 ke sekolah agama swasta yang berprestij.

Semuanya bukan senang untuk dicapai. Banyak usaha dan pengorbanan yang perlu dilakukan. Tapi sekiranya seseorang itu tidak sanggup untuk melakukan pengorbanan maka susah baginya untuk mencapai kejayaan yang besar dalam hidup. Dan satu lagi kunci kejayaan kami ialah perancangan awal yang betul dan tersusun serta disiplin yang tinggi dalam hidup. Tetapi yang paling penting ialah dalam apa jua yang kita lakukan mesti meletakkan Allah SWT dan Islam di hadapan tanpa apa2 kompromi samaada dalam kehidupan berkeluarga, berkerja atau sumber kewangan, perancangan hidup, bermasyarakat dan lain2. InsyaAllah saya akan berkongsi pengalaman dan idea2 saya bagaimana untuk hidup di Oxford dan pulang dengan kejayaan besar dalam tulisan saya yang seterusnya.

3 hari lagi saya akan pulang ke Malaysia bersama isteri dengan perasaan yang sedih, terharu bercampur gembira. Saya juga akan pulang ke tanahair dengan perasaan yang amat berpuas hati dan penuh kesyukuran kerana saya telah diberikan peluang kedua yang amat bernilai ini oleh Allah SWT. Astaghfirullahal 'Azhim.

InsyaAllah dalam tulisan saya yang akan datang saya akan rakamkan penghargaan dan terima kasih saya kepada semua sahabat dan kenalan yang telah menjadikan percutian saya di Oxford sebagai satu kenangan yang indah yang tidak akan saya lupakan sepanjang hayat saya.

Wassalam


Wednesday, December 10, 2008

E 200K Elegance

Mercedes Benz

E 200 Kompressor

Elegance

Masih 'Menggoda dan Menggiurkan'

Mesti pembaca masih ingat dengan kereta yang saya beli dan pakai di Oxford. Mercedes ini telah saya sekeluarga guna di UK selama 1 tahun 6 bulan. Alhamdulillah kereta saya telah selamat sampai di Malaysia dengan melalui pelbagai prosedur yang biasa ditempuhi oleh sesiapa sahaja yang telah berjaya membawa balik kereta dari luar negara ke negara kita.

Memang rumit dan letih apabila mengenangkan prosedur membawa balik kereta dari luar negara ni. Tapi kami kurang berdepan dengan masaalah dan kerenah kerana kami menggunakan agen sepenuhnya dalam semua urusan sehinggalah kereta itu layak berjalan di atas jalan raya Malaysia. Bermula dari Oxford dengan agen perkapalannya hinggalah agen yang membawa masuk kereta ke Malaysia, seterusnya agen lain pula untuk keluarkan kereta dari Pelabuhan Klang dan akhirnya agen lain lagi untuk semua prosedur di Puspakom dan JPJ sehinggalah nombor plat di gantung di kereta kami.

Walaupun semuanya agen yang lakukan dan kami hanya menyediakan wang untuk membayar mereka dan hadir apabila kami diperlukan oleh agen2 tersebut, ia masih memenatkan kami. Bayangkanlah proses yang terpaksa dilalui oleh mereka yang melakukannya sendiri. Ditambah lagi dengan keadaan isteri saya yang mengejar masa untuk kembali ke Oxford dan saya yang telah mula kembali bekerja di sekolah.

Setelah semua urusan selasai maka kami telah membuat pengiraan kos kereta tersebut dari UK sehinggalah ke Malaysia. Selepas selasai Hari Raya puasa yang lepas bapa mertua saya telah datang ke rumah saya dan melihat kereta tersebut dan beliau berpuas hati dengan keadaan kereta dan kosnya lalu bersetuju untuk membeli kereta saya dengan menanggung semua kos yang telah saya habiskan ke atas kereta ini. Jika dikira dengan harga kereta ini di pasaran semasa kereta ini di Malaysia, bapa mertua saya masih untung sebanyak RM 40 ribu.

Akhirnya kereta Mercedes Benz E200K Elegance ini telah sah menjadi milik mertua saya pada bulan November 2008 yang lepas. Nampaknya kereta yang saya beli ini memang rezeki dia dan memang telah ditaqdirkan untuk bapa dan ibu mertua saya. Jenis kereta dan semua spesifikasi kereta ini adalah mengikut minat dan pilihan saya kerana mengikut plan asalnya saya yang akan menggunakan kereta ini di Malaysia.

