Monday, November 05, 2007

Syawal 1428H - 'Fitnah 2 jam'

Beberapa hari lagi Syawal akan meninggalkan kita. Walaupun Allah swt menghukumkan sunat beraya sehari sahaja pada 1 Syawal tapi muslim di Malaysia khususnya beraya sebulan. Biasalah benda seronok ni kalau boleh nak dilakukan sepanjang tahun. Tapi kalau Ramadhan semua nak cepat habis.

Sebagai penutup 'entry' raya tahun ini. Saya nak bercerita tentang 'apa' yang telah berlaku di Oxford. Setelah hampir sebulan sambutan perayaan Ei'dulfitri diadakan saya cuma terkenangkan peristiwa yang saya tajukkan sebagai 'fitnah 2 jam'. Sebenarnya peristiwa ini banyak berlaku di kalangan masyarakat muslim di UK setiap kali tiba masa untuk menentukan tarikh puasa dan raya. Kecoh dengarnya sehinggakan ada yang sampai ke tahap bergaduh, bertumbuk dan sebagainya. Kenapa? Saya pun susah nak menjawabnya. Hanya yang alim sahaja faham dengan situasi ini.

Saya dapat rasakan 'fitnah 2 jam' ini akan berlaku sebenarnya sebulan sebelum Ramadhan lagi. Saya selalu beritahu isteri yang saya dapat rasakan sesuatu perkara buruk akan berlaku, tapi saya tak tahu bila. Samaada dalam waktu terdekat atau lambat lagi. Dia akan cuba menenangkan saya dan bagitau saya tidak ada apa-apa yang akan berlaku. Setiap minggu malah setiap hari apabila saya berbual dengan isteri, saya akan sebut apa firasat yang saya dapat rasakan. Seperti biasa dia akan tenangkan dan positifkan saya. Ditaqdirkan Ilahi pada pagi hari Khamis sehari sebelum hari raya saya telah diberikan 'alamat' yang besar olehNYA. DitaqdirkanNYA juga saya sangat sibuk pada minggu dan hari tersebut. Banyak urusan kerja dan keluarga yang saya terpaksa uruskan. Akhirnya saya tak pedulikan 'petunjuk' Allah swt ini walaupun sangat jelas DIA cuba mengingatkan saya. Akhirnya saya sedar bila fitnah '2 jam' ini berlaku.

Biar saya ceritakan dahulu 'fitnah 2 jam' ini agar pembaca-pembaca lebih faham. Pada hari Khamis sehari sebelum raya saya terpaksa bekerja lebih masa kerana menggantikan 'site manager' saya yang bercuti sakit. Biasanya saya tidak bekerja pada hari Khamis. Pada jam 5 petang saya masuk kerja seperti biasa dan saya akan memastikan telefon tangan saya baterinya cukup sebelum ke tempat kerja. Selepas Ifthar lebih kurang pukul 7 petang saya dihubungi oleh seorang rakan yang akan menguruskan perayaan di Oxford untuk berbincang tentang penetapan 1 Syawal. Saya pun menerangkan kepada beliau pendapat saya setelah saya mendengar penjelasan beliau tentang keadaan masyarakat Islam dan masjid-masjid di Oxford dan UK. Selepas itu saya mendapat SMS dari rakan-rakan yang lain yang memberitahu bahawa MSD London akan beraya hari Jumaat. Sedangkan mengikut pendapat saya kami kena beraya hari sabtu. Maka bermulalah konflik tersebut.

Saya tidak panik kerana saya tahu apa yang saya telah pelajari sebagai guru agama di Malaysia. Untuk kepastian hukum saya terus menelefon rakan saya, juga seorang ustaz yang mahir dalam hukum fekah yang sedang belajar PHD di Scotland untuk berbincang. Akhirnya kami putuskan sah beraya hari Jumaat tapi lebih afdhal sekiranya kami beraya hari Sabtu. Lepas itu saya hubungi rakan yang akan menguruskan perayaan di sini untuk bertanyakan pendapat seorang ustaz di sini yang bagi saya mahir dalam hukum fekah. Dia telah putuskan keputusan yang sama iaitu sah beraya pada hari jumaat tapi lebih afdhal sekiranya kami beraya hari Sabtu. Saya juga diberitahu oleh rakan yang menghubungi pegawai agama di MSD London. Pegawai agama tersebut juga tak dapat nak putuskan untuk kami di Oxford. Keputusan beliau agar MSD dan masyarakat Malaysia Muslim di London untuk beraya hari Jumaat adalah kerana mengikut masjid terbesar dan rasmi di London yang memang mengikut Arab Saudi yang telah memutuskan untuk beraya hari Jumaat. Bagi saya keputusan yang beliau buat baik untuk masyarakat Malaysia Muslim di London. Tapi keadaan di Oxford berbeza, kerana masjid terbesar dan rasmi di Oxford mengikut keputusan Morocco iaitu negara Islam terdekat dengan UK untuk beraya pada hari Sabtu.

Dengan keyakinan yang saya ada terhadap rakan-rakan di sini, selepas berbagai program keagamaan dan kerohanian yang saya telah adakan di Oxford, saya dapat rasakan ramai rakan yang keimanan mereka telah bersedia untuk meninggalkan yang baik untuk mengambil yang terbaik. Maka saya nasihatkan kepada rakan yang akan menguruskan perayaan di sini untuk beraya pada hari Sabtu. Juga berdasarkan kepada faktor bahawa tahun ini permulaan Ramadhan juga adalah sama di antara masjid besar Oxford dan MSD London, jadi tidak menjadi masaalah sekiranya saya nasihatkan untuk beraya pada hari Sabtu. Perlu saya ingatkan di sini bahawa saya hanya penasihat bukan pembuat keputusan. Setelah perbincangan sesama pakar dalam hukum fekah di UK akhirnya saya nasihatkan rakan saya bahawa sah beraya pada hari Jumaat tapi lebih afdhal jika kami beraya pada hari Sabtu. Akhirnya keputusan ditetapkan pada hari Sabtu.

