Wednesday, October 10, 2007

Ramadhan Akan Berlalu : Satu Muhasabah

Ramadhan akan berlalu, Syawal menjelang tiba. Sedih memang la sedih rasanya, Tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. Kerana Ramadhan kali ini saya selalu terkenang-kenangkan Hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ini "Ramadhan, awalnya Rahmah, pertengahannya Maghfirah, dan akhirnya dibebaskan dari api neraka" (H.R. Ibnu Huzaimah). Bagi saya kalau dapat apa yang dimaksudkan oleh hadis ini sudah cukup rasanya untuk bergelar mu'min. Persoalannya adakah saya dapat mencapai apa yang dianugerahkan Allah swt melalui hadis tersebut. Sedih dan risau saya bila memikirkan budaya berpuasa di negara bukan Islam.

Berpuasa dimana-mana pun sama sahaja sebenarnya, ia banyak bergantung kepada kekuatan iman kita, cuma kadang-kadang tempat dan suasana juga berjaya mempengaruhi muslim dalam melaksanakan tuntutan ibadah kepada Allah swt. Bila tempat berubah kadang-kadang ia boleh mengubah gaya atau rutin hidup kita. Bagi saya berada di Oxford banyak mengajar saya tentang kehidupan berpuasa di negara bukan Islam. Tahun ini tahun ketiga saya berpuasa di sini dan banyak kenangan manis dan pahit yang telah saya lalui sepanjang berpuasa di sini.

Bila dah masuk 3 kali Ramadhan di sini saya dah mula dapat menerima budaya berpuasa di sini, cuma saya rindukan rutin hidup, dakwah dan ibadah saya di Malaysia. Memanglah di sini saya dah adakan berbagai program Ramadhan dalam mengisi tuntutan agama ke atas diri saya dan orang lain tetapi tak cukup rasanya dan masih belum dapat menyamai apa yang biasa saya lakukan di Malaysia. Dengan keadaan saya yang berada dalam suasana masyarakat, kerja, cuaca dan tempat tinggal yang 'begini' membuatkan saya masih belum berpuas hati dengan apa yang saya telah lakukan untuk Ramadhan kali ini di Oxford, rasanya masih banyak amal ibadah yang saya belum lakukan. Rutin hidup saya sekeluarga di sini tidak banyak membantu kami dalam menghambakan diri pada Yang Maha Esa. Inilah antara sebab terbesar kenapa saya cuba untuk pulang lebih awal ke tanahair.

Kehidupan di sini memang menyeronokkan. Keadaan cuaca yang tidak panas, waktu ifthar yang lebih awal, dengan duit 'pound sterling'nya, dengan kereta dan harga minyaknya yang murah, dengan kos makanannya yang rendah, dengan peluang melancong ke luar negara dan bermacam-macam lagi benda dan perkara yang tidak boleh kita dapat di Malaysia. Tetapi bagi diri saya sebagai muslim, mu'min, guru agama, pendakwah, suami dan bapa serta ketua keluarga, tidak cukup rasanya. Bukannya tak boleh beribadah, kami sudah cuba membuat yang terbaik setakat yang kami mampu, tapi corak kehidupan kami yang tak sama dengan tempat asal membuatkan saya rasa tidak cukup, masih belum menyamai apa yang kami dah lakukan ketika di Malaysia. Mungkin orang akan bertanya, kenapa orang lain boleh saya tak boleh. Saya hanya menilai diri saya bukan menilai orang lain, mungkin saya 'jaguh kampung', tapi itulah saya, seorang yang agak susah nak menerima corak kehidupan di tempat baru, apatah lagi di tempat orang yang budaya hidupnya tidak Islamik.

Almaklum sajalah saya dilahirkan di Malaysia dan hidup selama 32 tahun di Malaysia dan hampir dua puluh tahun terlibat dengan aktiviti-aktiviti keagamaan di Malaysia dan hampir sepuluh tahun juga saya mengajar Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di Malaysia, jadi dalam masa 3 tahun tak cukup rasanya untuk saya meletakkan satu garis panduan Islam yang lengkap dalam diri saya dan keluarga, mungkin ia dari kelemahan saya juga. Walaupun cuba hidup dengan cara hidup Islam sepenuhnya tapi belum cukup mantap rasanya, banyak lagi kekurangan yang ada. Disebabkan faktor keagamaan inilah juga kenapa saya perlu membawa keluarga saya pulang ke tanahair secepat mungkin. InsyaAllah tak lama lagi rasanya.

Situasi kami agak berbeza dengan salah seorang sahabat saya di sini yang telah lama terlibat dengan aktiviti keagamaan di sini dan saya rasa beliau cukup mahir dengan cara hidup seorang muslim sejati di negara bukan Islam ini. Satu contoh yang saya nak kongsikan ialah persekolahan anak saya. Sekolah yang terbaik di sini biasanya sekolah yang berlatarbelakangkan agama Kristian, banyak aktiviti-aktiviti yang bercangggah dengan Islam yang telah diadakan oleh pihak pengurusan sekolah dan sekolah juga memang mempunyai hubungan yang rapat dengan gereja di sini. Pembelajaran agama pun diajar semua agama tetapi keutamaan diberikan kepada agama Kristian. Jadi apa yang orang Islam boleh lakukan. Situasi di sekolah tidak dapat membantu menguatkan Aqidah Islamiyyah anak saya, tapi kami telah dan akan cuba sedaya upaya untuk mengelak dari terlibat dengan aktiviti-aktiviti Kristian semaksima mungkin, kadang-kadang ada juga aktiviti yang melibatkan gereja dan anak saya terpaksa kami cutikan daripada bersekolah pada hari yg terlibat. Risau kami dibuatnya, tapi itulah pilihan yang kami ada di sini. Banyak lagi contoh lain yang tak dapat saya coretkan di sini.

Kepada sesiapa yang merasakan keislaman dan keimanan mereka semakin bertambah baik di sini bolehlah mereka berada di sini lebih lama dan mungkin tinggal menetap terus di sini kerana di negara bukan Islam begini memerlukan ramai muslim yang sebenar dan kuat keimanannya untuk berdepan dengan semua mehnah di sini dan menghadapi cabaran dakwah di sini serta menjadi contoh kepada orang-orang Islam dan yang bukan Islam. Bagi diri saya sekeluarga saya rasa kami lebih baik dan lebih bermanfaat kepada Ummah Islamiyyah sekiranya kami berada di Malaysia.

Wassalam