Thursday, December 10, 2009

Dr. Sarina Binti Haji Mansor

Bersyukur kami sekeluarga dengan anugerah terbaru dan nikmat yang besar dari Allah swt, iaitu isteri saya telah berjaya mencapai cita-citanya untuk mendapat ijazah PhD. Pelbagai rintangan dan dugaan yang kami sekeluarga terpaksa tempuhi sepanjang perjalanan isteri saya mengejar cita-citanya.

Kami sekeluarga telah berada di Oxford selama 3 tahun 4 bulan dan isteri saya sendiri telah berada di Oxford untuk 4 tahun, di mana saya terpaksa kembali awal dengan anak-anak kerana cuti saya yang telah habis. Selama 8 bulan kami berpisah dan dalam masa 8 bulan itu kami terpaksa berbelanja hampir RM 20,000.00 sebagai tambang saya dan isteri berulang alik 4 kali dari Malaysia ke Oxford. Saya cuma sekali ke Oxford dan isteri saya 3 kali perjalanan pergi balik dari Oxford ke Malaysia.

Selama itu jugalah saya menjaga anak-anak sendirian sambil sekali sekala dibantu oleh mertua dan adik ipar. Alhamdulillah semuanya telah berlalu apabila isteri saya telah lulus viva PhDnya pada hari selasa 08/12/2009 yang lepas selepas bertungkus lumus berjuang selama lebih kurang 4 tahun setengah. Tahniah Dr. Sarina Binti Haji Mansor.

Sukar untuk saya bayangkan perasaan saya pada tika dan saat ini. Bermacam rasa yang ada dalam hati dan minda apabila mengenangkan apa yang telah kami lalui. Payah untuk saya gambarkan dalam bentuk tulisan. Cuma apa yang saya boleh coretkan di sini bahawa saya berasa teramat lega dan seolah-olah sebiji batu yang amat-amat besar telah terangkat dari badan setelah menghempap saya bertahun-tahun lamanya.

Begitulah yang dikatakan perkongsian hidup suami isteri, semuanya dikongsi bersama. Kalau saya berasa amat lega, sudah tentu perasaan isteri saya lebih hebat lagi kerana seberat mana mata saya yang memandang berat lagi bahunya yang memikul. Syabas mama! Hanya padaNYA sahajalah yang selayaknya diberi pujian.

Tahun 2010 yang hanya beberapa hari lagi akan memberikan kehidupan yang baru, berbeza dan insyaAllah lebih baik kepada kami sekeluarga. Perjalanan hidup kami akan kembali seperti biasa dan saya juga telah bersedia menyahut semua cabaran yang akan datang dalam kehidupan dan kerjaya.

Kini saya sudah mula berjinak-jinak kembali dengan universiti, saya dah mula berjumpa dengan beberapa orang pensyarah-pensyarah lama saya untuk bertanyakan tentang PhD. Setakat ini saya hanya merancang untuk membuat proposal dahulu sebelum saya teruskan langkah yang seterusnya. Saya kurang tertekan dalam soal ini kerana saya berada di tanahair sendiri. Bila saya akan dapat PhD biar DIA sahaja yang tentukan. Saya hanya berusaha dengan niat hanya untuk mencari ilmu, bukan untuk komersial.

InsyaAllah dengan niat yang betul kerana Allah swt, maka DIA akan sentiasa membantu saya di samping isteri dan insan-insan yang rapat dengan saya. Apabila isteri saya selesai dan lulus viva tempohari maka saya mulalah berlari mengejar cita-cita saya pula. Bismillahi tawakkaltu 'alallahi wala haula wala quwwata illa billahil 'aliyyul 'azhim.


SEKALUNG TAHNIAH BUAT ISTERI TERCINTA DI ATAS KEJAYAAN YANG HEBAT INI



Saturday, August 08, 2009

Dari Sarawak Ke Putrajaya

Sibuk betul saya sejak berpindah ke Putrajaya. 01hb Jun yang lepas saya telah berpindah ke Putrajaya. Banyak cerita disebalik perpindahan kali ini. Sedikit sebanyak telah saya tulis sebelum ini. Kini saya berada di sekolah yang keenam dalam karier saya dalam tempoh 7 tahun lebih perkhidmatan ( 11 tahun sebelum ditolak 3 tahun lebih saya bercuti tanpa gaji ).

Setelah berbagai usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak yang berminat mendapatkan perkhidmatan saya telah gagal. Akhirnya dengan sentuhan ajaib dari orang yang paling berkuasa di Pejabat Pelajaran Putrajaya saya telah ditempatkan di sekolah menengah di mana isteri beliau yang menjadi pengetua. Terima kasih Tuan Haji. Maka kembalilah saya diberi kepercayaan sebagai Ketua Guru Disiplin tugas yang memang menjadi kepakaran saya di mana sahaja saya bertugas.

Ramai yang bertanya kenapa walaupun masih baru beberapa bulan di Kajang/Bangi saya sudah dapat bertukar ke Putrajaya, malah Putrajaya merupakan kawasan yang susah untuk masuk. Jawapan saya mudah sahaja. Cuba tengok rekod perkhidmatan saya yang berada di 6 sekolah dalam masa 7 tahun yang bermula Dari Sarawak akhirnya ke Putrajaya.

Saya tidak ada kroni. Tak ramai pembesar dalam istana pendidikan ini yang saya kenal. Tapi saya bersyukur kerana hasil kerja saya sebagai Guru Pendidikan Islam, Pendakwah Agama dan Ketua Guru Disiplin sentiasa dihargai oleh mereka-mereka yang faham tentang perjuangan dalam bidang pendidikan.

Dari dulu saya memang sentiasa ditawarkan tempat di sekolah-sekolah elit yang berminat dengan hasil kerja saya. Saya juga lebih berminat bekerja dengan pengetua-pengetua yang faham cara saya bekerja dan pandai menghargai saya. InsyaAllah mereka biasanya tidak kecewa dengan susah payah mereka mendapatkan saya.

Saya masih ingat bagaimana bekas pengetua SMK Cyberjaya terpaksa bersusah payah memandu kereta ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menarik saya dari Bandar Baru Nilai. Akhirnya dia berjaya, cuma jodoh saya tak panjang kerana saya terpaksa menemani keluarga ke Oxford, England.

Dulu pun ada 3 buah Sekolah Berasrama Penuh cuba mendapatkan saya ke sekolah mereka. Tapi rezeki saya tidak di SBP. Ada sahaja halangan yang menghalang saya dari ke SBP. Tapi saya bersyukur walaupun rezeki saya masih di sekolah biasa saya tetap dapat meneruskan usaha dakwah saya dengan cemerlang.

Baru-baru ini setelah sebulan saya di Putrajaya, sekali lagi saya mendapat tawaran yang sangat hebat iaitu saya ditawarkan jawatan penolong kanan di salah sebuah sekolah yang paling hebat di Malaysia walaupun dari segi kekananan untuk perjawatan saya masih dikira mentah dalam dunia pendidikan.