Tetapi oleh kerana saya ini seorang peminat kereta, saya selalu bertukar2 kereta dari dulu hinggalah sekarang. Jadi lebih baik mertua saya yang pakai dan saya dapat melihat kereta ini lebih lama. Kalau saya yang memilikinya mungkin selepas dua tahun saya akan menjualnya kerana saya lebih minat untuk menggunakan kereta2 model yang terbaru. Lagipun sudah hampir dua tahun saya memandu kereta ini dan telah menjelajah satu UK dengan kereta ini. Dapatlah saya pengalaman memiliki dan memandu Mercedes Benz

Tunggu tulisan saya yang seterusnya untuk membaca dan melihat gambar2 kenderaan saya di Malaysia.

Wassalam


Tuesday, December 09, 2008

Hari Raya Qurban di Oxford 2008

Bersama Sahabat2 Sekeluarga Bergambar Kenangan di Hadapan Masjid Jamek Oxford
( Gambar ini kurang sempurna tanpa Abang Roslan Sekeluarga )

Semalam umat Islam di Oxford menyambut Eidul Adha. Kami berdua juga beraya secara sederhana. Walaupun sibuk dengan pengajian isteri saya, kami dapat menunaikan ibadat2 sunat yang dituntut pada sebelum dan semasa Hari Raya Qurban kali ini. Alhamdulillah walaupun berada di tempat orang dan berjauhan dengan anak2 kami masih beraya secara sederhana di sini. Dengan sokongan sahabat2 kami sekeluarga, teman2 serumah dan juga masyarakat muslim setempat sudah cukup untuk menghiburkan kami dalam menyambut perayaan di sini tanpa anak2 di sisi.
Terima Kasih Nash, Sue, Adam, Saema dan Tamara ( tiada dalam gambar )

Memang niat saya untuk menyambut hari raya kali ini dengan suasana yang berbeza dari apa yang saya alami sebelum ini di Oxford. Alhamdulillah niat saya ini direstui Ilahi. Disebabkan niat ini dan kesibukan isteri saya dengan pengajian beliau, maka saya tidak dapat mengimamkan Masyarakat Muslim Malaysia Oxford pada kali ini, samaada untuk mengetuai majlis takbir raya pada malam hari raya dan mengimamkan solat raya serta membaca khutbah pada keesokan harinya. Walaubagaimanapun saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan kerana masih sudi menjemput saya untuk mengendalikan majlis yang mereka anjurkan pada perayaan kali ini. Kalau selama 3 tahun yang lalu saya yang mengimamkan mereka semua tetapi kali ini saya boleh menolaknya kerana saya lihat ramai orang2 yang baru datang ke Oxford yang berilmu dan berkeupayaan untuk mengetuai majlis Warga Muslim Malaysia Oxford. Biarlah saya datang ke Oxford kali ini hanya sebagai pelancong.

Beraya Bersama Masyarakat Muslim Didcot

Terima Kasih Steve ( Yusuf ) dan Kak Butik Di Atas Jemputan Beraya Bersama Masyarakat Muslim Didcot

Syukur saya pada Allah SWT kerana saya masih diberi kesempatan untuk menyambut Eidul Adha pada tahun ini. Saya dan isteri serta sahabat2 sekeluarga sama2 menunaikan solat raya dan mendengar khutbah raya di Masjid Jamek Oxford. Terima kasih pada sahabat2 yang menguruskan kenderaan kami ke sana, maklumlah kali ini kami sudah tidak ada kereta lagi. Saya dapat merasakan satu suasana yang amat tenang dan dipenuhi keberkatan pada pagi tersebut dan penuh kegembiraan apabila dapat ke masjid dan ditambah lagi apabila bersama sahabat2 sekeluarga yang rapat dengan kami sekeluarga.

Kaum Bapa Beramah Mesra di Hari Raya

Kaum Ibu Bersama Pegawai Pemerhati dari Oxford City Council

Persembahan Islam dari Kanak2 Muslim Didcot

Pada malam hari raya, isteri saya telah membantu Sue (isteri Nash) teman serumah kami di sini memasak makanan untuk di makan selepas solat raya di Masjid. Alhamdulillah saya dan isteri, Sue, Nash dan Adam, Tamara dan Saema, bagaikan sebuah keluarga yang besar sama2 menjamu selera di pagi raya setelah pulang dari menunaikan solat raya di masjid. Ketua Chef (Sue) telah memasak nasi tomato berlaukkan ayam masak merah dan kambing masak kurma Pakistan, ditambah lagi dengan hidangan2 lain. Semuanya lazat dan sedap dimakan apalagi bila dimakan beramai2. Terima kasih kepada semua teman serumah kerana sama2 memeriahkan suasana hari raya pada kali ini.

