
Monday, December 24, 2007
Eidul Adha 2007

Thursday, December 06, 2007
Asyik Teringatkan Malaysia


Wednesday, November 28, 2007
Hobi Dan Angan-angan
Bila masuk zaman universiti, saya mula mengumpul motorsikal. Saya bermula dengan motorsikal Honda Fame di Matrikulasi Akademi Islam UM. Masuk tahun pertama di UM saya tukar kepada Honda EX5, tahun kedua pula saya tukar dengan Yamaha RXZ dan di tahun 3 dan 4 saya pakai Kawasaki KRZ. Sehinggalah saya dihantar bertugas ke Sarawak saya jual KRZ ini kepada seorang adik siswa di UM sebelum berangkat ke Sarawak dan setibanya saya di sana saya beli Modenas Kriss dan saya bawa balik ke Cyberjaya pada tahun 2000. Akhirnya motorsikal ini saya tinggalkan pada bapa mertua saya di Terengganu sebelum saya ke Oxford.
Bila mula bekerja secara rasmi dengan kerajaan saya telah menukar hobi saya dari meminati motorsikal kepada kereta pula. Kereta pertama saya ialah Toyota Corolla SE Limited Edition 1.5. yang saya beli di Sarawak pada tahun 1999 selepas saya berkahwin. Kereta ini saya bawa balik ke Semenanjung Malaysia dan saya beli sebuah lagi kereta kancil untuk kegunaan isteri ke tampat kerja. Pada tahun 2004 saya dah mula berangan-angan untuk tukar kereta. Saya telah menempah KIA Picanto untuk ditukar dengan kancil isteri dan saya telah pergi ke bilik pameran Honda untuk melihat Honda Accord terbaru pada waktu itu. Dipendekkan cerita hajat saya tak kesampaian kerana isteri saya telah mendapat tawaran biasiswa TM untuk melanjutkan pelajarannya ke Oxford. Akhirnya saya jual Toyota Corolla dan kancil dan terbang ke UK.
Monday, November 19, 2007
Kenangan Mengusik Jiwa 1






Tuesday, November 13, 2007
Winter - Ujian Sudah Bermula
Sekarang waktu malam semakin memanjang dan waktu siang semakin memendek. Bayangkan pukul 5 petang dah gelap, waktu maghrib masuk jam 4.00 petang dan pukul 7 pagi pun masih bergelap. Cepat betul masa berlalu dah masuk winter yang ketiga kami di sini. Mungkin winter yang terakhir, InsyaAllah.
Sekarang waktu solat semakin pendek terutama waktu zohor, asar dan maghrib. Kalau tak dijaga betul-betul akan terlepas waktu solat. Kalau di tahun-tahun yang lalu susah juga saya nak uruskan waktu solat dengan baik, terutama pada hari-hari bekerja, maklumlah belum biasa dengan keadaan di sini, sekarang alhamdulillah pengurusan saya semakin baik.
Bila dah masuk tahun yang ketiga saya di sini, saya kadang-kadang sedih dan kesian bila melihat muslim yang mengambil mudah soal solat. Ada muslim yang selalu terlepas waktu solat dalam waktu sekarang yang pendek. Solat itu fardhu ain ke atas setiap muslim tak kira walau dalam apa keadaan sekalipun. Tapi malangnya mereka meninggalkan solat bukan kerana alasan yang kuat tapi kerana sebab-sebab yang remeh temeh. Contohnya, kerana asyik sangat melepak dan berbual-bual kosong akhirnya terlepas waktu solat, juga kerana terlalu asyik bekerja sampai terlupa waktu solat dah habis dan juga kerana terlalu asyik berjalan-jalan dan membeli belah akhirnya solat ditinggalkan. Saya rasa ini kesalahan yang sangat besar kerana kelalaian dan kelemahan iman seseorang muslim itu sendiri. Saya pun tak tahu apa yang mereka nak jawab di hadapan Allah swt di Akhirat kelak.