Namun kali ini saya terlepas peluang yang hebat ini. Hanya Dia yang tahu apa yang ditaqdirkan kepada saya pada masa akan datang. Saya pasrah dan bersyukur kerana walaupun saya baru berkhidmat 7 tahun lebih tapi mereka berani menawarkan jawatan yang sebegini penting dalam sekolah yang sebegini hebat.

Saya tidak kecewa kerana di sekolah kini saya di dihargai oleh semua staf dan saya dilayan dengan baik oleh pihak pentadbir sekolah. Saya di beri bilik khas yang berhawa dingin, tempat letak kereta berbumbung dan berlabel dan walaupun sekolah hanya 4 tingkat tapi disediakan lift. Bukannya saya tak biasa ( jakun ) dengan kemudahan ini semua tapi boleh dikira dengan jari sekolah-sekolah di Malaysia yang mendapat kemudahan yang sebaik ini. Patutlah ada pelancong yang datang disangkanya sekolah ini universiti.

Kadang-kadang saya pun rasa penat berpindah kerana dalam tempoh perkhidmatan saya yang baru setahun jagung ini saya telah berada di 6 buah sekolah. Saya bermula di Sebuyau Sarawak kemudian berpindah ke Undang Rembau Negeri Sembilan kemudian berpindah lagi ke Bandar Baru Nilai Negeri Sembilan, Seterusnya saya ke Cyberjaya Selangor ( bercuti tanpa gaji ke Oxford ) dan saya memulakan kembali karier di Bangi/Kajang Selangor, akhirnya saya kini di Putrajaya serta hampir-hampir berpindah lagi pada bulan ini. Fuuuh............ tak tahu la lepas ni ke mana pula.




Tuesday, May 12, 2009

Kembali Bersama

Salam kembali buat semua pembaca setia blog saya. Maaf dari saya kerana sudah lama saya tak 'update' blog ini. Saya tahu ramai yang sentiasa ke web blog ini dan hampa kerana tidak ada apa2 'entry' terbaru dari saya. Ini kerana saya terlalu sibuk dengan urusan keluarga, kerja dan masyarakat. Selepas ini pun mungkin tak banyak penulisan saya kerana saya hanya akan menulis bila saya ada masa lapang sahaja. InsyaAllah sekali sekala tu ada juga masa untuk saya menulis.

Lebih kurang 8 bulan kami hidup secara berpisah disebabkan isteri saya yang masih belum menamatkan pengajian phdnya. Dalam masa 8 bulan itu kami berpisah paling lama pun hanya 5 minggu. Kerana pada bulan November 2008 saya yang terbang ke Oxford dan tinggal bersamanya sepanjang cuti sekolah. Bulan Januari 2009 pula isteri saya yang balik bercuti di Malaysia dan sekali lagi isteri saya balik bercuti pada bulan Mac 2009 (cuti sekolah). Selepas berulang alik dari England ke Malaysia sebanyak beberapa kali akhirnya isteri saya pulang ke Malaysia untuk selama-lamanya.

Alhamdulillah, kini kami sudah mula menjalani hidup yang normal di Dengkil Selangor. Isteri saya juga telah kembali bertugas di MMU Cyberjaya. Kami semua amat bersyukur dan gembira dengan penyatuan kembali ini. Anak2 juga sangat gembira dengan kembalinya mama bersama mereka.

Banyak perkara yang kami perlu uruskan dipermulaan ini. Kami sedang berusaha memastikan kehidupan kami dapat diuruskan dengan sebaik mungkin. Bagi teman2 yang rapat dengan kami mereka tahu yang kami sekeluarga memang terkenal dengan pengurusan hidup yang baik dan mempunyai disiplin yang tinggi dalam hidup. Sepanjang kepulangan saya ke Malaysia saya telah membelanjakan hampir RM 300.000.00 dalam usaha menaik taraf kehidupan kami dan memastikan semua berjalan lancar dan dalam keadaan baik sepanjang perpisahan kami agar tidak ada perkara yang boleh melambatkan proses phd isteri saya. Kini kami telah berada di tahap 75% selesai dalam soal pengurusan hidup. 25% lagi telah bermula setelah isteri saya pulang ke Malaysia.

Bagi diri saya, saya akan teruskan usaha2 membantu masyarakat sedaya saya dengan kepakaran yang saya ada. Jika sebelum ini saya sibuk dengan hal2 keluarga kini isteri saya akan banyak membantu dalam memastikan saya tidak terganggu dalam kerja2 amal soleh saya. Saya akan mulakan kembali kerja2 yang telah tertangguh sekian lama. Saya juga akan mulakan pencarian phd saya apabila semua urusan2 wajib keluarga berada dalam keadaan stabil.

Bagi kami sebulan dua ini amat penting dalam menentukan banyak perkara, terutama dalam menentukan arah tuju dan prinsip keluarga serta karier. Kerana perantauan kami hampir 4 tahun ke England telah banyak 'mengubah' kami dan banyak perkara di Malaysia juga yang telah 'berubah'. Hanya usaha, tawakkal dan doa kami panjatkan pada Yang Maha Esa.


Sunday, April 05, 2009

Dilema Hala Tuju Karier

Sudah 7 bulan saya memulakan kembali karier saya di Malaysia. Dilema hala tuju karier saya ini telah bermula setahun sebelum saya balik lagi. macam2 yang saya dan isteri fikirkan dan bincangkan. Berbagai perancangan yang saya buat dan gariskan apabila tiba masanya saya kembali ke tanahair tercinta.

Sebelum saya merantau ke Oxford saya sudah pun dikenali ramai samaada masyarakat sekolah maupun masyarakat umum. Kawasan saya ialah Putrajaya, Cyberjaya, Sepang, Bandar Baru Salak Tinggi, Bandar Baru Nilai, Seremban, Senawang dan Rembau. Saya telah berceramah dan mengadakan pelbagai program agama dan program2 disiplin dan motivasi di semua kawasan tersebut.

Setiap program dan ceramah yang saya anjurkan dan terlibat semuanya boleh dikatakan berjaya dan mendapat respon yang amat positif daripada semua pihak yang terlibat. Di kawasan2 inilah saya mula mengukir nama selepas saya berkahwin dan berpindah dari Sarawak.

Setelah merantau jauh ke negara orang, pandangan dan pemikiran saya semakin luas. Bak kata pepatah 'jauh berjalan luas pandangan'. Dengan berbekalkan pengalaman mengajar di sekolah dan terlibat dengan aktiviti2 kemasyarakatan yang agak lama dan berbekalkan pengalaman di perantauan, kini saya bercita2 untuk membuat sesuatu yang lebih bermanfaat kepada dunia pendidikan dan keguruan juga kepada masyarakat umum.

Dilema saya ialah di mana saya patut berkhidmat bagi mencapai sasaran ini. Kini saya buntu dalam menjawab persoalan ini. Saya masih lagi keliru dalam menentukan hala tuju karier saya. Kalau dilihat dari aspek kekananan dalam perjawatan sekarang saya telah kehilangan 4 tahun jika dibandingkan dengan rakan2 yang sezaman dengan saya.