Selepas solat zohor isteri saya terpaksa bergegas ke tempat kerja kerana banyak perkara yang perlu beliau selesaikan segera. Namun selepas Isya' kami semua satu rumah telah dijemput oleh Saudara Steve (Yusuf) dan Kak Butik untuk menghadiri jamuan hari raya yang dianjurkan oleh Masyarakat Muslim Didcot tidak jauh dari Oxford. mereka terdiri dari pelbagai bangsa yang datang dari pelbagai negara, seperti English, Pakistan, Arab Saudi, Bangladesh, Maghribi, Libya, Sudan dan lain2 negara lagi. Meriah juga majlis mereka dan kuat juga hubungan mereka walaupun mereka datang dari rumpun yang berbeza.

Setelah pulang ke rumah apabila selesai majlis tersebut maka selesailah perayaan kami pada tahun ini, InsyaAllah tahun terakhir kami beraya di Oxford. Saya dan isteri akan terus bertakbir sehinggalah ke hari ketiga Eidul Adha. Terima kasih kepada semua sahabat2 sekeluarga, teman2 serumah dan Masyarakat Muslim Didcot yang telah menjadikan suasana Eidul Adha kami pada kali ini meriah dan berbeza dari tahun2 sebelumnya kami di Oxford United Kingdom.

Selamat Hari Raya Qurban dan Maaf Zahir dan Batin.

Wassalam


Thursday, December 04, 2008

Kembali Berkhidmat

Tugas rasmi pertama di majlis rasmi

Pn. Pengetua bersyair sebelum berucap

Jamuan akhir tahun 2008 Kelab Guru dan Staf

Guru2 lelaki sentiasa ceria

Setahun sebelum saya pulang ke Malaysia saya tidak henti2 bermohon pada Yang Maha Kuasa dalam menentukan arah tuju karier saya sebagai guru agama apabila saya kembali ke tanahair. Saya selalu bermunajat kepadaNYA kerana saya berada dalam kebingungan dalam menentukan hala tuju saya setelah saya berkhidmat selama 6 tahun 10 bulan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia ( KPM ) dan bercuti panjang selama 3 tahun 4 bulan kerana menemani isteri menyambung pengajian phdnya di Oxford University.

Sebelum saya terbang ke UK saya telah dihubungi oleh beberapa orang pentadbir sekolah yang berminat mendapatkan khidmat saya apabila saya pulang ke Malaysia. Susah bagi saya untuk membuat keputusan kerana semuanya belum pasti ketika itu dan saya pun sukar untuk menentukan apa yang terbaik untuk karier saya. Jadi saya buat keputusan untuk terus bermunajat dan bertawakkal kepada Ilahi agar dia dapat membuat keputusan yang terbaik bagi saya dan keluarga.

Apa yang pasti ialah kami sekeluarga akan mengalami saat getir dalam hidup apabila saya terpaksa pulang awal kerana cuti saya sudah tamat sedangkan perjuangan isteri saya di Oxford masih belum selesai. Memang teramat susah untuk saya membuat keputusan. Akhirnya apabila pulang ke Malaysia saya menghubungi KPM dan mereka mengarahkan saya melaporkan diri dengan kadar segera ke Pejabat Pelajaran Negeri Selangor, berdasarkan rekod saya yang terakhir sebelum bercuti iaitu di bawah Negeri Selangor. Saya hanya melaporkan diri tanpa menghubungi kenalan2 yang ada di KPM. Saya berserah padaNYA untuk menentukan di mana saya akan ditempatkan bertugas. Biarlah Allah SWT yang menentukan kerana hanya Dia yang tahu apa yang sepatutnya dan apa yang terbaik bagi saya, isteri dan anak2.

Di Sektor Perkhidmatan Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor saya telah dipertemukan dengan pegawai yang akan menguruskan penempatan saya. Berdebar2 dan risau sangat saya ketika itu kerana mungkin saya akan ditempatkan ditempat yang tidak sepatutnya, terutama yang jauh dari rumah saya di Dengkil, Sepang. Bertambah lagi debaran saya apabila saya diberitahu bahawa kawasan Sepang iaitu daerah saya semuanya tiada kekosongan tempat untuk saya di sekolah. Memandangkan waktu penempatan saya yang tidak sesuai iaitu Bulan September maka susah untuk mencari sekolah yang ada kekosongan. Lainlah sekiranya saya ditempatkan pada hujung tahun kerana pada waktu hujung tahun atau akhir penggal persekolahan akan berlaku proses pertukaran yang melibatkan semua guru di seluruh Malaysia.