Waktu hidup kita selalu lupa tanggungjawab kita di dunia sebagai seorang muslim, bila dah mati nanti kita tidak mampu untuk menyesalinya. Masa hidup kita boleh berbangga dengan apa yang kita buat dan apa yang kita ada tapi bila mati menyesal tidak berguna. Sebab itulah saya selalu mengingatkan diri saya dan keluarga tentang keadaan ini. Saya tak mahu hidup di dunia dipenuhi nikmat tapi bila mati di akhirat nanti dilimpahi azab neraka.
Sebagai guru agama, saya bukan risau pada diri saya dan keluarga sahaja. Tapi saya juga risaukan masyarakat persekitaran saya. Saya berasa bertanggungjawab untuk mengingatkan saudara-saudara seagama yang ada. Mungkin bagi sesetengah muslim yang tidak faham Islam berpendapat mengapa mereka perlu menyibuk hal orang lain. Ini muslim yang tidak faham agama mereka sendiri sebenarnya.
Menjadi seorang muslim bukan hanya memikirkan diri dan keluarga mereka sendiri sahaja, tetapi mesti mengambil tahu keadaan masyarakat persekitaran. Tapi bukan senang sebenarnya untuk mengambil berat sesama muslim, ramai orang tak boleh terima, bagi mereka semua dah tahu kewajipan masing-masing, jadi masing-masing jaga diri masing-masing. Dengan keadaan sesetengah masyarakat sekarang yang bijak, ego dan susah mengakui kelemahan diri sendiri terutama dalam aspek keagamaan menjadikan segalanya semakin hari semakin rumit.
Sekali lagi saya ingatkan diri saya dan rakan-rakan seagama untuk menjaga solat, di mana bermula bulan ini waktu solat semakin hari semakin pendek sehinggalah musim sejuk berakhir. Jangan biarkan aktiviti-aktiviti keduniaan kita seperti bekerja, bermesyuarat, berpersatuan melepak, berbual-bual, jamuan, berjalan-jalan, membeli belah dan lain-lain menyebabkan kita terlalai dalam menunaikan solat dalam waktunya.
Wassalam
Monday, November 05, 2007
Syawal 1428H - 'Fitnah 2 jam'
Sebagai penutup 'entry' raya tahun ini. Saya nak bercerita tentang 'apa' yang telah berlaku di Oxford. Setelah hampir sebulan sambutan perayaan Ei'dulfitri diadakan saya cuma terkenangkan peristiwa yang saya tajukkan sebagai 'fitnah 2 jam'. Sebenarnya peristiwa ini banyak berlaku di kalangan masyarakat muslim di UK setiap kali tiba masa untuk menentukan tarikh puasa dan raya. Kecoh dengarnya sehinggakan ada yang sampai ke tahap bergaduh, bertumbuk dan sebagainya. Kenapa? Saya pun susah nak menjawabnya. Hanya yang alim sahaja faham dengan situasi ini.
Saya dapat rasakan 'fitnah 2 jam' ini akan berlaku sebenarnya sebulan sebelum Ramadhan lagi. Saya selalu beritahu isteri yang saya dapat rasakan sesuatu perkara buruk akan berlaku, tapi saya tak tahu bila. Samaada dalam waktu terdekat atau lambat lagi. Dia akan cuba menenangkan saya dan bagitau saya tidak ada apa-apa yang akan berlaku. Setiap minggu malah setiap hari apabila saya berbual dengan isteri, saya akan sebut apa firasat yang saya dapat rasakan. Seperti biasa dia akan tenangkan dan positifkan saya. Ditaqdirkan Ilahi pada pagi hari Khamis sehari sebelum hari raya saya telah diberikan 'alamat' yang besar olehNYA. DitaqdirkanNYA juga saya sangat sibuk pada minggu dan hari tersebut. Banyak urusan kerja dan keluarga yang saya terpaksa uruskan. Akhirnya saya tak pedulikan 'petunjuk' Allah swt ini walaupun sangat jelas DIA cuba mengingatkan saya. Akhirnya saya sedar bila fitnah '2 jam' ini berlaku.
