Thursday, April 04, 2013

PILIHANRAYA UMUM KE 13 (PRU 13)

MASA UNTUK MEMILIH KERAJAAN YANG TERBAIK TELAH TIBA !!!

Akhirnya pada 3 April 2013 hari rabu, secara rasminya parlimen dibubarkan setelah sekian lama semua rakyat Malaysia menunggu saat dan ketika ini. Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkannya pada 11.30 pagi dan telah menyampaikan amanat terakhir beliau kepada semua parti politik dan semua rakyat Malaysia sebelum PRU 13 diadakan.

Kini semua rakyat Malaysia menanti pengumuman daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh mengundi. Jangkaan tarikh penamaan calon adalah 13 April 2013 dan kita akan mengundi pada 27 April 2013.

Melihat kepada senario politik selepas PRU 12, suasana negara kita sentiasa panas dengan pelbagai isu semenjak tahun 2008. Setelah kerajaan pimpinan Barisan Nasional gagal mendapat majoriti 2/3, negara kita sentiasa riuh rendah dengan isu-isu panas yang dimainkan oleh parti kerajaan dan parti pembangkang.

Melalui situasi beginilah, rakyat Malaysia mula mengambil berat dengan keadaan politk di negara sendiri. Rakyat mula melihat apa yang dilakukan oleh kerajaan dan juga apa yang dilakukan oleh pembangkang. Akhirnya rakyat Malaysia menjadi rakyat yang semakin matang dalam berpolitik.

Pada tahun 2008 telah berlaku peralihan kepimpinan di pihak kerajaan apabila bertukarnya perdana menteri dan presiden parti UMNO dan Barisan Nasional. Disaat inilah kerajaan memulakan langkah transformasi besar-besaran dalam sistem pentadbiran negara dan juga transformasi dalam sistem politik tanahair.

Bermula dengan kepimpinan baru inilah, banyak program-program transformasi telah diwujudkan untuk memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia. Transformasi ini telah diatur agar ianya menyeluruh dan merangkumi semua aspek kehidupan rakyat.

PRU 12 menyaksikan pembangkang yang dikenali dengan Pakatan Rakyat telah berjaya melenyapkan majoriti 2/3 kerajaan dan berjaya membentuk kerajaan di 5 buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan. Namun akhirnya Perak kembali kepada Barisan Nasional kerana terdapat wakil rakyat Pakatan Rakyat yang 'berubah hati'.

Dengan peluang dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat di 4 buah negeri, kerajaan Pakatan Rakyat telah mencuba untuk memerintah dengan cara mereka dan cuba untuk memenangi hati rakyat serta membalas kepercayaan mereka. Rakyat memerhati dan menilai prestasi Pakatan Rakyat.

Pelbagai program rakyat telah dilaksanakan di 4 buah negeri tersebut. Dengan peluang dan kuasa yang mereka miliki, mereka telah mencuba apa sahaja dalam usaha mengekalkan penguasaan mereka di 4 buah negeri tersebut dan berharap corak dan cara pemerintahan mereka dipeduli dan diperhati oleh semua rakyat di Malaysia.

Dalam keadaan politik yang kurang stabil, dengan kemampuan kerajaan yang telah hilang majoriti 2/3, semua rakyat memerhatikan dengan teliti setiap perancangan, setiap program dan setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan dan pembangkang.

Di Pihak kerajaan Barisan Nasional, Perdana Menteri telah bertungkus lumus untuk mentransformasikan negara secara keseluruhannya dalam kesuntukan masa dan ruang yang beliau ada. Kita dapat melihat dengan jelas setiap perubahan dan tindakan positif serta releven yang diambil oleh kerajaan.

Program-program transformasi kerajaan telah banyak dilakukan dan ia memberi kesan yang baik kepada rakyat. Rakyat Malaysia sangat gembira dan berpuas hati dengan perubahan ini kerana manfaatnya sampai terus kepada rakyat dan sesuai dengan slogan kerajaan, iaitu 'Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan'.

Suasana politik yang kurang stabil dan keadaan negara yang masih aman sejahtera ini banyak memberi kelebihan kepada rakyat. Semua parti politik dan semua wakil rakyat seluruh negara akan melakukan apa sahaja yang termampu dalam usaha memenangi hati rakyat agar mereka menterjemahkannya dengan undian.