Memang sukar pada waktu itu. Pegawai tersebut pun tidak dapat mengusahakan saya untuk berada di sekolah yang berdekatan dengan rumah. Oleh kerana saya merupakan seorang guru yang telah lama berkhidmat, saya diberi pilihan oleh pegawai tersebut untuk memilih sendiri sekolah yang paling dekat dengan rumah yang terdapat kekosongan guru agama. Akhirnya setelah berbincang dengan pegawai berkenaan saya memilih sekolah yang saya tak pasti di mana tapi saya kenal sangat dengan kawasan tersebut iaitu Bandar Baru Bangi. Kawasan ini saya dah biasa sangat kerana saya pernah belajar di peringkat Sarjana dulu di UKM Bangi. Akhirnya saya berserah pada Allah SWT dan saya memilih SMK Jalan Reko. Yang kelakarnya apabila saya bertanya pada Pegawai JPN Selangor mereka mengatakan sekolah ini di Bangi tapi apabila saya bertanyakan penduduk di kawasan tersebut mereka mengatakan itu kawasan Kajang. Bagi saya sekolah itu berkongsi kawasan kerana apabila saya ke sana saya dapat melihat kawasan depannya termasuk dalam Daerah Kajang tetapi kawasan tepi dan belakangnya termasuk dalam Daerah Bandar Baru Bangi Selangor. Saya tak pernah sampai ke sekolah dan kawasan ini dan tak termimpi akan berkhidmat di situ.

Mula2 saya agak kecewa kerana sekolah tersebut bukannya sekolah idaman saya. Jauh sekali sekolah pilihan saya kerana saya ada banyak pilihan lain yang lebih terkenal dan mungkin lebih sesuai bagi saya pada pendapat saya. Tapi saya akur dengan pilihan Yang Maha Esa. Walaupun agak sedih tapi saya sedar dan insaf kerana DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk saya dan keluarga. Sudah setahun lebih saya bermunajat dan bertawakkal padaNYA kenapa sekarang saya tidak boleh menerima ketentuanNYA. Astaghfirullahal 'azim.

Kini setelah berkhidmat di sana selama 3 bulan, baru saya sedar bahawa inilah yang terbaik untuk saya yang telah lama bercuti dan semuanya seolah2 bermula dari awal kembali. Juga sesuai untuk isteri saya yang masih di perantauan yang tidak dapat membantu saya di Malaysia dan amat sesuai dengan keadaan saya yang akan menguruskan anak2 seorang diri tanpa bantuan isteri tercinta bermula pada Bulan Januari 2009 nanti serta amat sesuai dengan anak2 saya yang akan bersekolah di Seri Asyesha School di Bandar Baru Bangi. Maka dalam situasi begini DIA meletakkan saya di sebuah sekolah yang amat sesuai dengan keadaan semasa kami.

Sekolah ini bukanlah sekolah yang terbaik dan terkenal. Daerah Kajang dan Bangi pun bukannya dua daerah yang mengenali saya. Saya lebih dikenali di kawasan Sepang ke Nilai dan Seremban dan juga di Wilayah Persekutuan Putrajaya serta di Cyberjaya. Apabila saya balik ke Malaysia sahaja, minggu pertama lagi pihak pentadbir Sekolah Alam Shah sudah menghubungi saya untuk mengimamkan solat Tarawih di Masjid SAS, tapi saya terpaksa menolak kerana saya terlalu sibuk dan penat dengan urusan keluarga. Begitu juga dengan masjid dan surau yang menghubungi saya untuk mengisi slot kuliah maghrib dan membaca khutbah Jumaat di tempat mereka. Semuanya saya terpaksa tolak kerana keadaan semasa keluarga saya tidak mengizinkan saya untuk membantu mereka semua. Nasib baiklah SMK Jalan Reko dan penduduk di sekitar Bangi dan Kajang tidak mengenali saya dan tidak tahu kelebihan dan keupayaan saya, maka dapatlah saya berehat dan bertenang kerana saya perlu menguruskan rumahtangga dan anak2 di Malaysia sendirian tanpa bantuan isteri yang masih di Oxford. Buat sementara waktu ini saya tidak mampu untuk berkhidmat lebih kepada masyarakat. Maafkan kelemahan saya.

Kini saya sangat selesa di sini dan saya terpaksa menolak ketepi dahulu daripada memikirkan untuk menerima mana2 tawaran yang lebih baik dan daripada berpindah ke sekolah2 yang memerlukan khidmat saya terutama di W.P. Putrajaya. Biarlah saya menyorokkan diri dan merendahkan diri dahulu agar saya lebih selesa dan mempunyai banyak masa dengan anak2 yang terpaksa berpisah dengan mama mereka. InsyaAllah apabila keadaan keluarga saya sudah kembali normal saya akan menilai kembali kedudukan saya, bermunajat dan bermuhasabah dalam usaha menentukan yang terbaik untuk karier saya, keluarga dan masyarakat. Tak lama lagi kan Sayang...........?

