Tuesday, July 30, 2013

PUASA DI MINGGU KETIGA

Alhamdulillah puasa telah pun masuk minggu yang keempat iaitu minggu yang terakhir. Minggu untuk 'all out' dalam semua aspek terutama ibadah agar Ramadhan yang datang pada tahun ini tidak berlalu sia-sia.

Bagi minggu yang ketiga, saya amat bersyukur kerana saya dapat melaluinya dengan cara yang lebih baik daripada minggu yang kedua. Segala aspek dapat saya pertingkatkan dari masa ke semasa.


Saya amat bersyukur pada minggu ketiga ini kerana saya kurang sibuk di pejabat dan keadaan di rumah saya pun agak tersusun dan dalam keadaan yang baik dalam semua aspek.

Saya juga masih mampu mengimamkan para jemaah saya berterawih dan alhamdulillah saya rasa saya berjaya melakukannya dengan lebih baik untuk minggu ketiga ini. Moga saya dapat beristiqamah bagi minggu keempat.


Alhamdulillah saya juga dapat beristiqamah dengan apa yang saya lakukan dan amalkan dan saya dapat membaiki mana yang kurang dan mana yang cacat. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik.


Keadaan yang tidak terlalu sibuk di pejabat dan suasana yang baik di rumah banyak membantu saya memperbaiki amalan dan meningkatkan tumpuan saya pada rutin bulan Ramadhan. Alhamdulillah

Pada minggu ketiga juga dengan keadaan fizikal dan pemikiran yang baik saya dapat melakukan banyak muhasabah diri dan banyak berfikir dalam menentukan hala tuju diri saya dan keluarga tercinta. Alhmdulillah semuanya membawa ke arah yang lebih positif.


Paling istimewa pada minggu yang ketiga ini ialah apabila hari lahir isteri saya jatuh pada minggu yang ketiga ini. Alhamdulillah kami dapat menyambutnya secara sederhana bersesuaian dengan bulan Ramadhan.


Alhamdulillah saya dapat memberikan dua hadiah istimewa pada isteri tersayang yang mana saya rasa mungkin hadiah kali ini lebih istimewa daripada hadiah-hadiah yang lepas-lepas. Alhamdulillah.

InsyaAllah segala amalan rutin Ramadhan akan saya perbaiki dan pertingkatkan lagi pada minggu keempat ini. Minggu ini adalah minggu terakhir dan minggu penentu kepada segala usaha saya untuk mencapai Ramadhan yang terbaik kali ini.

   

Wednesday, July 24, 2013

PUASA DI MINGGU KEDUA

Di minggu pertama saya melalui Ramadhan dengan penuh harapan agar dosa-dosa yang ada diampunkan oleh Allah swt dengan ujian kesihatan ke atas fizikal saya. Alhamdulillah saya berjaya melaluinya dengan baik.Astaghfirullah hal 'azim
Di minggu kedua saya masih lagi bertugas dan sibuk seperti biasa, namun pada minggu kedua ini fizikal saya telah sihat sepenuhnya. Alhamdulillah saya berjaya memenuhi hari-hari Ramadhan saya dengan lebih baik dan tenang.

Di minggu kedua ini juga saya berjaya menjadi imam terawih di surau kawasan perumahan saya, di mana saya gagal untuk mengimamkan jemaah saya pada minggu yang pertama kerana keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan.
Saya amat berpuas hati dengan apa yang telah saya laksanakan secara istiqamah pada minggu kedua ini, samada semasa di rumah ataupun di tempat kerja. Saya berusaha agar kerja-kerja saya tidak menjadi penghalang kepada rutin ibadah Ramadhan. Alhamdulillah

Minggu kedua Ramadhan bermula dengan keadaan yang kurang baik, namun berjaya saya atasi dengan baik segala masalah yang ada. Saya amat bersyukur pada Yang Maha Esa kerana pada Ramadhan kali ini walau apa pun ujian yang datang saya masih boleh mengamalkan rutin ibadah Ramdhan dengan baik.
Minggu kedua saya bermula dengan mesyuarat di Putrajaya dan 3 hari bermesyuarat di sebuah hotel di Ampang. Penginapan dan makan minum disediakan, namun saya balik ke rumah setiap hari untuk bersama keluarga.
Mesyuarat ini berjalan sehingga ke lewat malam dan saya terpaksa melakukan solat terawih secara sendirian kerana tiada kesempatan untuk berjemaah. Namun saya berpuas hati kerana dalam keadaan yang sangat sibuk ini saya masih berjaya beristiqamah tidak seperti Ramadhan sebelumnya.

Biasanya di tahun-tahun lepas bila saya sibuk sahaja, maka semua rutin ibadah Ramadhan tidak dapat saya lakukan dan semuanya menjadi kelam kabut sehinggakan saya rasa amat sukar untuk menguruskan ibadah-ibadah di bulan yang mulia ini.
Berbekalkan perancangan dan keazaman yang kuat sebelum Ramadhan, maka saya dapat lalui dua minggu pertama Ramadhan dengan baik walaupun keadaan yang saya hadapi agat sukar dan susah untuk fokus kepada rutin ibadah Ramadhan saya. ALHAMDULILLAH !