Ini adalah kerana saya telah bercuti tanpa gaji bagi mengikut pasangan menyambung pengajian di luar negara. Jika dahulu saya sentiasa di hadapan dalam karier kini saya telah ketinggalan 4 tahun di belakang. Namun saya amat bersyukur kerana dengan pengorbanan ini banyak ni'mat yang saya dan keluarga perolehi kini.

Kini saya tidak boleh mengikut kaedah biasa dalam perjawatan ini. Jika saya hanya melihat dan menunggu sampai pencenlah saya akan terus ketinggalan dalam soal kekananan. Begitulah nasib dalam perkhidmatan awam. Kekananan merupakan aspek yang paling penting.

Pernah berlaku kepada saya suatu masa dahulu diawal perkhidmatan saya sebagai guru. Saya telah mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang lewat setahun dari sepatutnya. Pengetua telah memberitahu kepada saya secara peribadi di pejabat beliau yang beliau dinasihatkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah agar memberikan anugerah tersebut kepada guru senior dahulu walaupun mereka kurang cemerlang.

Mungkin pengetua memberitahu saya agar saya sebagai guru junior tidak kecewa dan berputus asa dalam bekerja kerana saya sentiasa memastikan dan mengekalkan prestasi yang tinggi dalam perkhidmatan di dalam dan di luar sekolah.

Kini saya memerlukan sesuatu yang hebat untuk kembali berada di hadapan. Bagaimana? Berdasarkan pengalaman 7 bulan kembali ke Malaysia, saya telah ditawarkan berbagai peluang. Saya pernah dipanggil untuk berjumpa dengan seorang pengarah pelajaran negeri. Ada yang menarik dalam perjumpaan tersebut. Namun banyak perkara yang perlu saya timbangkan.

Saya juga telah lama berbincang dengan pihak pengurusan sebuah sekolah berasrama penuh dan mereka cuba mendapatkan saya melalui Pengarah Pelajaran Selangor. Saya juga pernah dipanggil oleh seorang pengetua sekolah menengah di Putrajaya yang berminat untuk menarik saya ke sekolahnya.

Saya juga merancang untuk menyambung pengajian saya di peringkat Phd pada tahun 2010 nanti setelah isteri saya selesai sepenuhnya pengajian Phd beliau. Mungkin semuanya masih baru bagi saya setelah meninggalkan Malaysia selama 3 tahun 4 bulan. Saya cuba tidak leka dalam karier saya agar saya tidak terus ketinggalan dalam aspek kekananan dalam dunia pendidikan.

Apa yang akan saya putuskan memerlukan pemikiran dan kajian yang secukupnya agar saya tidak tersilap langkah dalam menentukan bagaimana saya ingin mendapatkan kembali kekananan saya yang telah hilang 4 tahun. Saya hanya mampu berfikir dalam ruang yang amat terbatas, hanya DIA yang maha mengetahui apa yang berlaku di masa hadapan.

Kini dengan keadaan saya yang menguruskan anak2 sendirian dan isteri yang masih berada di Oxford 3 minggu lagi saya hanya mampu bertawakkal kepada Ilahi dengan usaha yang sangat kecil dan terbatas. InsyaAllah bermula bulan jun nanti saya akan memulakan pencarian dan perjalanan Phd saya secara tidak rasmi sebelum saya memulakan secara rasmi pada awal 2010 nanti.

Saya meletakkan matlamat untuk memegang ijazah terakhir ini selewat2nya 5 tahun. matlamat ini akan dicapai lebih awal jika saya mendapat biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia dengan cuti belajar bergaji penuh.

Yang menambahkan lagi dilema saya ialah walaupun sekarang saya menjadi guru dua alam di Bangi/Kajang yang tidak terkenal dan berprestij namun saya sangat selesa dengan rutin kerja dan suasana bekerja di situ.

Ia hanya mengambil masa 5 minit sahaja untuk ke UKM Bangi. Ini memberikan banyak kelebihan kepada saya jika saya terpaksa membuat Phd secara separuh masa. Waktu kerja rasminya yang hanya 6 jam pada hari isnin hingga khamis dan 4 jam setengah pada hari jumaat akan membantu saya dalam pembelajaran nanti.

Berlainan pula halnya jika saya berpindah ke tempat2 yang lebih terkenal dan berprestij ditawarkan kepada saya. Waktu kerjanya hampir 9 jam sehari dan mereka banyak menganjurkan program2 yang hebat dan berprestij, maka saya sebagai staf wajib terlibat sama. Ini menuntut kerjasama dan khidmat yang maksima dari saya.

Jika inilah situasinya bagaimana saya hendak menyambung pengajian saya secara separuh masa. Semua masa saya akan dihabiskan di tempat yang berprestij ini. Sedangkan dari segi perjawatan dan skim gajinya adalah sama sahaja. Cuma ia nampak lebih hebat dan terkenal di mata masyarakat.

Terkini, saya telah berbincang dengan seorang penolong kanan sekolah. Beliau telah dilantik oleh PPD Sepang sebagai salah seorang pentadbir di sebuah sekolah baru yang akan dibuka pada bulan januari 2010 nanti. Beliau sudah lama mengenali saya dan berminat dengan cara saya bekerja.

Beliau bercadang untuk mendapatkan khidmat saya untuk memulakan sesi persekolahan yang baru di sekolah baru tersebut. Saya pernah bekerja dengan beliau dan saya selesa dengan corak pentadbiran beliau.

Semuanya belum pasti dan kadang2 mengelirukan saya mana yang terbaik. Cuma apa yang saya pasti, insyaAllah saya akan memulakan Phd saya pada tahun hadapan. Faktor inilah yang paling tinggi dalam pertimbangan saya.

Apa yang mampu saya fikirkan dan buat sekarang ialah teruskan berusaha, berdoa dan bertawakkal pada Allah SWT kerana dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk saya dan keluarga. Wassalam.


Sunday, March 29, 2009

Rutin Hujung Minggu

Setiap hujung minggu sudah menjadi kemestian bagi papa dan anak2 bersarapan roti canai di salah sebuah restoran di Dengkil. Anak2 pun dah faham bila bangun pagi ahad je semua akan bersiap untuk ke restoran tersebut. Anak2 memang bangun awal walaupun hari ahad. Jadi pukul 7.30 pagi kami dah ke restoran untuk sarapan bersama.

Cuma buat masa ini kami hanya bertiga tanpa mama bersama. Si Hannan memang bising je sebut nama mama. Dia memang begitu setiap kali mama tiada. Naik kereta pun bising sebut mama, nak makan pun dia ingat mama, kesian Hannan. Si Hafiy pula jenis yang ingat mama tapi tak disebut, begitulah agaknya anak lelaki.

Menu kami tak pernah bertukar. Papa biasanya akan makan roti canai sardin dan teh tarik, Hafiy pula dengan roti canai dan milo ais, begitu juga dengan Hannan, tapi Hannan dia nak milo panas, macam orang dewasa pula. Setakat ni kami belum jemu dengan menu ini, maklumlah seminggu sekali je.