Biar saya ceritakan dahulu 'fitnah 2 jam' ini agar pembaca-pembaca lebih faham. Pada hari Khamis sehari sebelum raya saya terpaksa bekerja lebih masa kerana menggantikan 'site manager' saya yang bercuti sakit. Biasanya saya tidak bekerja pada hari Khamis. Pada jam 5 petang saya masuk kerja seperti biasa dan saya akan memastikan telefon tangan saya baterinya cukup sebelum ke tempat kerja. Selepas Ifthar lebih kurang pukul 7 petang saya dihubungi oleh seorang rakan yang akan menguruskan perayaan di Oxford untuk berbincang tentang penetapan 1 Syawal. Saya pun menerangkan kepada beliau pendapat saya setelah saya mendengar penjelasan beliau tentang keadaan masyarakat Islam dan masjid-masjid di Oxford dan UK. Selepas itu saya mendapat SMS dari rakan-rakan yang lain yang memberitahu bahawa MSD London akan beraya hari Jumaat. Sedangkan mengikut pendapat saya kami kena beraya hari sabtu. Maka bermulalah konflik tersebut.
Saya tidak panik kerana saya tahu apa yang saya telah pelajari sebagai guru agama di Malaysia. Untuk kepastian hukum saya terus menelefon rakan saya, juga seorang ustaz yang mahir dalam hukum fekah yang sedang belajar PHD di Scotland untuk berbincang. Akhirnya kami putuskan sah beraya hari Jumaat tapi lebih afdhal sekiranya kami beraya hari Sabtu. Lepas itu saya hubungi rakan yang akan menguruskan perayaan di sini untuk bertanyakan pendapat seorang ustaz di sini yang bagi saya mahir dalam hukum fekah. Dia telah putuskan keputusan yang sama iaitu sah beraya pada hari jumaat tapi lebih afdhal sekiranya kami beraya hari Sabtu. Saya juga diberitahu oleh rakan yang menghubungi pegawai agama di MSD London. Pegawai agama tersebut juga tak dapat nak putuskan untuk kami di Oxford. Keputusan beliau agar MSD dan masyarakat Malaysia Muslim di London untuk beraya hari Jumaat adalah kerana mengikut masjid terbesar dan rasmi di London yang memang mengikut Arab Saudi yang telah memutuskan untuk beraya hari Jumaat. Bagi saya keputusan yang beliau buat baik untuk masyarakat Malaysia Muslim di London. Tapi keadaan di Oxford berbeza, kerana masjid terbesar dan rasmi di Oxford mengikut keputusan Morocco iaitu negara Islam terdekat dengan UK untuk beraya pada hari Sabtu.
Dengan keyakinan yang saya ada terhadap rakan-rakan di sini, selepas berbagai program keagamaan dan kerohanian yang saya telah adakan di Oxford, saya dapat rasakan ramai rakan yang keimanan mereka telah bersedia untuk meninggalkan yang baik untuk mengambil yang terbaik. Maka saya nasihatkan kepada rakan yang akan menguruskan perayaan di sini untuk beraya pada hari Sabtu. Juga berdasarkan kepada faktor bahawa tahun ini permulaan Ramadhan juga adalah sama di antara masjid besar Oxford dan MSD London, jadi tidak menjadi masaalah sekiranya saya nasihatkan untuk beraya pada hari Sabtu. Perlu saya ingatkan di sini bahawa saya hanya penasihat bukan pembuat keputusan. Setelah perbincangan sesama pakar dalam hukum fekah di UK akhirnya saya nasihatkan rakan saya bahawa sah beraya pada hari Jumaat tapi lebih afdhal jika kami beraya pada hari Sabtu. Akhirnya keputusan ditetapkan pada hari Sabtu.
Selepas keputusan ini dibuat. DitaqdirkanNYA telefon bimbit saya habis bateri kerana penggunaan yang maksima. Maka bermula dari pukul 8 malam lebih hinggalah saya habis kerja pada jam 10 malam. 'Fitnah 2 jam' ini berlaku. Saya telah diberitahu oleh rakan-rakan yang rapat apabila saya dapat menghidupkan kembali telefon bimbit saya selepas jam 10 malam. Besar rupanya fitnah yang berlaku. Banyak kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan oleh orang lain tapi dikatakan saya yang menuturkannya dan banyak sifat-sifat mazmumah terserlah dengan kata-kata kesat yang terkeluar dari mulut muslimin dan muslimat pada malam raya tersebut. Nampaknya ini ujian yang sangat besar bagi saya. Kalau dulu orang lain yang putuskan tapi kali ini tanggungjawab saya amat berat. Bagaimana caranya dalam masa yang amat singkat saya nak terangkan kepada masyarakat untuk memilih yang terbaik dan meninggalkan yang baik. Memang sangat sukar.