Selepas keputusan ini dibuat. DitaqdirkanNYA telefon bimbit saya habis bateri kerana penggunaan yang maksima. Maka bermula dari pukul 8 malam lebih hinggalah saya habis kerja pada jam 10 malam. 'Fitnah 2 jam' ini berlaku. Saya telah diberitahu oleh rakan-rakan yang rapat apabila saya dapat menghidupkan kembali telefon bimbit saya selepas jam 10 malam. Besar rupanya fitnah yang berlaku. Banyak kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan oleh orang lain tapi dikatakan saya yang menuturkannya dan banyak sifat-sifat mazmumah terserlah dengan kata-kata kesat yang terkeluar dari mulut muslimin dan muslimat pada malam raya tersebut. Nampaknya ini ujian yang sangat besar bagi saya. Kalau dulu orang lain yang putuskan tapi kali ini tanggungjawab saya amat berat. Bagaimana caranya dalam masa yang amat singkat saya nak terangkan kepada masyarakat untuk memilih yang terbaik dan meninggalkan yang baik. Memang sangat sukar.

Oleh kerana saya tidak mampu menjelaskan perkara ini secara terperinci dan tak mampu untuk menerangkan hukum fekah yang ada, maka untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar di kalangan masyarakat yang ada, saya telah putuskan kami beraya pada hari Jumaat. Ini saya dasarkan kepada 2 masjid kecil di sini yang beraya pada hari Jumaat. Ramai yang menghubungi saya dan menyatakan yang mereka faham dan memberikan sokongan, tapi saya rasa lebih baik saya pilih yang sah dan meninggalkan yang afdhal, selagi masih ramai masyarakat belum memahaminya dan selagi tidak terjerumus ke dalam dosa. Keputusan ini saya ambil semata-mata untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar berlaku setelah saya diberitahu 'fitnah 2 jam' telah berlaku. Mungkin suatu hari nanti masyarakat akan faham. Disinilah baru saya sedar 'alamat' yang DIA dah bagitau saya sebulan sebelum Ramadhan dan 'alamat besar' pada pagi hari Khamis sehari sebelum raya. Alhamdulillah saya berjaya mengatasinya dan menghalang fitnah yang lebih besar dari terjadi dengan pertolongan dan hidayah dariNYA.

Raya tahun ini merupakan perayaan ketiga saya di Oxford. Saya dengar fitnah begini berlaku sejak dari mula saya datang ke UK. Perayaan dan puasa di kalangan muslim di sini tak pernah sama. Satu puak ikut Arab Saudi dan satu puak lagi ikut Morocco (negara Islam terdekat). Setiap tahun perkara begini berlaku. Saya pun tak tahu bila akan berakhir.

Sejak mula sampai ke Oxford pada tahun 2005, saya boleh buat keputusan ikut ilmu agama yang saya pelajari, tapi sebagai orang baru saya lebih suka mengikut kebiasaan masyarakat yang ada selagi ia tidak bercanggah dengan syara'. Pendek kata selagi tidak haram atau berdosa saya akan ikut walaupun saya tahu mana yang terbaik. Alasannya mudah sahaja, sebab saya nak mengelakkan timbul hura-hara dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan tahap pemahaman terhadap Agama Islam. Jadi sebagai orang baru yang belum kenal masyarakat setempat secara mendalam saya ikut sahaja rentak yang ada.

Apabila masyarakat lama yang ada mengatakan yang kita di Oxford setiap tahun mengikut keputusan MSD di London saya ikut sahaja kerana ia sah untuk diikuti dan tidak berdosa mengikut pengetahuan yang saya ada. Saya juga tak berani untuk bersuara lebih kerana bimbang sebarang kemungkinan yang akan timbul disebabkan kejahilan saya dengan tahap keilmuan yang ada di kalangan masyarakat setempat. Ditambah lagi dengan cerita-cerita buruk yang telah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.

Bermula dari 2005 lagi saya tidak mahu memikirkan masaalah tersebut kerana ia sah dan tidak haram untuk mengikut keputusan MSD London. Lalu saya mulakan usaha dakwah Islamiyyah di kalangan masyarakat yang ada. Pelbagai program keagamaan dan kerohanian yang telah saya anjurkan sehingga saya dapat rasakan angin perubahan dari segi keagamaan telah berlaku di Oxford. Mungkin tak banyak perubahannya bagi saya yang dah hampir sepuluh tahun mengajar agama di Malaysia tetapi dah cukup rasanya untuk usaha 2 tahun lebih di sini. Lagipun masih sedikit apa yang saya lakukan. Astaghfirullah hal a'dzim. Berikanlah kami hidayahMU. Yang baik itu adalah dari hidayah Allah swt dan yang buruk itu saya mohon ampun dariNYA. Amin.

SAYA MENYERU DIRI SAYA DAN RAKAN-RAKAN UNTUK SAMA-SAMA MENDALAMI AGAMA ISLAM. AGAR KITA LEBIH FAHAM DAN SENTIASA MENJALANI KEHIDUPAN DI ATAS LANDASAN RABBUL JALIL. TUHAN YANG MENGUASAI SEGALANYA.