Balik dari sarapan biasanya papa akan terus ke tingkat atas membasuh pakaian dan melipat pakaian yang telah kering sementara anak2 pula menonton tv di bawah. Bila selesai urusan mengemas tempat tidur dan membasuh serta melipat pakaian papa akan berehat sementara menunggu tengahari sedikit untuk memasak dan makan tengahari bersama.

Selesai makan tengahari kami akan bersiap untuk solat zohor berjemaah dan seterusnya berehat sementara menunggu mama 'on line' untuk berwebcam atau berskype sehinggalah waktu asar. masa ni lah papa akan 'melaporkan' semua yang berlaku dan anak2 dapatlah bercakap dan melihat mama mereka. Kalau hari biasa memang tak sempat.

Selesai solat asar berjemaah papa akan menggosok pakaian kerja papa dan pakaian sekolah Hafiy untuk seminggu. Satu jam selesailah menggosok semuanya. Selepas itu dapatlah papa berehat seketika sebelum membuat persiapan makan malam bersama anak2.

Selepas makan malam, papa akan berehat bersama anak2 sementara menunggu waktu maghrib dan Hafiy akan menyemak jadual sekolah untuk keesokan harinya. Selepas solat maghrib dan isya' berjemaah anak2 akan tidur dan dapatlah papa berehat dan membuat persiapan papa dan anak2 untuk hari esok.

Dengan keizinan Allah Yang Maha Esa, mama dijangka menghantar thesis Phdnya tak lama lagi, insyaAllah. Tapi kami hanya merancang dan berusaha serta berdoa dan bertawakkal pada Ilahi, hanya DIA yang akan menentukan segala2nya. Amin.


Wednesday, March 04, 2009

Kursus Perkembangan Staff 2009 Siri 1

Pada hari sabtu lepas unit kaunseling di sekolah tempat saya berkhidmat telah menganjurkan kursus perkembangan staff untuk guru2. Bagi sesi yang pertama ini pihak penganjur telah memilih dua program serentak iaitu taklimat dari NUTP dan Pendidikan Islam. Alhamdulillah ia telah dihadiri seramai lebih kurang 120 orang.

Taklimat NUTP telah dimulakan pada jam 8.15 pagi dan berakhir pada jam 9.30 pagi. Melalui taklimat ini banyak juga info yang masih saya dan para guru belum ketahui. Bagi sesi Pendidikan Islam pihak kaunselor sekolah telah memilih saya untuk memberikan ceramah sehingga jam 12.30 tengahari. Saya telah bahagikan sesi ceramah saya kepada dua sesi, pertama ialah ceramah dari saya yang bertajuk Kerja Guru Satu Amal Soleh. Manakala bagi sesi kedua saya telah membentuk 12 kumpulan guru yang diketuai oleh seorang naqib dan naqibah dengan tajuk perbincangan ialah 13 Rukun Solat.

Saya telah diminta menyampaikan ceramah dua minggu lebih awal. Hati saya sangat2 berdebar kerana pertamanya sudah lama saya tidak berceramah di hadapan pendengar dewasa sejak saya kembali ke tanahair, keduanya kerana saya tidak dikenali oleh sesiapa di sekolah ini, ketiga saya hanya guru biasa tanpa apa2 jawatan penting, keempat saya terpaksa berceramah kepada rakan2 satu sekolah dan mereka kebanyakannya lebih senior daripada saya. Kelima semua barisan pentadbir sekolah hadir termasuklah pengetua, bukan senang untuk saya berceramah depan boss sendiri, kalau silap habislah saya. Keenam tajuk ini belum pernah saya ceramahkan di mana2 jadi ia merupakan pengalaman pertama berceramah di bawah tajuk ini.

Oleh kerana kerisauan saya yang amat2 tinggi saya telah bersedia seminggu lebih awal dengan bahan2 yang perlu dipersembahkan nanti (saya guna power point sahaja). Saya juga telah memulakan solat hajat dan doa setiap hari selama seminggu bagi memastikan Allah SWT sentiasa bersama saya dan membantu serta memberkati ceramah saya agar ia memberi manfaat kepada saya dan guru2 yg mendengar. Risau, takut, segan dan berdebar2 saya menanti hari kursus perkembangan staff ini. Saya perlu membuat persiapan rapi dari segi zahir dan batin dalam memastikan kejayaan saya kali ini.

Persiapan ceramah saya kali ini amat mencabar memandangkan ia ceramah yang belum pernah saya sampaikan dan cabaran anak2 yang bersama saya tanpa mama mereka. Penat memang penat, sebab kalau mama ada dia akan memastikan anak2 tidak mengganggu persiapan ceramah saya. Walaupun keletihan setiap hari dan setiap malam saya terpaksa membuat persiapan yang terbaik kerana ia merupakan penampilan pertama saya di hadapan rakan2 guru. Jika saya gagal susah untuk saya bangkit kembali. Manusia biasanya menilai seseorang melalui penampilan pertama mereka.

Alhamdulillah semua persiapan ceramah saya berjalan lancar dan Tuhan telah membantu saya lagi apabila mertua saya telah datang ke Selangor dan menjaga anak2 saya bermula pada hari jumaat dan mereka membawa anak2 saya bermalam di rumah Ateh. Jadi, pada malam sabtu itu saya dapatlah bersendirian dalam memastikan semua perancangan saya berjaya dan tiada sebarang kekurangan. Saya juga telah membuat persiapan pakaian sebelum tidur kerana penampilan saya sebagai penceramah mestilah lebih baik dari pendengar (teori saya sendiri). Ini adalah untuk menambah motivasi dan keyakinan diri saya dalam berceramah kepada guru2 yang lebih senior dari saya.

Berbekalkan solat hajat, doa dan bacaan Yaasin serta zikir dan bacaan ayat2 al Quran lain yang menjadi rutin saya setiap kali keluar ceramah serta doa isteri yang sentiasa bersama saya, saya telah keluar dari rumah dengan kereta kesayangan saya (Honda Accord) dan terus ke sekolah dengan bertawakkal kepadaNYA sepenuh hati saya, juga saya amalkan beristighfar sepanjang perjalanan saya ke sekolah.

Alhamdulillah besar rasanya kesyukuran saya kepada Ilahi kerana semua doa dan perancangan saya dimakbulkanNYA. Saya telah berjaya menyampaikan satu ceramah yang amat baik (pandangan peribadi saya) dan slides yang saya gunakan juga berjaya menarik perhatian semua, terima kasih kepada isteri saya yang mengedit dan memilih designnya walaupun beliau berada di Oxford. Pujian pertama yang saya dapat ialah daripada Puan Pengetua yang memuji isi ceramah, penampilan dan cara gaya penyampaian ceramah saya. Seterusnya saya dipuji lagi oleh Puan Penolong Kanan yang mengambil nombor telefon saya untuk dihubungi kerana dia ingin mengadakan kursus yang sama dengan tajuk dan penceramah yang sama di sekolah barunya.

