Pada hari tersebut satu pameran dan pemeriksaan kesihatan telah diadakan di tempat kerja saya. Apabila melihat keadaan di ofis yang tidak terlalu sibuk saya pun pergilah ke lobi bangunan hanya untuk membuat pemeriksaan kesihatan.
Apabila selesai mengambil tekanan darah dan ujian gula dalam badan, saya melihat ramai pengunjung yang beratur untuk menderma darah di satu sudut yang lain.
Melihat keadaan itu, tiba-tiba datang satu keinginan yang tinggi untuk saya turut serta beratur bersama mereka. Walaupun terpaksa beratur panjang dan mengambil masa yang agak lama, saya nekad yang saya takkan 'lari' kali ini.
Perkara yang paling terkesan dalam hati saya dalam proses menderma darah ini ialah apabila sesi temuduga saya dengan doktor yang akan mengesahkan yang saya layak untuk menderma darah.
Dulu saya tidak pernah terfikir tentang perkara ini dan tidak pernah terfikir ada seseorang yang akan bertanya saya soalan sebegini. Tapi apabila doktor tersebut bertanya soalan-soalan tersebut saya sedikit terkejut.
Soalan-soalan itu ialah, pernahkan anda melakukan hubungan seks dengan pelacur, pernahkah anda melakukan hubungan seks dengan sesama jenis dan pernahkah anda melakukan hubungan seks dengan bukan pasangan anda.
Alhamdulillah walaupun agak terkejut dengan soalan begitu, saya menjawabnya dengan tenang dan jawapannya mestilah TIDAK. Tak sangka soalan-soalan itu membuat saya berfikir kerana hampir setiap hari saya berdepan dengan kes-kes remaja yang terlibat dengan persoalan ini.
Jika jawapan anda YA bagi salah satu atau semua soalan tersebut, maka anda tidak layak untuk menderma darah. Alhamdulillah saya layak TAPI adakah para remaja dan dewasa di luar sana layak untuk menderma darah.
Melihat kepada situasi seharian remaja masakini, dengan isu-isu moral yang keluar di media massa dan pengalaman saya sendiri yang berdepan dengan para remaja sekolah dan kini saya pula yang menguruskan isu-isu disiplin murid sekolah seluruh Malaysia, saya mengeluh panjang.