Jika dilihat dari kacamata rakyat, keadaan sekarang ini banyak memberi faedah kepada rakyat kerana mereka akan mendapat banyak manfaat dari situasi ini, kerana semua parti politik semakin pandai berpolitik dan menyedari bahawa kuasa sesebuah kerajaan sebenarnya berada di tangan rakyat.

Namun jika dilihat dari kacamata parti yang akan memerintah, suasana ini akan mencacatkan pemerintahan mereka. Kuasa yang lemah dalam mentadbir negara akan memberikan beberapa halangan kepada mereka dalam membuat sesuatu keputusan yang mungkin boleh memberi manfaat yang besar dan manfaat jangka panjang kepada negara dan rakyat.

Kesan daripada pembangkang yang didominasi oleh parti PAS, PKR dan DAP yang membentuk Pakatan Rakyat semakin dirasai oleh semua pihak. Peluang dan kuasa di tangan mereka telah digunakan sebaik mungkin dan rakyat mula merasai sesuatu kelainan dalam sistem kehidupan mereka dan dalam sistem pentadbiran dan politik negara.

Kesan daripada program-program transformasi kerajaan pimpinan Barisan Nasional juga sangat dirasai oleh rakyat. Mereka merasakan bahawa denyutan nadi mereka makin didengari oleh kerajaan dan kebajikan mereka semakin dipeduli oleh kerajaan. Semua ini diambil kira oleh rakyat dalam memilih kerajaan seterusnya selepas PRU 13.

Dalam masa 4 tahun ini rakyat telah disajikan dengan banyak program dengan pelbagai pendekatan oleh semua parti politik di negara kita. Mereka mula merasai kesan dan akibat daripada keadaan politik yang ada masakini. Mereka melihat dan mengkaji setiap tingkah laku ahli politik dan parti politik mereka.

Dalam masa 4 tahun ini rakyat semakin bijak dalam menilai sesebuah parti politik dan wakil rakyat mereka. Rakyat makin sedar dengan tanggungjawab dan peranan mereka dalam sesebuah negara. Rakyat makin peduli dengan hak-hak mereka. Rakyak semakin cerdik dalam memilih seseorang wakil rakyat dan parti politik yang akan mereka sokong.

Sebelum ini rakyat mempunyai maklumat yang terhad untuk mengetahui dan mengkaji sesuatu isu yang dipaparkan kepada mereka. Kini mereka boleh akses dengan mudah semua maklumat yang ada. Teknologi banyak membantu semua parti politik, ahli politik dan rakyat dalam memperolehi maklumat. Benar atau salah sesuatu maklumat itu susah untuk disahkan. Terpulang kepada kematangan dan kebijaksanaan masing-masing.

Kini bermulalah kempen besar-besaran yang akan dijalankan oleh semua parti politik sebagai usaha saat akhir dalam memenangi hati pengundi. Kempen-kempen ini sebenarnya sudah lama dilakukan oleh kedua-dua pihak sebelum pembubaran lagi dan selepas pembubaran kempen yang lebih agresif pasti akan digerakkan oleh semua jentera parti masing-masing.

Semua usaha terbaik telah dilakukan oleh Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Inilah masa-masa terakhir mereka untuk meyakinkan semua rakyat bahawa mereka benar-benar ikhlas ingin membantu rakyat dan memajukan negara. Inilah peluang terakhir mereka untuk meyakinkan pengundi bahawa merekalah yang terbaik untuk berbakti kepada rakyat dan merekalah yang terbaik untuk memimpin Negara Malaysia tercinta ini.

Kepada semua parti politik yang akan menyertai PRU 13, kepada semua individu yang terpilih menjadi calon wakil rakyat dan kepada semua rakyat yang akan mengundi. INGATLAH bahawa setiap gerak laku, setiap tutur bicara, setiap keputusan yang diambil akan disoal oleh Allah swt suatu hari nanti. INGATLAH bahawa Allahu Rabbul Jalil dan tentera-tenteraNya sedang dan sentiasa memerhatikan kita semua !!!

SEDARLAH BAHAWA APA SAHAJA KEPUTUSANNYA NANTI ADALAH ATAS KEHENDAK ALLAH SWT !!!