Begitu juga dengan beberapa orang guru yang mula ingin mengenali saya dan memuji ceramah saya. Pengerusi ceramah pada hari tersebut pula memberitahu semua bahawa berbaloi juga kedatangan guru2 walaupun dibuat pada hari sabtu yang sepatutnya guru2 bercuti di rumah. Lega saya dengan respon positif dari pihak pentadbir dan semua rakan guru. Beberapa orang guru sesi pagi dan petang juga sudah mula bertanya dan merujuk kepada saya jika ada sebarang kemusykilan agama, ini perkembangan yang sangat baik. Mereka juga bertanya adakah ada lagi slot seperti ini pada tahun 2009 ini. Saya tidak ada jawapan bagi soalan mereka, tanyalah kepada pihak pentadbir sekolah. InsyaAllah segala yang baik akan dipermudahkan Ilahi.

Kini debaran saya semakin kencang apabila pihak penganjur Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah menjemput saya untuk ceramah Maulid bagi pelajar2 sesi pagi sekolah saya dan mungkin sesi petang pun saya yang akan dipertanggungjawabkan. Pelajar sekolah saya berjumlah hampir 2 ribu orang pelajar. Bukan satu kerja mudah bagi saya untuk menarik perhatian semua agar menumpukan perhatian pada ceramah saya. InsyaAllah DIA akan membantu saya sekali lagi. Debaran kali ini kurang sedikit kerana tajuk Maulidur Rasul ini saya sudah biasa cuma agak berdebar kerana situasi pelajarnya kali ini amat berbeza dengan yang lepas2. Saya juga perlu membuat persiapan rapi agar semua guru dan pelajar tidak kecewa dengan ceramah saya, tambahan lagi ini penampilan pertama saya di hadapan pelajar2 sesi pagi sekolah saya dan kedua bagi guru2. Hanya kepadaNYA hambaMU yang daif ini berserah. Ya Rabbal 'Alamin.



Saturday, February 28, 2009

Guru Kelab Ragbi

Dulu jika saya masuk ke sekolah mana2 pun saya akan menjadi jurulatih dan pengurus bagi permainan sepak takraw. Malah saya akan mohon dengan pentadbir untuk wujudkan kelab takraw sekiranya di sekolah itu belum ada permainan ini. Sememangnya saya memang arif dan mahir dalam permainan ini, sebab itulah saya akan pastikan kelab permainan yang saya pegang di mana2 sekolah pun ialah kelab takraw.

Memang dari zaman kanak2 lagi saya meminati takraw, 3 orang adik beradik lelaki saya ialah pemain takraw dan saya paling mahir di posisi tekong, adik saya akan menjadi apit kiri dan abang saya akan menjadi apit kanan. Kami 3 beradik saling melengkapi antara satu sama lain dalam satu regu jika kami menyertai mana2 kejohanan. Akhirnya kami semua mewakili sekolah dalam permainan ini. Saya juga pernah sampai ke kejohanan peringkat Negeri Kelantan pada zaman persekolahan saya, Begitu juga adik dan abang saya. Permainan ini saya teruskan hingga ke universiti.

Oleh kerana saya meminati permainan ini dan boleh bermain dan melatih pelajar setiap petang di gelanggang sekolah, maka saya gembira bertugas setiap kali bermain bersama dan melatih pelajar2. Pencapaian terbaik saya di sekolah ialah saya menubuhkan kelab takraw di SMK Cyberjaya pada tahun 2005 dan menyertai kejohanan takraw Daerah Sepang Selangor. Dalam kejohanan ini saya telah berjaya membawa pelajar2 sehingga menjadi johan peringkat Daerah Sepang dan akhirnya berjaya terpilih mewakili Daerah Sepang ke peringkat Negeri Selangor.

Kini di sekolah yang baru selepas saya pulang ke tanahair hujung tahun lepas saya ditugaskan mengurus kelab ragbi. Zaman saya remaja say tidak pernah bermain ragbi dan tidak tahu bagaimana permainan itu di mainkan. Tidak ada langsung saya ilmu tentang ragbi. Tapi saya seorang guru yang menerima apa sahaja dengan positif. Kini saya telah mula mengenali ragbi dan sedang belajar apa itu permainan ragbi. InsyaAllah setiap hari rabu ahli2 kelab ragbi akan turun berlatih dengan jurulatih yang telah saya amanahkan di kalangan pelajar. Saya nak ajar pun saya sendiri masih belajar dan masin mentah dengan permainan ini.

Kejohanan ragbi peringkat Daerah Hulu Langat telah pun berlalu dan sekolah saya telah berjaya sampai ke peringkat separuh akhir 'bowl', inilah kejayaan pertama bagi sekolah yang saya baru berkhidmat. Di bawah saya kongsikan dengan pembaca gambar2 di sekitar kejohanan ragbi peringkat Daerah Hulu Langat.





Wassalam

Saturday, February 21, 2009

Sekolah Hari Sabtu

Nampaknya sebulan dua ini saya terpaksa bekerja setiap hari sabtu. Memang begitulah nasib guru walaupun kerajaan telah mengumumkan bahawa hari sabtu merupakan merupakan hari cuti bagi kakitangan awam. Tetapi memandangkan banyak program yang terpaksa dijalankan yang melibatkan guru, ibubapa dan pelajar, di mana waktu persekolahan setiap minggu tidak mencukupi untuk menjalankan aktiviti2 lain selain dari pembelajaran dan pengajaran, maka pihak pentadbiran sekolah terpaksa mengadakan beberapa program pada hari sabtu. Seperti hari sukan, hari anugerah, mesyuarat2 dan lain lain lagi.

Hari sabtu juga merupakan hari sekolah ganti bagi semua warga sekolah. Oleh kerana beberapa perayaan atau cuti umum di Malaysia ini tempohnya agak pendek maka untuk memanjangkan tempoh bercuti bagi beberapa cuti umum, pihak sekolah mengadakan hari sekolah ganti pada hari sabtu. Contohnya bagi sambutan Tahun Baru Cina baru2 ini kami cuti seminggu walaupun cuti umum hanyalah dua hari sahaja, begitu juga dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti. Maka beberapa hari sabtu terpaksa digunakan sebagai hari sekolah ganti.

Bagi saya persekolahan hari sabtu tidaklah terlalu membebankan, kerana pihak sekolah ada alasan yang kukuh mengapa diadakan persekolahan hari sabtu. Cuma dengan situasi saya sekeluarga sekarang ini persekolahan pada hari sabtu agak membebankan saya. Memandangkan saya yang terpaksa menjaga anak2 sendirian. Memang saya boleh bawa anak2 ke sekolah, tapi sedikit sebanyak ia akan mengganggu tugas saya dan saya juga kesian pada anak2 kerana meraka terpaksa bangun awal2 pagi bersiap dan mereka terpaksa duduk di bilik saya menanti saya habis bekerja.

Saya pun pada awalnya buntu memikirkan masaalah ini. Seboleh2nya saya tak ingin menyusahkan sesiapa pun dalam soal penjagaan anak2 selagi saya mampu untuk melakukannya. Tetapi apabila saya memikirkan tentang perasaan anak2 yang sudah mula kebosanan tanpa mama mereka di sisi dan mereka sudah pun kepenatan bersekolah seharian dari awal pagi hingga ke petang pada hari isnin hingga jumaat dan juga terpaksa balik lewat pada hari selasa dan jumaat kerana saya habis bekerja pada pukul 6.40 petang dan sampai di rumah pada pukul 7.30 petang. Mereka pun sudah cukup penat dan tak larat nak bangun awal pagi, mandi dan bersiap untuk ke sekolah saya pada hari sabtu. Kesian Hafiy dan Hannan.