Wassalam


Wednesday, December 03, 2008

Anak Askar Pencen

Saya bukan dilahirkan dari keluarga yang senang. Arwah abah cuma seorang askar yang pencen tanpa apa2 pangkat dan arwah mak hanya berniaga kain secara kecil2an. Tapi mereka berdua mempunyai semangat dan azam yang kuat untuk memastikan kami berjaya dalam pelajaran. Mereka selalu mengingatkan kami adik beradik bahawa mereka tidak mampu untuk meninggalkan harta kepada kami tapi mereka berazam untuk meninggalkan anak2 yang berilmu dan beriman agar kami dapat menjadi anak yang soleh yang dapat menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara serta dapat mendoakan kesejahteraan mereka bila mereka sudah tiada. Alhamdulillah berkat doa mereka sehingga ke hari ini dalam setiap doa saya samada doa yang dipanjatkan ringkas atau panjang saya tidak pernah tinggalkan doa untuk mereka di sana. Al-Fatihah.

Saya amat bersyukur kepada Ilahi kerana kini setelah berumur 35 tahun saya telah pun diberikan ni'mat yang amat besar olehNYA. Banyak kejayaan yang saya raih sepanjang proses pengajian saya dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah seterusnya ke peringkat universiti sehinggalah saya memperolehi ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana. InsyaAllah saya akan kembali ke universiti untuk mendapatkan phd saya selepas isteri saya tamatkan pengajian phd beliau. Jika mengikut perancangan saya paling lewat pun insyaAllah pada tahun 2010 nanti.

Banyaknya ni'mat yang diberikan oleh Allah SWT kepada saya. DIA telah mengurniakan lagi ni'matNYA kepada saya apabila saya dikahwinkan dengan seorang wanita solehah yang hebat. Jika dilihat dari latarbelakang akademik, beliau merupakan bekas pelajar Kolej Islam Klang dan seterusnya melanjutkan pengajian beliau di University College London sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama dan selepas itu diarahkan bertugas di Universiti Multimedia dan mendapat ijazah sarjana di situ dan akhirnya mendapat tawaran melanjutkan pengajian di peringkat phd di Oxford University England. Maka beliau telah membawa saya merantau di United Kingdom. Lagi ni'mat dari Yang Maha Esa kepada saya apabila saya diberi peluang olehNYA untuk berada di UK selama 3 tahun lebih. Walhal kalau diikutkan sejarah hidup saya, tempat yang paling jauh saya pernah pergi hanyalah Negeri Sarawak apabila diarahkan bertugas di sana. Tak pernah termimpi oleh saya untuk sampai ke United Kingdom.

Besar sungguh ni'mat yang DIA kurniakan kepada saya. Walaupun saya datang dari keluarga yang kurang berkemampuan kini melalui isteri yang tercinta saya dapat berada di UK. Seluruh UK telah saya jelajahi. Secara kasarnya saya telah pun melancong dan memandu kereta seluruh UK dari utara ke selatan dan dari timur hinggalah ke barat, hampir semua tempat telah saya terokai. Saya juga telah diberi peluang oleh Allah SWT untuk melawat dua tempat di Negara Eropah iaitu Amsterdam dan Paris serta Disneyland Park. Saya juga hampir untuk pergi ke Bandar New York di Amerika Syarikat jika tidak kerana tarikh seminar isteri saya di sana jatuh pada Bulan Ramadhan yang lalu, maka isteri saya hanya mewakilkan penyelianya untuk membentangkan kertas seminar beliau. Walaupun masih ada beberapa tempat bahkan banyak lagi tempat dan negara yang belum saya lawati dan tak sempat pergi tapi saya rasa cukuplah bagi seorang anak askar pencen. Bertuah sungguh rasanya.

Selepas saya berkahwin dengan isteri saya, tuhan telah menambahkan lagi ni'matnya kepada saya apabila isteri saya telah melahirkan seorang putera dan seorang puteri, anak2 kami yang comel ini menambahkan lagi seri dan kegembiraan kami berdua. Alhamdulillah. InsyaAllah kami merancang untuk mendapatkan anak ketiga apabila isteri saya berjaya menamatkan pengajian beliau. Kami dahpun mula berangan nama2 yang sesuai untuk anak ketiga kami. Semoga DIA memakbulkan doa kami. Amin.

Jika dilihat dari sudut status dalam masyarakat. Oleh kerana saya dan isteri hanya bekerja makan gaji dengan ijazah yang kami ada, maka saya meletakkan kedudukan kami berada di tahap sederhana rendah. Dari dulu lagi saya selalu berfikir bagaimana untuk menaikkan taraf kami dari sederhana rendah ke sederhana tinggi. Bagi saya amat susah kerana kerjaya seperti kami tidaklah membawa pulangan yang besar. Puas saya memikirkannya tapi masih gagal menemui jalan yang sesuai. Ini mungkin disebabkan sikap kami yang terlalu berhati2 dalam soal halal dan haram rezeki yang akan masuk dalam keluarga kami. Akhirmya banyak peluang yang datang terpaksa kami tolak kerana syubhah, haram dan ada unsur yang kami ragui kehalalannya. Akhirnya kami hanya menyimpan, melabur di tempat yang kami yakin halal dan membeli rumah. Ini semua masih tidak cukup untuk mengubah status kami.