Oleh kerana saya tidak mampu menjelaskan perkara ini secara terperinci dan tak mampu untuk menerangkan hukum fekah yang ada, maka untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar di kalangan masyarakat yang ada, saya telah putuskan kami beraya pada hari Jumaat. Ini saya dasarkan kepada 2 masjid kecil di sini yang beraya pada hari Jumaat. Ramai yang menghubungi saya dan menyatakan yang mereka faham dan memberikan sokongan, tapi saya rasa lebih baik saya pilih yang sah dan meninggalkan yang afdhal, selagi masih ramai masyarakat belum memahaminya dan selagi tidak terjerumus ke dalam dosa. Keputusan ini saya ambil semata-mata untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar berlaku setelah saya diberitahu 'fitnah 2 jam' telah berlaku. Mungkin suatu hari nanti masyarakat akan faham. Disinilah baru saya sedar 'alamat' yang DIA dah bagitau saya sebulan sebelum Ramadhan dan 'alamat besar' pada pagi hari Khamis sehari sebelum raya. Alhamdulillah saya berjaya mengatasinya dan menghalang fitnah yang lebih besar dari terjadi dengan pertolongan dan hidayah dariNYA.
Raya tahun ini merupakan perayaan ketiga saya di Oxford. Saya dengar fitnah begini berlaku sejak dari mula saya datang ke UK. Perayaan dan puasa di kalangan muslim di sini tak pernah sama. Satu puak ikut Arab Saudi dan satu puak lagi ikut Morocco (negara Islam terdekat). Setiap tahun perkara begini berlaku. Saya pun tak tahu bila akan berakhir.
Sejak mula sampai ke Oxford pada tahun 2005, saya boleh buat keputusan ikut ilmu agama yang saya pelajari, tapi sebagai orang baru saya lebih suka mengikut kebiasaan masyarakat yang ada selagi ia tidak bercanggah dengan syara'. Pendek kata selagi tidak haram atau berdosa saya akan ikut walaupun saya tahu mana yang terbaik. Alasannya mudah sahaja, sebab saya nak mengelakkan timbul hura-hara dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan tahap pemahaman terhadap Agama Islam. Jadi sebagai orang baru yang belum kenal masyarakat setempat secara mendalam saya ikut sahaja rentak yang ada.
Apabila masyarakat lama yang ada mengatakan yang kita di Oxford setiap tahun mengikut keputusan MSD di London saya ikut sahaja kerana ia sah untuk diikuti dan tidak berdosa mengikut pengetahuan yang saya ada. Saya juga tak berani untuk bersuara lebih kerana bimbang sebarang kemungkinan yang akan timbul disebabkan kejahilan saya dengan tahap keilmuan yang ada di kalangan masyarakat setempat. Ditambah lagi dengan cerita-cerita buruk yang telah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.
Bermula dari 2005 lagi saya tidak mahu memikirkan masaalah tersebut kerana ia sah dan tidak haram untuk mengikut keputusan MSD London. Lalu saya mulakan usaha dakwah Islamiyyah di kalangan masyarakat yang ada. Pelbagai program keagamaan dan kerohanian yang telah saya anjurkan sehingga saya dapat rasakan angin perubahan dari segi keagamaan telah berlaku di Oxford. Mungkin tak banyak perubahannya bagi saya yang dah hampir sepuluh tahun mengajar agama di Malaysia tetapi dah cukup rasanya untuk usaha 2 tahun lebih di sini. Lagipun masih sedikit apa yang saya lakukan. Astaghfirullah hal a'dzim. Berikanlah kami hidayahMU. Yang baik itu adalah dari hidayah Allah swt dan yang buruk itu saya mohon ampun dariNYA. Amin.
SAYA MENYERU DIRI SAYA DAN RAKAN-RAKAN UNTUK SAMA-SAMA MENDALAMI AGAMA ISLAM. AGAR KITA LEBIH FAHAM DAN SENTIASA MENJALANI KEHIDUPAN DI ATAS LANDASAN RABBUL JALIL. TUHAN YANG MENGUASAI SEGALANYA.