Alhamdulillah DIA telah membantu saya dalam soal ini. Tiba2 saya mendapat idea untuk meminta bantuan Ateh. Ateh (Suhaila) merupakan adik isteri saya yang bekerja di Kuala Lumpur dan kerap diarahkan bertugas di Sarawak oleh majikannya. Tuhan telah menggerakkan hati saya untuk menelefon beliau. Alhamdulillah kerana pada bulan ini Ateh banyak bertugas di KL, maka dia sanggup membantu saya menjaga anak2 saudaranya. Hafiy dan Hannan pun gembira sangat kerana Ateh telah datang menjaga dan melayan mereka pada hari sabtu minggu lepas dan hari ini. Terima kasih banyak2 dan saya sekeluarga amat menghargai pertolongan dan kerjasama Ateh.


Tuesday, February 17, 2009

Malam Yang Mencabar

Isnin 16hb. februari 2009 merupakan hari dan malam yang sangat mencabar bagi papa. Jika sebelum ini papa tertekan, penat dan sibuk dengan urusan anak2, tapi pada malam semalam ia merupakan sejarah yang sukar papa lupakan. Peristiwa tersebut amat menguji kesabaran dan ketabahan papa.

Bermula pada petang ahad lagi Hannan Sofea si buah hati papa ni telah buat perangai. Dia memang seorang yang susah untuk makan. Dia seperti tidak ada selera langsung untuk makan malam, maka papa paksa juga dia makan sedikit agar perutnya tak masuk angin dan boleh tidur malam dengan nyenyak. Itu plan papa la. Sebelum tidur Hannan telah buang air besar setelah beberapa hari dia tidak buang air besar. Papa sangat lega kerana risaukan Hannan yang sudah beberapa hari tidak buang air besar.

Semuanya pengurusan anak2 papa berjaya lakukan dengan baik dari waktu petang sehinggalah selepas isya' Hafiy dan Hannan tidur. Dapatlah papa berehat dan bersantai dengan tenang. DitaqdirkanNYA setelah papa tidur 2 - 3 jam dengan nyenyaknya, Hannan kejutkan papa (Hannan memang tabiat dia suka bangun malam dan panggil papa) papa ingatkan panggilan biasa sahaja, kerana dia selalu kejutkan papa di tengah malam minta papa garu, gosok dan belai dia, kadang2 tu dia kejutkan papa hanya untuk pegang tangan dia sahaja (macam2 si genit buah hati papa ni).

Tapi kali ini dia kejutkan papa sebab dia dah termuntah atas bantal dan tilam papa(Hannan memang setiap hari tidur dengan papa sepanjang ketiadaan mama). Banyak betul muntah dia. Apalagi papa pun panik la sebab selama ini mama yang uruskan kalau ada apa2 papa cuma sebagai pembantu sahaja, sebab mama dah maklum yang papa tak boleh terganggu sangat waktu tidur nanti seharian papa akan pening kepala. Kali ini mama tidak ada terkejut besar la papa. Tak pernah terfikir Hannan akan muntah sebab dah lama sangat dia tak termuntah. Papa pun cuba bertenang dan melakukan satu persatu. Selepas papa bersihkan Hannan di bilik air dan tukarkan baju tidur yang bersih papa pun terpaksalah menukar semua sarung bantal dan cadar yang telah terkena muntah Hannan. Bila papa tengok jam, ia menunjukkan hampir pukul 3 pagi.

Papa kalau dah terbangun memang susah untuk tidur balik, Hannan pun tak dapat tidur selepas itu. Mungkin dia masih takut atau badannya masih tidak selesa. Papa pun cuba menenangkan dia dan memujuknya untuk tidur. Akhirnya papa dan Hannan terlelap. Ditaqdirkan Allah SWT, sekali lagi Hannan kejutkan papa, tapi kali ini dia belum termuntah, cuma dia bagitau dia sakit. Lagi sekali papa panik, papa tengok jam ia menunjukkan pukul 5 pagi. baru satu jam papa terlelap Hannan dah panggil sekali lagi. Papa cuba pujuk dia untuk tidur, papa tak jangka dia akan muntah lagi kerana tadi pun dah banyak dia muntah. Tapi apa boleh buat Hannan muntah lagi. Tapi kali ini dia bagitau sebelum muntah, tapi papa yang dah panik ni tak sempat nak fikir apa2 terus papa tadahkan kedua tapak tangan dan akhirnya si genit ni muntahlah atas tangan papa.

Papa memang seorang yang penggeli (sama pula dengan perangai Hannan) tak pernah terfikir papa untuk tadah muntah manusia. Tapi bila dengan anak sendiri semuanya boleh. Dalam hidup papa tak pernah papa terfikir untuk mandikan seseorang apalagi untuk basuh air kecil dan air besar seseorang. Tapi kali ini papa mampu untuk menadah muntah anak. Banyak perubahan yang telah berlaku pada diri papa sekarang. Kini papa lebih memahami erti perhubungan dengan darah daging sendiri. Dahulu masa papa remaja, papa pernah menjaga arwah ibu yang sakit tenat, tapi papa hanya mangangkatnya ke bilik air atau bilik mandi dan menjirus atau menuangkan air paip sahaja, yang lain2 semua arwah ibu mampu melakukannya sendiri.

Pukul 6 pagi kami semua bangundari tidur dan mula bersiap untuk ke sekolah. Sekali lagi papa tertekan bila memikirkan perut Hannan yang kosong setelah termuntah banyak semalam. Papa pun bagi Hannan makan dua keping biskut dan air milo. Lagi tertekan Hannan taknak makan. Papa risau sebab Hannan memang setiap hari dia taknak makan makanan yang disediakan di kindergarten. Papa pun tak faham kenapa. Jadi dengan perut yang kosong semalam, dia taknak makan paginya memang merisaukan papa, takut dia jatuh sakit. Alhamdulillah Hannan tidak menunjukkan tanda2 untuk demam. Akhirnya papa masukkan biskut dalam mangkuk agar dia boleh makan dalam kereta sepanjang perjalanan.

Ditaqdirkan DIA lagi, baru separuh perjalanan Hannan bagitau dia nak muntah lagi. Dengan perjalanan yang masih jauh dan jalan raya yang sangat sibuk di waktu pagi2 begini memang susah untuk berhenti, semua kereta sangat laju kerana semua orang berkejar untuk ke sekolah dan tempat kerja. Apalagi, panik la papa. Tak sangka pula dia nak muntah lagi sebab bukannya dia makan apa2 sangat pun pagi ini, semalam pun dah dua kali dia muntah. Satu lagi kejutan Hannan pada papa. Oleh kerana papa yang tengah memandu, tak banyak yang papa boleh lakukan. Papa minta Hafiy ambil biskut dalam mangkuk Hannan dan papa suruh Hannan muntah dalam mangkuk tersebut dan pegang sehingga papa cari tempat yang selamat untuk berhenti. Akhirnya setelah dua kali muntah dalam mangkuk tersebut papa dapat berhenti di tepi jalan dan membuang muntahnya.

