Wednesday, July 24, 2013

PUASA DI MINGGU KEDUA

Di minggu pertama saya melalui Ramadhan dengan penuh harapan agar dosa-dosa yang ada diampunkan oleh Allah swt dengan ujian kesihatan ke atas fizikal saya. Alhamdulillah saya berjaya melaluinya dengan baik.Astaghfirullah hal 'azim
Di minggu kedua saya masih lagi bertugas dan sibuk seperti biasa, namun pada minggu kedua ini fizikal saya telah sihat sepenuhnya. Alhamdulillah saya berjaya memenuhi hari-hari Ramadhan saya dengan lebih baik dan tenang.

Di minggu kedua ini juga saya berjaya menjadi imam terawih di surau kawasan perumahan saya, di mana saya gagal untuk mengimamkan jemaah saya pada minggu yang pertama kerana keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan.
Saya amat berpuas hati dengan apa yang telah saya laksanakan secara istiqamah pada minggu kedua ini, samada semasa di rumah ataupun di tempat kerja. Saya berusaha agar kerja-kerja saya tidak menjadi penghalang kepada rutin ibadah Ramadhan. Alhamdulillah

Minggu kedua Ramadhan bermula dengan keadaan yang kurang baik, namun berjaya saya atasi dengan baik segala masalah yang ada. Saya amat bersyukur pada Yang Maha Esa kerana pada Ramadhan kali ini walau apa pun ujian yang datang saya masih boleh mengamalkan rutin ibadah Ramdhan dengan baik.
Minggu kedua saya bermula dengan mesyuarat di Putrajaya dan 3 hari bermesyuarat di sebuah hotel di Ampang. Penginapan dan makan minum disediakan, namun saya balik ke rumah setiap hari untuk bersama keluarga.
Mesyuarat ini berjalan sehingga ke lewat malam dan saya terpaksa melakukan solat terawih secara sendirian kerana tiada kesempatan untuk berjemaah. Namun saya berpuas hati kerana dalam keadaan yang sangat sibuk ini saya masih berjaya beristiqamah tidak seperti Ramadhan sebelumnya.

Biasanya di tahun-tahun lepas bila saya sibuk sahaja, maka semua rutin ibadah Ramadhan tidak dapat saya lakukan dan semuanya menjadi kelam kabut sehinggakan saya rasa amat sukar untuk menguruskan ibadah-ibadah di bulan yang mulia ini.
Berbekalkan perancangan dan keazaman yang kuat sebelum Ramadhan, maka saya dapat lalui dua minggu pertama Ramadhan dengan baik walaupun keadaan yang saya hadapi agat sukar dan susah untuk fokus kepada rutin ibadah Ramadhan saya. ALHAMDULILLAH !