Alhamdulillah, dengan taqdir Yang Maha Kaya kami dihantar ke England. Selain dari target utama kami iaitu untuk mendapatkan phd bagi isteri saya, saya telah menanamkan azam yang kuat untuk membuat 'wang besar'. Azam ini saya mulakan sebelum kami memijakkan kaki di UK lagi. Isteri saya telah mula memohon kerja2 separuh masa untuk saya dari Malaysia lagi. Memandangkan saya yang akan bertanggungjawab terhadap pengurusan rumahtangga sepenuh masa, saya hanya boleh bekerja secara sambilan sahaja. Kami juga banyak bertanya kepada mereka yang telah kembali dari UK bagaimana corak kehidupan dan pekerjaan di sana. Maka berbekalkan maklumat2 yang diberikan oleh rakan2 yang berpengalaman tinggal di sana, saya dan isteri telah membuat perancangan yang rapi bagaimana untuk mendapatkan faedah yang semaksima mungkin apabila kami ke sana untuk dibawa pulang ke Malaysia dan dapat menaikkan tahap status sosial kami di dalam masyarakat. Untuk makluman pembaca saya pernah menulis tentang matlamat saya ke UK di blog ini.

Apabila kami sampai di Oxford maka bermulalah perjuangan kami dalam mencapai semua matlamat yang telah kami gariskan di Malaysia. Setelah dua bulan berada di sini saya masih gagal mendapatkan pekerjaan, semua temuduga kerja yang saya hadir telah gagal. Susah rasanya untuk mula bekerja di UK. Namun dengan berkat kesabaran dan pertolongan Allah SWT pada bulan ketiga di Oxford saya mendapat tawaran kerja secara sepenuh masa dari sebuah agensi pekerjaan di Oxford. Sedihnya saya terpaksa menolak tawaran tersebut kerana tidak sesuai dengan waktu belajar isteri saya. Saya memang kecewa dengan situasi tersebut kerana ia telah melambatkan perancangan saya untuk mencapai matlamat 'wang besar'. Kesedihan saya terubat juga akhirnya apabila agensi tersebut sekali lagi menghubungi saya untuk menawarkan pekerjaan secara separuh masa. Maka pada saat itu bermulalah pencarian 'wang besar' saya. Alhamdulillah, itulah antara saat yang paling mengembirakan kami suami isteri di Oxford.

Alhamdulillah, Besarnya ni'mat Allah SWT kepada saya dan keluarga. Kini saya pulang ke Malaysia dengan membawa kemenangan dan kejayaan. Saya sudah mampu mengangkat status hidup saya sekeluarga dari tahap sederhana rendah ke tahap sederhana tinggi. Cuma kami masih menanti kejayaan isteri saya mendapatkan phd beliau dari Oxford University, insyaAllah tak lama lagi. Bagi saya untuk mengangkat tahap status sosial dari tahap sederhana tinggi ke tahap tinggi bukan dengan cara menjadi pekerja tetapi mesti menjadi majikan. Nampaknya masih terlalu jauh perjalanan kami ke tahap itu. Rasanya kami akan berhenti di tahap sederhana tinggi bagi memberi laluan kepada perancangan pendidikan anak2 dalam proses menjadikan mereka anak2 yang soleh yang akan memikul perjuangan Islam. Kami juga ingin memberikan tumpuan yang lebih dan khidmat kami kepada perjuangan memartabatkan Agama Islam di Malaysia.

Saya dan isteri juga merancang untuk menumpukan usaha dalam menambah dan melengkapkan amal ibadah kami terutama ibadah fardhu yang masih belum ditunaikan contohnya ibadah haji dan umrah dan ibadah2 lain. Kami juga merancang untuk membantu ahli keluarga dan masyarakat yang kurang berkemampuan dari segala aspek setakat yang kami ada dan mampu. Semoga niat suci kami diredhai olehNYA. Kerana kami dari dulu lagi sentiasa berpegang kepada prinsip Islam bahawa di dalam hidup kami ada kehidupan orang lain dan di dalam harta kami ada harta orang lain. Oleh itu hidup ini bukan hanya kita tetapi kita berkongsi dengan orang lain. Hendaklah kita tunaikan semua tanggungjawab2 yang wajib ke atas kita untuk kita dan tanggungjawab2 yang wajib di atas kita untuk orang2 lain.

