Tuesday, October 16, 2007

Hari Raya Fitrah : Kembali Kepada Fitrah

Saya dapat rasakan bahawa ramai pembaca blog saya yang ternanti-nantikan tulisan saya kali ini. Mungkin pembaca nak baca penulisan saya tentang raya tahun ini setelah 'apa' yang berlaku. Saya minta maaf banyak-banyak kerana tidak mempunyai masa untuk menulis kerana kesibukan saya bekerja 'overtime' kerana saya terpaksa menggantikan 'site manager' saya yang bercuti sakit, jadi setiap hari saya kena bekerja pada minggu lepas dan minggu ini. Alhamdulillah ada juga masa saya untuk menulis 'entry raya'.

Kalau pembaca membaca tulisan saya yang terakhir mengenai muhasabah ramadhan pembaca akan faham tulisan kali ini. Saya pernah berkata yang saya terlalu terkenangkan sebuah hadis Rasulullah saw dan perasaan bersalah saya kerana terkenangkan amal ibadah yang masih kurang dan tidak cukup dan masih tidak dapat menyamai kebiasaan saya ketika di Malaysia dahulu. Kerisauan, keraguan dan pencarian saya akhirnya bertemu titik noktahnya.

Bersempena dengan Hari Raya Fitrah, yang mana manusia muslim sepatutnya kembali kepada fitrah selepas berpuasa sebulan di Bulan Ramadhan, saya telah ditaqdirkan olehNYA kembali kepada fitrah sebagai seorang mu'min, muslim, hamba, manusia, suami, bapa, anak, sahabat dan sebagai seorang yang mendukung perjuangan Islam. Banyak amanah dah tanggungjawab yang perlu saya galas, saya bersyukur kepada Allah swt kerana dikurniakan dengan semua tugasan ini. Saya dapat rasakan bila mana saya dipaksa oleh Allah swt untuk kembali kepada fitrah keimanan saya makin mantap, semangat saya makin padu, saya menjadi seorang yang lebih matang dan saya lebih berkeyakinan, berpengalaman dan berpengetahuan dalam membuat sesuatu tindakan dan keputusan. Alhamdulillah.

Banyak sungguh rasanya dosa saya selama ini, di mana saya telah membiarkan diri saya terlalu lama terleka, terlalai dan hanyut dalam arus rutin kehidupan yang sememangnya bukan menjadi kebiasaan saya sebagai pejuang Islam di Malaysia dahulu. Mungkin keseronokan yang diberikan oleh 'persekitaran' yang bersahabat dengan saya selama 2 tahun setengah ini telah menghanyutkan saya sebegini jauh dari kehidupan seorang 'ustaz'. Dosa-dosa yang banyak yang telah melekat di hati saya dan telah mengotorkan ruh saya telah menyesatkan saya dari fitrah saya yang sebenar yang saya pelajari dan amalkan selama ini di sekolah, masjid, surau, pondok dan universiti.

Alhamdulillah, syukur saya padaNYA kerana telah memanggil saya kembali kepadaNYA. Mungkin pembaca yang mengenali saya dan mengikuti perkembangan saya merasakan yang saya sudah melakukan pelbagai dakwah di dalam masyarakat, tapi sepertimana yang saya telah sebut dalam penulisan saya yang lepas, saya sangat bersedih kerana merasakan banyak sangat kekurangan yang ada yang tak sempat saya penuhi dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim, apalagi pendakwah lantaran leka dengan 'persekitaran'.

Satu perkara yang diluar rutin saya sebelum ini di Bulan Ramadhan yang telah saya lakukan sepanjang sebulan bulan puasa kali ini ialah mentelaah ilmu tasawwuf, saya mengkaji balik semua yang saya telah pelajari dulu. Jadi, mengikut firasat saya, mungkin keberkatan ilmu dan pembacaan saya setiap hari inilah yang mengembalikan saya kepada fitrah dan hidayah Allah swt serta telah berjaya menjawab segala persoalan dan kerisauan saya selama ini. Akhirnya saya ditaqdirkan tunduk kepada 'petunjuk' Allah swt ini.

Kini saya merasa sangat gembira dan lega kerana tuhan telah mengeluarkan saya dari kegelapan kepada cahaya Islam yang kini semakin bersinar dalam hidup saya sekeluarga dan keluarga sahabat-sahabat saya di sini, insyaAllah saya sekeluarga akan terus beristiqamah bersama dengan sokongan dan kekuatan sahabat-sahabat saya dalam memperbanyakkan amal ibadah dalam membaiki diri masing-masing agar persahabatan dan kehidupan kami berjalan di atas landasan Islam dan dirahmati Allah swt dan dilindungi olehNYA. Amin.

Sepanjang bulan ini Allah swt telah banyak menguji keimanan saya dan para sahabat saya. Alhamdulillah semuanya dapat diatasi dengan baik oleh saya dan para sahabat dengan pertolongan Allah swt. Caranya mudah sahaja sebenarnya apabila Allah swt membuka jalanNYA, iatu kembali kepadaNYA sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud "Sekiranya kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalilah kepada Allah swt dan RasulNYA......". Juga FirmanNYA yang bermaksud " Katakanlah (Wahai Muhammad) sekiranya kamu kasihkan Allah maka ikutilah aku.......". Berpegang kepada dalil-dalil inilah, maka kami telah berjaya memulihkan keimanan, semangat dan keadaan.

InsyaAllah selepas selesai semua kesibukan raya dan puasa sunat 6 hari di Bulan Syawal saya akan kembali meneruskan aktiviti-aktiviti dakwah saya di sini. Buat masa sekarang saya sibuk dengan amalan-amalan individu dalam usaha menguatkan keimanan saya kepada Rabbul-Jalil. Saya berdoa agar DIA terus menyuntik semangat dan keimanan saya untuk beristiqamah dalam bertaubat, bertahajjud, berzikir dan bersolat hajat dan doa agar saya dan sahabat-sahabat saya diberkati Allah swt dan dilindungi olehNYA. Bismillahi tawakkalna 'alallahi walahaulawalaquwwata illa billahil 'aliyyul 'adzim. Wassalam

SELAMAT HARI RAYA DAN MAAF ZAHIR BATIN