Monday, May 13, 2013

PRU 13 : PEMBENTUKAN KERAJAAN 'BARU'

PRU 13 telah seminggu berlalu, semua sudah mengetahui keputusannya. Alhamdulillah semuanya telah berlalu tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. BN sekali lagi berjaya membentuk kerajaan.

Pada PRU 12 BN berjaya memperolehi 140 kerusi Parlimen, namun bagi PRU 13 BN hanya memenangi 133 kerusi Parlimen. Majoriti BN merosot dan gagal memperolehi keputusan majoriti 2/3. BN juga gagal memenangi undi popular kali ini. Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah PRU negara.

Nampaknya sekali lagi negara kita akan membentuk sebuah kerajaan yang agak lemah. Diharap PM dan BN akan menggunakan segala kelebihan dan apa sahaja kepakaran yang ada untuk membentuk satu kerajaan yang kuat dan efisien untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sekali lagi dalam sejarah PRU di negara kita pihak pembangkang tidak boleh menerima keputusan PRU yang tidak memihak kepada mereka. Sekarang mereka sedang mengadakan 'road show' ke seluruh negara bagi menerangkan kepada umum tentang ketidakadilan dan penipuan dalam PRU 13.

Setelah keputusan rasmi PRU 13 diwartakan, maka PR akan menghantar petisyen untuk membantah keputusan di beberapa kerusi Parlimen yang dimenangi oleh BN. Harapan rakyat agar PR boleh membuat bantahan secara rasmi tanpa menimbulkan kekacauan dan biarlah mahkamah yang membuat keputusan yang seterusnya.

PM dan BN pula sedang sibuk membuat perancangan untuk membentuk kabinet baru. Pastinya PM akan memberikan kelainan dalam barisan kabinet baru beliau. Rakyat sudah pasti mengharapkan barisan kabinet yang berwibawa, telus, adil, tiada korupsi, tiada rasuah dan kronisme.

Rakyat telah memberikan petunjuk yang besar dalam PRU 13 bahawa majoriti mereka mahukan perubahan yang besar dalam sistem pentadbiran negara pada kali ini. Mereka mengharapkan program-program tarnsformasi kerajaan akan bersifat lebih baik dan lebih menyeluruh mengikut kehendak dan kebajikan rakyat.

Janji-janji yang telah ditaburkan oleh BN, pastinya akan dipenuhi dalam tempoh 5 tahun ini. Jika BN gagal melakukan seperti yang dijanjikan, pasti rakyat akan kecewa dan berubah hati. Ini kesan yang tidak baik untuk kerajaan BN.

Mungkin tidak menjadi kesalahan bagi BN sekiranya mereka cuba merealisasikan beberapa janji yang terkandung dalam manifesto PR. Kerana di dalam kedua-dua manifesto BN dan PR pasti ada yang baik untuk rakyat. Aspirasi, kepentingan dan kehendak rakyat ada di dalam kedua-dua manifesto tersebut. Fikirkanlah.

Bila kabinet baru telah berjaya dibentuk oleh PM, maka saya mengharapkan agar PR boleh menjadi pengimbang kepada semua dasar pentadbiran kerajaan. PR hendaklah menjadi pembangkang yang kuat dan terbaik yang pernah ada dalam sejarah negara kita.

Sekiranya kerajaan dan pembangkang berjaya memainkan peranan terbaik mereka, sudah pasti rakyat akan terbela dan banyak manfaat akan diperolehi oleh rakyat serta kehidupan rakyat akan bertambah makmur dan sejahtera.

Sebelum dan selepas PRU 13 saya cuma mengharapkan suatu perubahan besar berlaku dalam sistem pemerintahan negara. Saya inginkan sebuah negara yang lebih islamik, aman dan makmur, telus, tiada unsur rasuah, tiada korupsi, tiada kronisme dan sebuah kerajaan yang sentiasa menjaga dan mendahulukan kebajikan rakyat dalam segenap aspek.

Melalui PRU 12 dan 13, saya melihat rakyat makin berkuasa dalam menentukan pemerintahan negara. Rakyat makin celik dan sedar tentang hak-hak dan kebajikan mereka. Rakyat makin ghairah menunjukkan kuasa mereka. Kini kerajaan dan pembangkang perlu mengikut rentak rakyat. Semakin hari kita boleh melihat yang rakyat semakin menang dalam perjuangan mereka. Syabas Rakyat Malaysia !