Tuesday, October 16, 2007
Hari Raya Fitrah : Kembali Kepada Fitrah
Kalau pembaca membaca tulisan saya yang terakhir mengenai muhasabah ramadhan pembaca akan faham tulisan kali ini. Saya pernah berkata yang saya terlalu terkenangkan sebuah hadis Rasulullah saw dan perasaan bersalah saya kerana terkenangkan amal ibadah yang masih kurang dan tidak cukup dan masih tidak dapat menyamai kebiasaan saya ketika di
Bersempena dengan Hari Raya Fitrah, yang mana manusia muslim sepatutnya kembali kepada fitrah selepas berpuasa sebulan di Bulan Ramadhan, saya telah ditaqdirkan olehNYA kembali kepada fitrah sebagai seorang mu'min, muslim, hamba, manusia, suami, bapa, anak, sahabat dan sebagai seorang yang mendukung perjuangan Islam. Banyak amanah dah tanggungjawab yang perlu saya galas, saya bersyukur kepada Allah swt kerana dikurniakan dengan semua tugasan ini. Saya dapat rasakan bila mana saya dipaksa oleh Allah swt untuk kembali kepada fitrah keimanan saya makin mantap, semangat saya makin padu, saya menjadi seorang yang lebih matang dan saya lebih berkeyakinan, berpengalaman dan berpengetahuan dalam membuat sesuatu tindakan dan keputusan. Alhamdulillah.
Banyak sungguh rasanya dosa saya selama ini, di mana saya telah membiarkan diri saya terlalu lama terleka, terlalai dan hanyut dalam arus rutin kehidupan yang sememangnya bukan menjadi kebiasaan saya sebagai pejuang Islam di Malaysia dahulu. Mungkin keseronokan yang diberikan oleh 'persekitaran' yang bersahabat dengan saya selama 2 tahun setengah ini telah menghanyutkan saya sebegini jauh dari kehidupan seorang 'ustaz'. Dosa-dosa yang banyak yang telah melekat di hati saya dan telah mengotorkan ruh saya telah menyesatkan saya dari fitrah saya yang sebenar yang saya pelajari dan amalkan selama ini di sekolah, masjid, surau, pondok dan universiti.
Alhamdulillah, syukur saya padaNYA kerana telah memanggil saya kembali kepadaNYA. Mungkin pembaca yang mengenali saya dan mengikuti perkembangan saya merasakan yang saya sudah melakukan pelbagai dakwah di dalam masyarakat, tapi sepertimana yang saya telah sebut dalam penulisan saya yang lepas, saya sangat bersedih kerana merasakan banyak sangat kekurangan yang ada yang tak sempat saya penuhi dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim, apalagi pendakwah lantaran leka dengan 'persekitaran'.
Satu perkara yang diluar rutin saya sebelum ini di Bulan Ramadhan yang telah saya lakukan sepanjang sebulan bulan puasa kali ini ialah mentelaah ilmu tasawwuf, saya mengkaji balik semua yang saya telah pelajari dulu. Jadi, mengikut firasat saya, mungkin keberkatan ilmu dan pembacaan saya setiap hari inilah yang mengembalikan saya kepada fitrah dan hidayah Allah swt serta telah berjaya menjawab segala persoalan dan kerisauan saya selama ini. Akhirnya saya ditaqdirkan tunduk kepada 'petunjuk' Allah swt ini.
Kini saya merasa sangat gembira dan lega kerana tuhan telah mengeluarkan saya dari kegelapan kepada cahaya Islam yang kini semakin bersinar dalam hidup saya sekeluarga dan keluarga sahabat-sahabat saya di sini, insyaAllah saya sekeluarga akan terus beristiqamah bersama dengan sokongan dan kekuatan sahabat-sahabat saya dalam memperbanyakkan amal ibadah dalam membaiki diri masing-masing agar persahabatan dan kehidupan kami berjalan di atas landasan Islam dan dirahmati Allah swt dan dilindungi olehNYA. Amin.