Ya Allah! Ya Tuhanku! Selaku seorang anak askar pencen yang kurang berkemampuan, banyaknya limpahan ni'mat yang Engkau kurniakan kepadaku. Ya Ghoffar! Ampunilah dosa2 aku dan ahli keluargaku. Engkau pandulah aku dan ahli keluargaku ke jalanMu yang benar dan Engkau rahmatilah kehidupan kami sekeluarga sehingga ke akhir hayat kami. Walhamdu Lillahi Rabbil 'Alamin.

Wassalam




Tuesday, December 02, 2008

Merantau di Oxford England Selama 3 Tahun 4 Bulan

Akhirnya saya kembali ke Tanahair Malaysia pada 01hb September 2008 setelah berada di Oxford UK selama 3 tahun 4 bulan bermula pada 01hb Mei 2005 yang lalu. Lama juga saya di Oxford. Banyak sungguh pelajaran dan pengalaman yang saya dapati dan tempuhi sepanjang tempoh tersebut. Berbagai kisah suka dan duka kami sekeluarga di United Kingdom. Namun apa sahaja pengalaman yang saya lalui semuanya membuatkan saya semakin matang dan lebih berkemampuan dalam menghadapi cabaran2 yang mendatang terutamanya di Malaysia.

Tak dapat saya gambarkan betapa seronoknya saya apabila dapat kembali ke Malaysia terutama apabila saya dapat kembali bertugas di sebuah sekolah menengah di Malaysia. Juga bertambah seronok apabila anak2 kami akan memulakan persekolahan mereka di Malaysia pada bulan Januari 2009 nanti. Ditambah lagi kegembiraan ini dengan jumlah 'wang besar' yang saya sekeluarga kumpulkan di sini dan berjaya kami bawa balik ke Malaysia untuk ditukar dengan Ringgit Malaysia. Dikesempatan yang lain saya akan menulis bagaimana kami belanjakan 'wang besar' ini di Malaysia.

Namun disebalik keseronokan kami, ada harga yang tinggi yang perlu kami bayar iaitu 'sebuah perpisahan'. Isteri saya yang masih belum menghabiskan pengajian PHDnya perlu berada di Oxford University selama 6 bulan lagi dan dijangka tamat pada bulan April 2009. Sebab utama kami kembali ke Malaysia adalah kerana cuti tanpa gaji yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia kepada saya telah pun habis dan saya perlu melaporkan diri segera ke Pejabat Pelajaran Selangor. Maka bermulalah perpisahan kami selepas Eidilfitri yang lepas. Saya sudah pun mula bertugas pada 04hb September 2008 di kajang/Bangi Selangor, isteri telah kembali ke Oxford untuk meneruskan perjuangan beliau pada 11hb Oktober 2008 dan kami bernasib baik kerana mertua saya boleh menjaga anak2 kami selama 3 bulan sehinggalah saya akan menjaga mereka sepenuhnya apabila mereka mula bersekolah di Sri Ayesha School, Bandar Baru Bangi pada bulan Januari 2009 nanti.

Kini musim cuti penggal akhir sekolah di seluruh Malaysia. Pada 14hb November 2008 yang lepas saya telah terbang ke Oxford untuk menemani isteri saya. InsyaAllah saya akan kembali ke tanahair bersama2 dengan isteri yang akan bercuti selama 6 minggu di Malaysia pada 17hb Disember 2008. Kami memilih tarikh ini kerana saya terpaksa menghadiri mesyuarat rasmi sekolah pada 20hb Disember 2008 sebagai persiapan pihak sekolah sebelum penggal persekolahan 2009 bermula. Kami juga perlu membuat persiapan kelengkapan sekolah anak2 sebelum tahun baru bermula dan saya dan isteri terlalu merindui putera dan puteri kami.

Nampaknya tahun ini walaupun Eidulfitri kami sambut di Malaysia, Eiduladha kami masih menyambutnya di sini, namun tidaklah meriah kali ini kerana anak2 bersama dengan atuk dan nenek mereka di Terengganu dan isteri saya pun sedang bertungkus lumus belajar sebelum beliau balik bercuti di Malaysia. Namun dengan adanya keluarga sahabat2 saya yang masih tinggal di Oxford maka kuranglah kesunyian saya di sini. Terima kasih kepada sahabat2 sekeluarga yang telah pun membuat majlis jamuan makan baru2 ini, terhibur hati saya dan isteri. Kami amat menghargai apa yang sahabat2 telah lakukan. Terima kasih semua.

