Saturday, May 04, 2013

PRU 13 : PENENTU MASA DEPAN RAKYAT DAN NEGARA

Dalam perjalanan hidup saya, saya tidak pernah melihat PRU sehebat kali ini. Saya yakin yang masyarakat di luar sana juga sependapat dengan saya. PRU 13 akan mengubah banyak perkara di Malaysia. Saya menanti tarikh 5 Mei 2013 dengan penuh debaran.

Tinggal sehari lagi untuk berkempen. Apabila bermulanya penamaan calon kita boleh melihat prestasi parti-parti dan calon-calon yang berkempen. Jika dilihat kepada semua bentuk dan strategi kempen mereka semuanya banyak tertumpu kepada kebajikan dan kehendak rakyat.

Bila keadaan politik kurang stabil selepas PRU 12 yang lalu, apabila Barisan Nasional sebagai parti pemerintah dinafikan majoriti 2/3 di Parlimen, barulah semua rakyat dapat melihat kuasa politik dan kuasa pemerintahan kembali kepada mereka. Inilah yang dikatakan sistem demokrasi. Kuasa pemerintahan ditentukan oleh rakyat.

Transformasi dan slogan parti pemerintah iaitu 'rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan' bagi saya memberi kesan yang agak besar kepada majoriti rakyat. Program-program transformasi yang disusun oleh kerajaan berjaya menambat hati kebanyakan rakyat. Syabas PM !

Di pihak pembangkang pula, mereka mencuba dengan sebaik mungkin untuk membuktikan kepada rakyat di semua negeri yang diperintah oleh mereka bahawa mereka boleh membentuk kerajaan yang lebih baik, lebih telus dan lebih adil daripada kerajaan yang ada sekarang.

Inilah yang saya maksudkan dengan kuasa kembali kepada rakyat. Apabila semua parti yang bertanding hanya memikirkan kebajikan, kepentingan dan kehendak rakyat, maka di situlah menunjukkan dan membuktikan kepada seluruh rakyat yang merekalah yang berkuasa melantik pemerintah.

Sekarang kita boleh melihat semua parti, pemimpin dan ahli politik daripada mereka yang berada di kedudukan yang tertinggi sehinggalah mereka yang berada di kedudukan paling bawah, setiap hari dalam kempen mereka merayu-rayu rakyat agar mengundi mereka dan menaburkan banyak janji manis untuk kebaikan rakyat.

Saya harap semua orang boleh meilhat kebaikan dan kelebihan dalam situasi begini. Saya melihat banyak kebaikan untuk rakyat dalam PRU 13 ini. Semua bangsa yang ada di negara kita boleh mengambil peluang terbaik ini untuk kepentingan bangsa masing-masing dan untuk menaiktaraf kehidupan masing-masing.

Saya melihat mood pengundi  muda berumur 40 tahun ke bawah sangat berbeza dengan mood pengundi yang berumur 40 tahun ke atas. Saya amat memahami kehendak mereka kerana saya berada di umur 40 tahun. Saya dapat melihat keinginan mereka di kedua-dua peringkat umur. 

Majoriti mereka yang berumur 40 tahun ke atas sudah pasti dengan undi mereka, mereka telah lama mengundi parti yang sama setiap kali pilihanraya. Namun majoriti pengundi yang berumur 40 tahun ke bawah masih tidak pasti dengan pilihan mereka. Mereka masih keliru dan dalam masa yang sama mereka menilai dengan meneliti semua perkara.

Apa yang saya nampak mereka yang berumur 40 tahun ke bawah sedang memilih dan mencongak sesuatu yang terbaik untuk masa depan mereka dan arah tuju negara dalam bentuk yang mereka impikan. Mereka mahukan satu sistem yang lebih telus dan lebih adil dalam semua aspek. Mereka mahukan perubahan besar berlaku dalam sistem pemerintahan negara tidak kiralah siapa yang memerintah.

Parti politk mana yang mereka yakin dan percaya untuk melakukan perubahan besar ini saya masih tidak pasti. Mereka sedang mengkaji setiap perubahan dan strategi yang telah diambil oleh pemerintah dan pembangkang. Apa yang saya sangat pasti ialah mereka berani untuk membuat perubahan, mereka berani untuk berdepan dengan cabaran dan mereka berani untuk mengambil apa sahaja risiko yang datang bersama pilihan mereka.

Sehingga hari ini yang berbaki sehari lagi untuk rakyat keluar mengundi, semua parti politik telah membentangkan manifesto dan janji-janji mereka kepada rakyat pengundi. Kedua-dua parti terbesar yang akan bertanding juga telah melakukan apa sahaja yang terbaik untuk rakyat di negeri yang mereka kuasai dan cuba sebaik mungkin menunjukkan kepada seluruh rakyat kebaikan dan keikhlasan mereka untuk berbakti kepada rakyat.

Esok tibalah masanya rakyat menghakimi dan membuat keputusan ke atas semua parti politik yang bertanding, siapa yang layak memerintah kita dan memimpin negara kita akan ditentukan. Tugas rakyat bukan ringan dan bukan senang. Rakyat hendaklah memilih parti dan calon yang benar-benar ikhlas untuk menjaga rakyat dan negara. Pilihan yang tepat akan memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Apa yang saya pasti sebagai seorang muslim, setiap undi akan disoal di hadapan Allah swt, setiap undi akan menentukan saf kepimpinan yang terbaik untuk memimpin negara, setiap undi yang diberikan akan menentukan kehidupan rakyat yang lebih selesa atau lebih teruk dan setiap undi amat bermakna sebagai penentu untuk semua aspek kehidupan rakyat sehingga ke generasi seterusnya.

Semoga pada 6 Mei 2013 nanti negara kita akan dipimpin oleh parti dan pemimpin yang diredhai Ilahi. Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku dalam negara yang kita sayangi ini. Semua pihak boleh mengawal diri dan emosi. Semua pihak boleh menerima KETENTUAN DAN PILIHAN RABBUL JALIL.

SAYA YAKIN SEPENUH HATI DENGAN KAJIAN YANG SAYA LAKUKAN SERTA DENGAN MELIHAT SITUASI YANG ADA MASAKINI

PARTI MANA PUN YANG AKAN MENANG SAYA PASTI KEHENDAK DAN KEBAJIKAN RAKYAT AKAN DIUTAMAKAN

KEMBALIKAN SEMUA HAK RAKYAT KEPADA RAKYAT. RAKYATLAH PENENTU MASA DEPAN NEGARA

SELAMAT MENGUNDI UNTUK PRU 13. PILIHAN YANG BIJAK DAN MATANG AKAN MENDAPAT REDHA DAN BARAKAH ILAHI !!!