Sepanjang bulan ini Allah swt telah banyak menguji keimanan saya dan para sahabat saya. Alhamdulillah semuanya dapat diatasi dengan baik oleh saya dan para sahabat dengan pertolongan Allah swt. Caranya mudah sahaja sebenarnya apabila Allah swt membuka jalanNYA, iatu kembali kepadaNYA sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud "Sekiranya kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalilah kepada Allah swt dan RasulNYA......". Juga FirmanNYA yang bermaksud " Katakanlah (Wahai Muhammad) sekiranya kamu kasihkan Allah maka ikutilah aku.......". Berpegang kepada dalil-dalil inilah, maka kami telah berjaya memulihkan keimanan, semangat dan keadaan.
InsyaAllah selepas selesai semua kesibukan raya dan puasa sunat 6 hari di Bulan Syawal saya akan kembali meneruskan aktiviti-aktiviti dakwah saya di sini. Buat masa sekarang saya sibuk dengan amalan-amalan individu dalam usaha menguatkan keimanan saya kepada Rabbul-Jalil. Saya berdoa agar DIA terus menyuntik semangat dan keimanan saya untuk beristiqamah dalam bertaubat, bertahajjud, berzikir dan bersolat hajat dan doa agar saya dan sahabat-sahabat saya diberkati Allah swt dan dilindungi olehNYA. Bismillahi tawakkalna 'alallahi walahaulawalaquwwata illa billahil 'aliyyul 'adzim. Wassalam
SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN
Wednesday, October 10, 2007
Ramadhan Akan Berlalu : Satu Muhasabah
Berpuasa dimana-mana pun sama sahaja sebenarnya, ia banyak bergantung kepada kekuatan iman kita, cuma kadang-kadang tempat dan suasana juga berjaya mempengaruhi muslim dalam melaksanakan tuntutan ibadah kepada Allah swt. Bila tempat berubah kadang-kadang ia boleh mengubah gaya atau rutin hidup kita. Bagi saya berada di Oxford banyak mengajar saya tentang kehidupan berpuasa di negara bukan Islam. Tahun ini tahun ketiga saya berpuasa di sini dan banyak kenangan manis dan pahit yang telah saya lalui sepanjang berpuasa di sini.
Bila dah masuk 3 kali Ramadhan di sini saya dah mula dapat menerima budaya berpuasa di sini, cuma saya rindukan rutin hidup, dakwah dan ibadah saya di Malaysia. Memanglah di sini saya dah adakan berbagai program Ramadhan dalam mengisi tuntutan agama ke atas diri saya dan orang lain tetapi tak cukup rasanya dan masih belum dapat menyamai apa yang biasa saya lakukan di Malaysia. Dengan keadaan saya yang berada dalam suasana masyarakat, kerja, cuaca dan tempat tinggal yang 'begini' membuatkan saya masih belum berpuas hati dengan apa yang saya telah lakukan untuk Ramadhan kali ini di Oxford, rasanya masih banyak amal ibadah yang saya belum lakukan. Rutin hidup saya sekeluarga di sini tidak banyak membantu kami dalam menghambakan diri pada Yang Maha Esa. Inilah antara sebab terbesar kenapa saya cuba untuk pulang lebih awal ke tanahair.
Kehidupan di sini memang menyeronokkan. Keadaan cuaca yang tidak panas, waktu ifthar yang lebih awal, dengan duit 'pound sterling'nya, dengan kereta dan harga minyaknya yang murah, dengan kos makanannya yang rendah, dengan peluang melancong ke luar negara dan bermacam-macam lagi benda dan perkara yang tidak boleh kita dapat di Malaysia. Tetapi bagi diri saya sebagai muslim, mu'min, guru agama, pendakwah, suami dan bapa serta ketua keluarga, tidak cukup rasanya. Bukannya tak boleh beribadah, kami sudah cuba membuat yang terbaik setakat yang kami mampu, tapi corak kehidupan kami yang tak sama dengan tempat asal membuatkan saya rasa tidak cukup, masih belum menyamai apa yang kami dah lakukan ketika di Malaysia. Mungkin orang akan bertanya, kenapa orang lain boleh saya tak boleh. Saya hanya menilai diri saya bukan menilai orang lain, mungkin saya 'jaguh kampung', tapi itulah saya, seorang yang agak susah nak menerima corak kehidupan di tempat baru, apatah lagi di tempat orang yang budaya hidupnya tidak Islamik.