Selepas membersihkan mulut Hannan dengan tisu papa meneruskan perjalanan. Bila sampai di sekolah papa pesan pada cikgunya agar bagi sahaja biskut atau roti pada Hannan sekiranya dia taknak makan nasi nanti. Papa pun meninggalkan Hannan di kindergarten dengan perasaan yang amat risau kerana memikirkan perut Hannan yang kosong dan bimbang takut2 dia demam. Alhamdulillah keadaan Hannan baik sepanjang berada di sekolah dan dia pun tidak demam. Semuanya kembali seperti biasa bila papa jemput anak2 pada waktu petangnya. Syukur pada Yang Maha Esa kerana doa papa di Masjid Hasanah B.B. Bangi dimakbulkanNYA.

Papa juga berterima kasih kepada jejaka hensem papa dan mama (Hafiy) kerana mampu berdikari dan membantu bila papa perlukan dalam situasi papa yang panik ini. Hafiy juga faham dengan situasi dan dia tidak buat hal yang pelik2 yang boleh memeningkan kepala papa dan pandai menguruskan dirinya sendiri sepanjang peristiwa besar ini berlaku. Terima kasih Hafiy Syafiqy.

Semalam sebelum tidur, papa cuba bertenang dalam menguruskan anak2 dan rumah. Sebelum tidur papa telah memujuk anak2 supaya tidur dengan baik dan papa telah berpesan khusus pada Hannan agar tidur baik2 dan nyenyak serta jangan bangun tengah malam., nanti kesian papa terpaksa pening kepala sepanjang hari kerana tidak cukup tidur. Alhamdulillah anak2 faham, cuma Hannan telah bagitau papa sebelum papa tinggalkan dia di katil yang kalau dia rasa nak muntah tengah malam dia akan kejutkan papa. Papa hanya mengiyakan kata2nya. Akhirnya anak2 papa tidur dengan badan yang sihat dan gembira dalam susasana hawa dingin yang nyaman dan selesa. Kini tibalah masa untuk papa bersantai dan berehat dan seterusnya berchatting dengan mama di Oxford untuk melapor dan mengadu perihal anak2.

Papa bersyukur sangat2 pada Allah SWT setelah bangun pada jam 5.45 (selasa) pagi ini. Alhamdulillah anak2 papa tak bangun semalam. Papa, Hafiy dan Hannan semuanya tidur dengan nyenyak tanpa sebarang gangguan. Pagi ini semuanya bersemangat dan segar dan semuanya kembali seperti biasa. Sekali lagi papa ucapkan alhamdulillah syukur yang amat sangat pada Ilahi kerana memakbulkan doa2 papa, mama, Hafiy dan Hannan serta mengurniakan ni'mat kesejahteraan dan kegembiraan kepada kami sekeluarga yang tidak terhitung ini.


Sunday, February 15, 2009

Rutin Harian Papa, Hafiy dan Hannan

Sudah tiga minggu saya menguruskan anak2 bersendirian setelah isteri saya terpaksa kembali ke Oxford untuk meneruskan perjuangan Phdnya yang masih ada dua bulan setengah lagi. Bagi memastikan semua urusan berjalan lancar saya telah membuat jadual ringkas untuk kami bertiga.

Jadual Harian Baitul Hana

05.45 am - Papa bangun dari tidur dan mandi
06.00 am - Papa mengerjakan solat2 sunat
06.10 am - Hafiy Bangun dari tidur dan mandi
06.15 am - Solat subuh berjemaah
06.30 am - Hannan bangun dari tidur dan papa mandikan
06.45 am - Hafiy dan Hannan bersarapan pagi
07.00 am - Bertolak ke sekolah Hafiy dan Hannan
07.45 am - Hafiy dan Hannan memulakan persekolahan
07.50 am - Papa berjogging di Taman Tasik Cempaka B.B. Bangi
08.30 am - Papa bersarapan di restoran makanan Kelantan
09.00 am - Papa ke Masjid Hasanah B.B. Bangi untuk mandi dan bersiap
09.30 am - Papa mengerjakan solat2 sunat di Masjid Hasanah
10.00 am - Papa ke sekolah ( Papa merupakan guru dua alam )
10.30 am - Papa mengajar kelas Bahasa Arab Komunikasi ( 10.30 am - 12.30 pm )
12.30 pm - Papa berehat
01.05 pm - Papa Mengajar Pendidikan Islam ( 01.05 pm - 4.30 pm )
04.30 pm - Menjemput Hafiy dan Hannan di sekolah
05.00 pm - Bertolak balik ke Baitul Hana
05.30 pm - Mandi dan solat asar berjemaah
06.00 pm - Papa menyediakan makan malam. Hafiy membuat kerja sekolah dan menyemak jadual sekolah esok. Hannan aktiviti bebas
06.30 pm - Makan malam bersama
07.00 pm - Hafiy dan Hannan menonton TV dan papa berehat
07.30 pm - Solat maghrib berjemaah dan solat hajat serta doa untuk mama
08.10 pm - Papa menyiapkan pakaian Papa, Hafiy dan Hannan untuk esok
08.40 pm - Solat Isya' berjemaah
08.50 pm - Papa menyiapkan Hafiy dan Hannan untuk tidur
09.00 pm - Hafiy dan Hannan tidur. Papa berehat dan minum malam
09.30 pm - Berchatting dengan mama
10.30 pm - Papa membuat persiapan keperluan esok untuk Papa, Hafiy dan Hannan
11.00 pm - Papa bersiap untuk tidur
11.15 pm - Papa beradu ( fuuuh! zzzzzzzzzz )

Saya tidak pernah berada di dalam situasi yang sebegini sibuk, penat dan tertekan. Tetapi syukur alhamdulillah semuanya dapat saya lakukan dengan baik walaupun mungkin kurang sempurna dan banyak kekurangan. Namun disebalik kesibukan, kepenatan dan tekanan yang tinggi ini ada nilai keseronokan dan kepuasan yang amat tinggi yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. InsyaAllah semuanya akan terus berjalan lancar. Semoga Allah swt mengurniakan ni'mat kesihatan dan kesejahteraan kepada kami semua dalam situasi sekarang. Amin.

Sunday, February 08, 2009

Mula Bersekolah di Malaysia

Alhamdulillah Hafiy Syafiqy dan Hannan Sofea telah pun memulakan persekolahan mereka di Malaysia. Papa dan Mama juga bersyukur kerana mampu menghantar mereka ke sekolah agama swasta yang menggabungkan kurikulum Kementerian Pend. Malaysia dan kurikulum Jabatan Agama Islam Selangor serta banyak menggunakan Bahasa Inggeris dalam sesi persekolahan mereka. Semuanya berlaku mengikut plan yang telah kami rancangkan dari awal.