Selama 34 hari saya akan berada di Oxford. Kehidupan saya di sini sangat mudah dan ringkas, maklumlah hanya kami berdua sahaja tanpa anak2. Isteri hanya menyewa sebuah bilik besar di rumah satu keluarga Melayu di Headington Oxford, cukuplah untuk kami berdua. Setiap pagi saya akan berjalan kaki bersama isteri menghantar beliau ke pejabat. Tempatnya tak jauh dari rumah hanya mengambil masa 10 minit berjalan kaki. Diwaktu petang saya akan menjemput beliau dan berjalan kaki bersama balik ke rumah. Pada waktu winter (sejuk) begini, besar jugalah cabarannya untuk keluar rumah, tapi kami dah hidup di sini 3 tahun lebih dan ini merupakan winter yang keempat kami di sini, sejuk tu memanglah sejuk sangat2, tapi kami dah biasa dengan cuaca begini. Sunyi rasanya kehidupan tanpa anak2 di sisi, maklumlah ini kali pertama kami berpisah dan kami dah tinggal berkeluarga di Oxford ini selama 3 tahun 4 bulan. Namun ada hikmahnya kerana setelah 9 tahun 6 bulan kami berkahwin kami dapat merasai semula alam percintaan dan ia menguatkan lagi rasa cinta dan kasih sayang kami berdua sebagai suami isteri. Alhamdulillah.

Wassalam




Kembali ke Dunia Blog

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh......

Setelah sekian lama saya menyepi dari dunia blog, kini saya berazam untuk kembali dengan semangat dan sentuhan tulisan yang berbeza, insyaAllah. Kali ini saya akan menulis mengikut minat dan rentak Habibullah Ali bukan lagi Ustaz Habib.

Blog saya bermula pada tahun 2006 dengan nama Sekilas Ustaz Habib dimana saya mengisi penulisan di blog ini dengan tazkirah2 khusus untuk rakan2 di Oxford UK dan juga bekas2 pelajar saya di Malaysia amnya. Namun berdasarkan muhasabah yang saya lakukan dari masa ke semasa, penulisan begitu saya rasa sudah tidak releven bagi saya kerana saya mengambil sikap untuk tidak membicarakan tentang keagamaan melalui internet yang mana pembacanya saya tidak tahu siapa dan latarbelakang mereka. Ini kerana apabila berlaku silap faham dan kesalahan2 lain maka ia tidak dapat dibetulkan dengan cara yang mudah kerana perbincangan ilmiah secara maya bagi saya tidak menepati maksud pembelajaran dan diskusi ilmu yang hakiki. Tepat sekali bila Islam mewajibkam muslim berguru bila belajar ilmu jika tidak maka syaitanlah gurunya.

Namun saya tidak menafikan kelebihan yang ada melalui penyebaran dakwah secara maya ini. Cuma saya rasa ia lebih sesuai dilakukan oleh ulama' yang betul2 pakar agar tidak berlaku silap faham dan kesalahan fakta dan hukum juga dapat menjadi rujukan dan pegangan bagi muslim yang membaca. Bagi saya seorang guru agama di sekolah menengah rasanya belum layak untuk berada di dalam penyebaran dakwah dan perbincangan ilmu secara maya ini. Cukuplah sekiranya saya berdakwah dengan cara saya di sekolah2, masjid2, dewan2 dan di mana sahaja saya diperlukan. Biarlah saya mengajar murid yang saya tahu dan zahir di depan mata dari saya mengajar murid yang saya tak nampak dan tak tahu siapa yang belajar dengan saya. Saya lebih selesa dan tenang begini.

Selepas saya mengurangkan penulisan tazkirah, saya lebih fokuskan kepada penulisan tentang kisah hidup saya, pengalaman saya dan keluarga di perantauan dan apa sahaja yang saya minat untuk menulis tanpa menghadkan pada skop2 tertentu. Akhirnya saya berhenti menulis pada Bulan Januari 2008 bagi menumpukan perhatian kepada pengurusan hidup kami sekeluarga. Kini saya kembali dengan niat untuk terus mengasah bakat penulisan saya yang tak seberapa ini dengan menulis apa sahaja yang saya minat dan apa sahaja yang saya nak simpan sebagai satu kenangan peribadi saya dan keluarga. Terima kasih kepada sesiapa sahaja yang saya dan keluarga kenali maupun tidak kerana sudi membaca dan terbaca blog peribadi saya ini.

Azam utama saya dalam penulisan blog ini hanya satu, iaitu untuk mengasah keupayaan menulis saya dengan harapan dan cita2 agar suatu hari nanti saya mampu menulis buku pertama saya yang dapat dicetak oleh sebuah syarikat buku seterusnya dapat dipasarkan dan dijual kepada masyarakat Malaysia. Buat masa ini saya hanya mampu membina angan2 sahaja. Biarlah taqdir menentukan segala2nya.

Wassalam