Nampaknya semua parti politik yang akan bertanding sedang sibuk dengan persiapan bagi penamaan calon pada hari Sabtu ini bersamaan 20 April 2013.
Pihak Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat termasuklah beberapa orang calon bebas berusaha sebaik mungkin untuk menyenaraikan calon yang terbaik yang mereka ada yang akan memberi kemenangan kepada mereka.
Saya rasa seronok dan teruja apabila membaca dan melihat senarai calon-calon yang akan bertanding kali ini kerana semua pihak mengambil kira sentimen dan kehendak rakyat dalam memilih calon. Kita boleh melihat semua pihak mendahului rakyat dalam membuat keputusan.
Jika dahulu mudah bagi sesebuah parti politik untuk meletakkan calon kerana yakin yang mereka boleh menang, tapi situasi kini tidak lagi. Dalam keadaan peluang 50/50 untuk menang bagi kedua-dua pihak, maka kehendak rakyat nampaknya didahulukan.
Melihat kepada senarai calon yang dibentangkan, kita dapat melihat lebih kurang 50% adalah muka baru. Beberapa orang menteri telah digugurkan dan beberapa orang lama sudah tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi masing-masing.
Melihat kepada perkembangan politik semasa negara kita terutama apabila pembangkang yang semakin releven dan kuat pengaruhnya, kita dapat melihat kuasa politik sudah tidak didominasi sepenuhnya oleh sesebuah parti dan kuasa sudah mula kembali kepada rakyat.
Rakyat negara kita makin celik dan makin bijak dalam menilai dan membuat sesuatu keputusan. Ditambah lagi dengan kemudahan sumber maklumat yang tidak terhad menyebabkan semua parti politik sedar akan kekuatan kuasa rakyat atau pengundi.
Sebagai rakyat biasa saya ingin melihat satu perubahan besar dalam lanskap politik negara kali ini. Saya penuh yakin bahawa selepas PRU 13 akan berlaku perubahan yang besar dalam sistem pemerintahan negara. Kerana siapa pun yang menjadi kerajaan akan meletakkan kehendak rakyat sebagai keutamaan.
Sekarang pun kita sudah boleh melihat bagaimana kuasa sudah mula kembali kepada rakyat. Banyak kemudahan yang diberikan kepada rakyat oleh pemerintah pusat dan negeri dalam usaha mengambil hati rakyat agar mereka terjemahkan dalam bentuk undi. Semoga rakyat menggunakan peluang terbaik ini.
Selepas pembubaran juga kita dapat melihat bagaimana manifesto kedua-dua pihak dibentangkan. Kedua-dua gabungan parti terbesar di negara kita banyak menawarkan sesuatu yang releven dan amat baik untuk kebajikan rakyat. Kita boleh nampak dengan jelas bahawa manifesto ini dibuat untuk memujuk rakyat untuk mengundi mereka dan memberikan kuasa kepada mereka.
Disinilah peranan rakyat yang sedar dan bijak untuk menggunakan kelebihan yang mereka ada kali ini terutama pada 5 Mei ini iaitu hari mengundi untuk mendapatkan kerajaan yang terbaik yang akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka dan mempedulikan nasib mereka.
Saya juga sangat berharap yang semua pengundi sedar bahawa merekalah kerajaan dan merekalah yang berkuasa dan merekalah yang berhak ke atas negara ini. Merekalah yang berhak ke atas semua kekayaan yang ada di negara ini dan merekalah yang berkuasa melantik siapa yang akan memimpin mereka.
Pilihan yang bijak oleh rakyat pengundi akan menentukan masa depan yang baik kepada semua rakyat dan dengan kesedaran politik yang makin tinggi dikalangan rakyat kini maka kita semua boleh mengubah masa depan anak cucu cicit kita nanti.
Dengan situasi peluang kemenangan 50/50 yang dihadapi oleh semua parti politik yang bertanding ini, saya rasa sudah tiba masanya rakyat membuat keputusan yang nekad untuk mengubah keseluruhan nasib dan masa depan mereka. Sedarlah bahawa kuasa politik dan kuasa penentu kerajaan telah kembali kepada rakyat.
Kali ini saya melihat peluang terbesar telah terhidang di hadapan mata semua rakyat untuk mengubah seluruh sistem kehidupan yang ada di negara kita yang tercinta ini. Tidak kiralah parti mana yang menang, saya sangat yakin yang sistem pemerintahan negara kita akan berubah kearah yang lebih baik selepas PRU 13.