Almaklum sajalah saya dilahirkan di Malaysia dan hidup selama 32 tahun di Malaysia dan hampir dua puluh tahun terlibat dengan aktiviti-aktiviti keagamaan di Malaysia dan hampir sepuluh tahun juga saya mengajar Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di Malaysia, jadi dalam masa 3 tahun tak cukup rasanya untuk saya meletakkan satu garis panduan Islam yang lengkap dalam diri saya dan keluarga, mungkin ia dari kelemahan saya juga. Walaupun cuba hidup dengan cara hidup Islam sepenuhnya tapi belum cukup mantap rasanya, banyak lagi kekurangan yang ada. Disebabkan faktor keagamaan inilah juga kenapa saya perlu membawa keluarga saya pulang ke tanahair secepat mungkin. InsyaAllah tak lama lagi rasanya.
Situasi kami agak berbeza dengan salah seorang sahabat saya di sini yang telah lama terlibat dengan aktiviti keagamaan di sini dan saya rasa beliau cukup mahir dengan cara hidup seorang muslim sejati di negara bukan Islam ini. Satu contoh yang saya nak kongsikan ialah persekolahan anak saya. Sekolah yang terbaik di sini biasanya sekolah yang berlatarbelakangkan agama Kristian, banyak aktiviti-aktiviti yang bercangggah dengan Islam yang telah diadakan oleh pihak pengurusan sekolah dan sekolah juga memang mempunyai hubungan yang rapat dengan gereja di sini. Pembelajaran agama pun diajar semua agama tetapi keutamaan diberikan kepada agama Kristian. Jadi apa yang orang Islam boleh lakukan. Situasi di sekolah tidak dapat membantu menguatkan Aqidah Islamiyyah anak saya, tapi kami telah dan akan cuba sedaya upaya untuk mengelak dari terlibat dengan aktiviti-aktiviti Kristian semaksima mungkin, kadang-kadang ada juga aktiviti yang melibatkan gereja dan anak saya terpaksa kami cutikan daripada bersekolah pada hari yg terlibat. Risau kami dibuatnya, tapi itulah pilihan yang kami ada di sini. Banyak lagi contoh lain yang tak dapat saya coretkan di sini.
Kepada sesiapa yang merasakan keislaman dan keimanan mereka semakin bertambah baik di sini bolehlah mereka berada di sini lebih lama dan mungkin tinggal menetap terus di sini kerana di negara bukan Islam begini memerlukan ramai muslim yang sebenar dan kuat keimanannya untuk berdepan dengan semua mehnah di sini dan menghadapi cabaran dakwah di sini serta menjadi contoh kepada orang-orang Islam dan yang bukan Islam. Bagi diri saya sekeluarga saya rasa kami lebih baik dan lebih bermanfaat kepada Ummah Islamiyyah sekiranya kami berada di Malaysia.
Wassalam
Thursday, September 20, 2007
Ihya' Ramadhan Oxford 07
Kini keadaannya berbeza di sini, saya tidak sesibuk dulu lagi, Walaupun tidak banyak program Ramadhan yang diatur di sini, tapi bagi menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang yang telah dianugerahkan sedikit ilmu agama oleh Allah swt, saya telah aturkan program Ihya' Ramadhan bagi saya dan rakan-rakan di Oxford, khusus kepada mereka yang berminat. Keadaan di sini tak sama dengan di Malaysia dimana saya banyak mendapat jemputan. Tapi tugas dakwah Islamiyyah bukan menanti jemputan, ia perlu dilakukan tak kira apa keadaan sekalipun. Hanya yag terlibat dengan dakwah agama Allah swt ini sahaja yang betul-betul faham tanggungjawab ini.
Kalau diikutkan hati memang saya pun tidak mahu berbuat apa-apa berdasarkan keadaan di sini, tapi kerana DIA saya gagahkan juga. Saya kena kuatkan iman dan banyak beristighfar serta berfikiran positif, pembersihan hati sangat penting dalam menghidupkan dan menjaga agama Allah swt ini. Kerana bagi saya hanya dakwah yang ikhlas dengan hati yang suci sahaja yang akan menguatkan semangat keimanan saya dan memberi kesan yang positif kepada saya dan masyarakat, jadi sebelum saya memulakan kerja-kerja dakwah saya, saya mesti bersihkan dahulu hati saya dari sebarang kekotoran yang ada. Alhamdulillah setakat ini saya berjaya.
