Monday, July 01, 2013

KURANGKAN DOSA ! BANYAKKAN PAHALA !

Bermula 1 Julai 2013, saya berazam untuk membaiki rutin harian saya kepada satu rutin yang lebih baik yang boleh mengurangkan dosa dan memperbanyakkan pahala.

Sebenarnya rutin harian saya banyak berubah setelah saya bertukar tempat kerja dan bertukar tanggungjawab serta tugasan di KPM pada tahun 2012. Ditambah lagi setelah saya dikurniakan cahaya mata yang ketiga pada tahun yang sama.

Kini keadaan saya semakin stabil dan lebih baik. Dengan itu, bersempena dengan bulan Ramadhan yang hampir tiba, saya nak menyambutnya dengan membuat persediaan awal dengan mengubah rutin harian.
Alhamdulillah di pagi 1 Julai 2013, saya dapat bangun lebih awal untuk bertahajjud dan saya dapat membaca al-Quran di pagi hari dengan memulakan kembali bacaan saya dari Juzu' 1.Satu permulaan yang baik. Alhamdulillah !
Saya juga berazam untuk hidup dengan lebih tenang dan bahagia bersama keluarga tersayang. Banyak yang saya belajar dalam kehidupan di rumah, di tempat kerja dan dalam masyarakat dalam setahun setengah ini.

Saya rasa saya lebih banyak belajar di tempat kerja berbanding dari tempat-tempat lain. Dengan suasana baru, rutin kerja yang baru, tanggungjawab yang baru dan kawan-kawan sekerja yang baru banyak mengubah persepsi hidup saya.
Saya tidak pernah merasakan yang peluang kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah SWT ini adalah untuk tempoh yang lama. Jadi, saya berazam untuk tidak mensia-siakan setiap nikmat dan kurniaanNya kepada saya dan keluarga.
Saya akan berusaha untuk menjadikan kehidupan saya dan keluarga setiap hari dipenuhi dengan keimanan, keislaman, motivasi dan penuh dengan kegembiraan.

Saya tidak akan mensia-siakan peluang kehidupan yang dikurniakan oleh Ilahi kepada saya sekeluarga setiap saat dan setiap hari. Saya akan pastikan semuanya berjalan dengan sebaik mungkin setakat yang saya mampu.
Kehidupan yang saya sekeluarga ada sangat bernilai dan tiada harga yang boleh membayar nikmat dari Yang Maha Esa ini. Kenapa saya nak membiarkannya pergi dan berlalu begitu sahaja. Ampunkan aku Ya Rabb ! 

SEKADAR PERINGATAN, REFLEKSI DAN MOTIVASI KEPADA DIRI SENDIRI !!!