Wednesday, July 17, 2013

PUASA DI MINGGU PERTAMA

Minggu pertama saya berpuasa bermula dengan kesihatan yang kurang baik. Saya bersyukur kerana Dia SWT ingin menyucikan dosa-dosa hambaNya yang banyak ini sebelum masuk ke bulan Ramadhan. Alhamdulillah.

Walaupun saya lemah dari sudut kekuatan fizikal, namun saya dianugerahkan kekuatan mental olehNya. Berbekalkan iman dan azam yang ada, saya gagahkan diri untuk memulakan rutin ibadah di bulan puasa seperti biasa malah lebih baik daripada puasa di tahun sebelumnya.

Saya meletakkan faktor kesihatan diri di belakang dan saya utamakan faktor bagaimana saya nak mulakan Ramadhan saya pada tahun ini. Alhamdulillah saya bersyukur kerana kesihatan saya yang kurang baik tidak menghalang saya daripada menghambakan diri pada Yang Maha Esa.

Segala amalan fardhu dan amalan sunat dapat saya lakukan dengan baik malah saya rasa saya berjaya pada minggu pertama Ramadhan. Harapan saya agar dapat terus beristiqamah dan menambah baik amalan-amalan ini untuk minggu-minggu seterusnya.


Jika minggu pertama Ramadhan saya mengharapkan keampunanNya, maka di minggu kedua saya mengharapkan rahmahNya seluas-luasnya kepada saya hambaNya yang sangat lemah ini. Ya Rabb!

Disebabkan kekangan kesihatan dan keadaan fizikal yang lemah, maka untuk minggu pertama ini saya hanya mampu menjadi makmum dalam solat isyak dan terawih. Saya berdoa padaNya agar saya mampu untuk menjadi imam di minggu kedua Ramadhan. InsyaAllah.

Di minggu pertama Ramadhan juga saya berdepan dengan banyak kes-kes aduan yang melibatkan sekolah, guru dan murid. Saya diarahkan menyiasat beberapa kes dan diarahkan menghadiri beberapa mesyuarat. Jadual saya padat di minggu pertama Ramadhan. Saya tak banyak berada di pejabat.

Bila berhadapan dengan keadaan kesihatan yang kurang baik dan berhadapan pula dengan banyaknya kes-kes yang perlu disiasat dan tanggungjawab-tanggungjawab rutin di rumah bersama keluarga saya berasa sangat penat.

Tapi disebabkan faktor azam yang kuat sebelum Ramadhan lagi, maka saya masih mampu berdiri di hadapanNya sebagai muslim dan hambaNya yang cuba sebaik mungkin untuk menjadi hamba yang taat kepada penciptaNya. Alhamdulillah.

Kini saya mulakan minggu yang kedua Ramadhan.....Semoga saya dan keluarga tersayang dirahmatiNya...

Monday, July 01, 2013

KURANGKAN DOSA ! BANYAKKAN PAHALA !

Bermula 1 Julai 2013, saya berazam untuk membaiki rutin harian saya kepada satu rutin yang lebih baik yang boleh mengurangkan dosa dan memperbanyakkan pahala.

Sebenarnya rutin harian saya banyak berubah setelah saya bertukar tempat kerja dan bertukar tanggungjawab serta tugasan di KPM pada tahun 2012. Ditambah lagi setelah saya dikurniakan cahaya mata yang ketiga pada tahun yang sama.

Kini keadaan saya semakin stabil dan lebih baik. Dengan itu, bersempena dengan bulan Ramadhan yang hampir tiba, saya nak menyambutnya dengan membuat persediaan awal dengan mengubah rutin harian.
Alhamdulillah di pagi 1 Julai 2013, saya dapat bangun lebih awal untuk bertahajjud dan saya dapat membaca al-Quran di pagi hari dengan memulakan kembali bacaan saya dari Juzu' 1.Satu permulaan yang baik. Alhamdulillah !
Saya juga berazam untuk hidup dengan lebih tenang dan bahagia bersama keluarga tersayang. Banyak yang saya belajar dalam kehidupan di rumah, di tempat kerja dan dalam masyarakat dalam setahun setengah ini.

Saya rasa saya lebih banyak belajar di tempat kerja berbanding dari tempat-tempat lain. Dengan suasana baru, rutin kerja yang baru, tanggungjawab yang baru dan kawan-kawan sekerja yang baru banyak mengubah persepsi hidup saya.
Saya tidak pernah merasakan yang peluang kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah SWT ini adalah untuk tempoh yang lama. Jadi, saya berazam untuk tidak mensia-siakan setiap nikmat dan kurniaanNya kepada saya dan keluarga.
Saya akan berusaha untuk menjadikan kehidupan saya dan keluarga setiap hari dipenuhi dengan keimanan, keislaman, motivasi dan penuh dengan kegembiraan.

Saya tidak akan mensia-siakan peluang kehidupan yang dikurniakan oleh Ilahi kepada saya sekeluarga setiap saat dan setiap hari. Saya akan pastikan semuanya berjalan dengan sebaik mungkin setakat yang saya mampu.
Kehidupan yang saya sekeluarga ada sangat bernilai dan tiada harga yang boleh membayar nikmat dari Yang Maha Esa ini. Kenapa saya nak membiarkannya pergi dan berlalu begitu sahaja. Ampunkan aku Ya Rabb ! 

SEKADAR PERINGATAN, REFLEKSI DAN MOTIVASI KEPADA DIRI SENDIRI !!!