Tidak banyak perbezaan dari segi sistem persekolahan di sekolah ini berbanding sekolah agama swasta lain di Bandar Baru Bangi. Cuma mengikut perkiraan saya sekolah ini mengenakan yuran bulanan yang paling tinggi di Bangi. Mungkin ada yang lebih tinggi di luar pengetahuan saya. Faktor saya memilih sekolah ini kerana mereka menyediakan dua gabungan kurikulum yang mengandungi subjek2 yang ada di sekolah kebangsaan dengan tambahan subjek Bahasa Arab dan Tahfiz serta banyak menggunakan Bahasa Inggeris dalam sekolah mereka.

Objektif yang saya letakkan untuk Hafiy dan Hannan ialah 1) Mereka dapat masuk ke dalam sistem pendidikan Malaysia tanpa sebarang kejutan budaya pembelajaran. Memandangkan di UK mereka agak selesa dengan sistem di sana dan mereka juga tidak mahir berbahasa Melayu. 2) Mereka dapat menguasai sistem Pendidikan Islam dan budaya Islam/muslim dengan cepat dan menghafal beberapa surah yang penting dari al-Quran. 3) Mereka dapat menguasai kemahiran asas Jawi dan Bahasa Arab. 4) Akhir sekali, mereka dapat mengekalkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam diri mereka dan dalam masa yang sama mahir dalam Bahasa Ibunda.

Di hari pertama sekolah ini belum siap sepenuhnya memandangkan mereka baru memulakan sesi persekolahan di bangunan yang baru siap. Segala kekurangan harap dapat diatasi oleh pihak pengurusan dengan sebaiknya. Di akhir tahun 2009 nanti kami akan bermuhasabah bagi menilai samaada 4 objektif yang kami gariskan terhadap anak2 kami tercapai dan mampu dicapai atau tidak. Sekiranya keputusannya adalah negatif, maka kami akan menukarkan mereka ke sekolah lain pula.

Gambar2 mereka di hari persekolahan

Menyiapkan beg untuk ke sekolah
(Hannan sedih uniform kindergarten belum diterima)

Bersiap sedia ke sekolah

Ceria di pagi hari

Teruja nak ke sekolah baru

Bergaya ke sekolah

Cepatlah hantar kami ke sekolah

Hafiy dengan gaya 'cool' di Kelas Ibnu Sina

Hannan dan Mama di Kindergarten
(Hari pertama kelas belum siap sepenuhnya)

Mama bergambar kenangan bersama anak2 di hadapan sekolah

Selamat berjuang kepada Putera dan Puteri Papa dan Mama semoga berjaya menjadi Khalifah Allah S.W.T.

Wassalam

Tuesday, January 27, 2009

Honda Accord 2.0 i-Vtec 2009

Pembelian kenderaan2 saya di Malaysia bermula dengan Skuter Modenas Elegan model 2008, seterusnya Hyundai i10 juga model 2008 dan yang terakhir kereta yang paling istimewa bagi saya iaitu Honda Accord 2.0 i-Vtec model 2009 sebagai ganti Mercedes Benz yang saya jual kepada mertua saya. Accord ini saya beli secara tunai dengan harga di atas jalan RM 141,800.00 ditambah dengan cermin gelap berciri keselamatan RM 2500.00 dan kerusi kulit buatan Italy RM 3000.00. Selepas di tolak diskaun dari jurujual dan juga NCB dari insuran kereta lama, maka kos saya untuk kereta ini hanyalah RM 143,800.00 sahaja.

Sebab utama semua kenderaan ini dipilih adalah kerana semuanya adalah model terbaru di Malaysia dan mempunyai rekabentuk terkini di dunia dan di Malaysia, juga merupakan antara model yang paling ekonomi dari segi penggunaan petrolnya.

Nikmatilah gambar2 Honda Accord saya di bawah


















Syukur padaMU Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Terima kasih di atas sokongan isteri tercinta dan anak2 tersayang

Terima kasih semua

WASSALAM

Monday, January 12, 2009

Hyundai i10

Kereta kedua saya untuk isteri tersayang ialah Hyundai i10/Inokom i10 yang saya beli secara tunai dengan harga RM 48,888.00 + cermin gelap RM 600.00.

Ramai yang bertanya kenapa saya pilih model ini. Kereta ini saya pilih berdasarkan kajian yang saya telah lakukan dengan membandingkan kereta2 yang setaraf dengannya iaitu Kia Picanto/NAZA Suria, NAZA Sutera dan model yang popular dikalangan rakyat Malaysia iaitu Perodua Viva. Semuanya berkapasiti enjin 1.0 cc dan 1.1 cc. Jangan bandingkan dengan Myvi, Getz, Jazz, NAZA Bestari, Satria Neo, Kia Rio, Yaris, City ataupun Vios, kerana model ini semuanya berkuasa enjin 1.3 cc dan 1.5 cc.

Saya hanya mencari kereta yang berenjin 1.0 cc atau 1.1 cc sebagai kereta kedua saya. Berdasarkan pengalaman di UK dan kajian kereta yang telah saya lakukan maka saya telah memilih Hyundai i10. Dari sudut penjimatan petrol bagi kereta yang berkapasiti enjin 1.5 cc ke bawah, model ini berada di tempat kedua selepas Viva dan harga Viva lebih murah RM 5000.00 berbanding model ini bagi model yang beraksesori penuh. Jika diikutkan kiraan sebenar harga model ini sepatutnya ia dijual dengan harga yang melebihi RM 50,000.00, tetapi apabila Hyundai bekerjasama dengan Inokom Malaysia maka kereta import ini dijual di bawah harga tersebut. Model ini juga baru diperkenalkan di Malaysia pada bulan Ogos 2008 yang lalu.

Gambar-gambar Hyundai i10

Pandangan hadapan

Pandangan sisi

Ruang belakang

Ruangan hadapan

Pandangan belakang

Pandangan tepi

Nantikan kemunculan kereta pertama kami dalam penulisan saya yang akan datang.

Saturday, January 03, 2009

Skuter Modenas Elegan 2008

Setelah kembali ke Malaysia saya telah membeli kenderaan pertama saya di Malaysia dengan 'wang besar' yang saya buat di Oxford. Kalau diikutkan ini merupakan motorsikal keenam saya sepanjang hidup saya dan keenam2nya saya beli secara tunai. Motorsikal ke 5 saya, saya dah bagi pada bapa mertua pada tahun 2005 sebelum saya ke Oxford untuk belliau gunakan di kampung dan insyaAllah akan digunakan oleh beliau sampai bila2.

Kali ini saya memilih skuter Modenas Elegan yang berwarna ungu dan perak beserta helmet perak. Model ini menjadi pilihan saya kerana ia amat sesuai dengan status dan keadaan semasa saya. Motor ini memang sesuai bagi mereka yang berumur 30an. Harga motorsikal ini pun berpatutan dengan rupa bentuknya yang elegan dan kemampuan enjinnya iaitu 150cc. Kos pembelian motorsikal ini hanya RM 6650.00. Murahkan?

Gambar2 kenderaan pertama saya di Malaysia


Pandangan hadapan

Pandangan sisi

Pandangan tepi

Pandangan belakang

Nantikan kemunculan kenderaan kedua saya di Malaysia untuk isteri tersayang. Wassalam.