Kali ini saya nak berkongsi hobi saya. Bukan mengumpul setem, tapi mengumpul kenderaan. Kalau di zaman sekolah-sekolah dulu saya suka mengumpul basikal, berbagai jenis basikal saya dah gunakan, dari basikal biasa yang ada bakul kepada BMX hinggalah ke basikal lumba. Saya juga pernah membeli basikal terpakai dan membina basikal sendiri sehingga rupanya dah tak macam basikal tapi dah berupa motorsikal cuma tidak ada enjin sahaja.
Bila masuk zaman universiti, saya mula mengumpul motorsikal. Saya bermula dengan motorsikal Honda Fame di Matrikulasi Akademi Islam UM. Masuk tahun pertama di UM saya tukar kepada Honda EX5, tahun kedua pula saya tukar dengan Yamaha RXZ dan di tahun 3 dan 4 saya pakai Kawasaki KRZ. Sehinggalah saya dihantar bertugas ke Sarawak saya jual KRZ ini kepada seorang adik siswa di UM sebelum berangkat ke Sarawak dan setibanya saya di sana saya beli Modenas Kriss dan saya bawa balik ke Cyberjaya pada tahun 2000. Akhirnya motorsikal ini saya tinggalkan pada bapa mertua saya di Terengganu sebelum saya ke Oxford.
Bila mula bekerja secara rasmi dengan kerajaan saya telah menukar hobi saya dari meminati motorsikal kepada kereta pula. Kereta pertama saya ialah Toyota Corolla SE Limited Edition 1.5. yang saya beli di Sarawak pada tahun 1999 selepas saya berkahwin. Kereta ini saya bawa balik ke Semenanjung Malaysia dan saya beli sebuah lagi kereta kancil untuk kegunaan isteri ke tampat kerja. Pada tahun 2004 saya dah mula berangan-angan untuk tukar kereta. Saya telah menempah KIA Picanto untuk ditukar dengan kancil isteri dan saya telah pergi ke bilik pameran Honda untuk melihat Honda Accord terbaru pada waktu itu. Dipendekkan cerita hajat saya tak kesampaian kerana isteri saya telah mendapat tawaran biasiswa TM untuk melanjutkan pelajarannya ke Oxford. Akhirnya saya jual Toyota Corolla dan kancil dan terbang ke UK.
E200K Elegance
Bila dah sampai ke Oxford pada tahun 2005 saya terus beli sebuah kereta lama iaitu Ford Escort tahun 1984, Ford ini sangat popular di kalangan romeo-romeo di Malaysia pada zaman 80an. Pada tahun 2006 saya bertukar pula kepada kereta Rover 400 tahun 1998, saya suka sangat kereta ni, dia sporty dan nampak baru serta popular di kalangan orang muda-muda di sini. Pada awal tahun 2007 saya mula mencari kereta untuk dibawa balik ke Malaysia. Di sini Mercedes Benz murah sangat berbanding di Malaysia, jadi saya ambil peluang yang ada. Saya beli E200K Elegance tahun 2001. InsyaAllah kereta ini akan dibawa balik ke Malaysia pada hujung tahun 2008.Saya rasa tak lama saya pakai E200K ni, sebab saya dah mula jatuh cinta dengan model terbaru Toyota Camry yang baru dilancarkan awal tahun ini di Malaysia, jadi berbekalkan modal Mercedes ini insyaAllah saya nak beralih kepada Camry. Kalau model Camry yang lepas-lepas memang tak cantik, maklumlah orang Malaysia panggil kereta 'ah pek', tapi model baru ini cukup mengancam. Model-model Honda Accord lebih cantik dan diminati di kalangan orang Melayu khususnya. Tapi kali ini saya rasa Camry dah dapat mengalahkan Honda Accord. Cuma rumus ada mengatakan Honda Accord akan keluarkan model barunya pada akhir 2008 atau awal 2009. Nampaknya saya kena tunggu 2009 baru dapat putuskan Camry atau Accord. Untuk isteri saya pilihan pertama saya ialah Honda Jazz atau Perodua Myvi, mungkin juga Proton Satria Neo. Tengoklah nanti kerana semuanya masih terlalu awal.