Mengimbas kembali Ramadhan pertama saya di sini pada tahun 2005, program yang ada di sini ialah solat tarawih berjemaah setiap hari sabtu, jadi sepanjang bulan Ramadhan hanya 4 kali sahaja solat tarawih berjemaah diadakan dan bila berakhir Ramadhan saya tambah dengan solat sunat Idilfitri kerana pada tahun sebelumnya tidak diadakan solat hari raya. 2006 pula saya mula mengimamkan sepenuhnya solat tarawih berjemaah di sini dan saya buat sedikit perubahan dengan mengadakan sebanyak 8 rakaat tarawih dan 3 witir sahaja tapi saya tambah dengan penyampaian tazkirah selama 5-10 minit. Kerana bagi saya itu yang terbaik untuk jamaah yang ada di sini setelah berbincang dengan beberapa orang rakan di sini. 2006 juga saya telah mencadangkan kepada rakan-rakan di sini untuk mengaturkan majlis berbuka puasa berjemaah. Alhamdulillah berjaya juga diadakan walaupun sekali sahaja sepanjang Ramadhan.
Tahun ini 2007 kerja-kerja dakwah islamiyyah saya sepanjang Ramadhan semakin berkembang maju. Alhamdulillah saya sudah mula yakin dengan kerja-kerja dakwah saya. Saya telah berjaya mengaturkan program Ihya' Ramadhan ( menghidupkan Ramadhan ) untuk sebulan ini. Program pertama saya ialah 3 siri Iftar Jamaie yang diadakan di 3 buah rumah termasuklah rumah baru saya. Bantuan dari rakan-rakan di sini adalah baik sehinggakan saya tidak ada masaalah untuk memilih rumah untuk program ini. Program kedua saya pula ialah tarawih berjemaah di salah sebuah rumah di Oxford. Alhamdulillah ada rakan yang setuju untuk menjadikan rumah beliau sebagai surau dan berjaya diadakan dengan penuh kesederhanaan dan keberkatan. Solat tarawih yang diadakan setiap hari rabu ini adalah sebagai tambahan kepada solat tarawih yang diadakan seperti biasa setiap hari sabtu seperti tahun-tahun lepas. Ini bermakna masyarakat Oxford telah mula menunaikan solat tarawih bersama sebanyak 2 kali seminggu. Syukur saya padaNYA.
Program saya yang ketiga ialah program yang saya namakan Memburu KasihMU. Kalau rakan-rakan dan anak-anak murid saya di Malaysia membaca blog saya ini mereka sudah pasti tahu apa programnya, kerana program ini telah saya adakah sebanyak berpuluh-puluh siri di Malaysia. Memburu KasihMU ialah program yang saya namakan bagi setiap program qiamullail yang saya anjurkan di Malaysia bermula dari tahun 1998 iaitu tahun saya mula mengajar. Alhamdulillah saya dapat menyambungnya di sini. Melalui program ini saya akan aturkan ibadah-ibadah sunat yang boleh dilakukan oleh seseorang muslim sepanjang qiamullai ( bangun malam ) dan akan diakhiri dengan sahur bersama-sama. Alhamdulillah setakat ini program ini menerima reaksi yang positif dari rakan-rakan di Oxford.
Harapan saya agar Program Ihya' Ramadhan ini akan memutikkan keimanan yang utuh dikalangan rakan-rakan di Oxford dengan harapan kita sama-sama dapat meletakkan Islam sebagai keutamaan dalam apa jua urusan dan keadaan. Melalui Ihya' Ramadhan juga akan menguatkan silaturrahim di kalangan mereka yang menyertainya dan membuang segala sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri kita semua agar kita menjadi muslim atau mukmin yang lebih baik selepas Ramadhan nanti kerana Ramadhan merupakan bulan latihan yang melatih umat Islam ke arah yang lebih Islamik dan lebih berkualiti selepas Ramadhan. Semoga saya dan rakan-rakan di Oxford berjaya sampai ke tahap ini. Amin.