Thursday, March 14, 2013

KAHWIN CEPAT CEPAT


Melihat kepada situasi teruna dan dara kini, saya melihat dari sudut ibubapa dan anak-anak remaja. Budaya berpasangan sudah menjadi biasa bagi ramai remaja Islam di luar sana. Mereka berasa janggal dan seolah-olah ada yang tidak kena pada mereka sekiranya mereka tiada pasangan atau tidak bercinta.

Saya tidak melihat situasi ini dalam konteks mereka yang mahu mengamalkan cara hidup Islam. Tapi saya melihat dari aspek remaja Islam yang memahami hukum hakam Syariah Islam namun mereka tidak mampu dan belum mampu untuk mengamalkan.

Dengan cabaran yang hebat di luar sana yang didedahkan di semua media dan diaplikasikan dalam kehidupan moden masyarakat kini, amat susah bagi seseorang individu remaja muslim untuk mempertahankan agama dan maruah diri mereka. Ramai yang sudah terjebak dalam cinta haram.

Bagi remaja lelaki Islam mereka sukar untuk menolak dugaan seksual yang datang kepada mereka daripada mana-mana perempuan, kerana bagi remaja lelaki Islam biasa mereka tidak berasa rugi apa-apa sekiranya mereka terjebak dalam aktiviti cinta dan seksual haram. Mereka sanggup bercinta separuh mati hanya untuk memenuhi kehendak naluri mereka tanpa mengira halal dan haram.

Manakala remaja perempuan Islam pula mereka sukar untuk menolak cinta lelaki dalam hidup mereka. Mereka mungkin kurang tertarik dengan tarikan seksual tetapi mereka mempunyai perasaan yang sangat kuat untuk dicintai, disayangi, dijaga dan dibelai. Malah remaja perempuan sekarang banyak terdedah dengan perkara-perkara seksual dalam kehidupan mereka dan akibatnya mereka amat mudah untuk ditewaskan.

Bila banyak perkara negatif terdedah kepada mereka dan berlegar di mata dan fikiran mereka, akhirnya mereka tidak mampu bertahan dan mereka mudah tewas dengan keadaan dan dugaan. Dengan bekalan Iman dan Islam yang sedikit, mereka tidak mampu mengawal diri. Ramai yang telah tewas dalam cinta haram mereka.


Bagi remaja lelaki Islam yang telah akil baligh mereka bertanggungjawab sepenuhnya bagi setiap perbuatan dosa mereka. Berlainan dengan remaja perempuan Islam kerana setiap langkah mereka dikongsi bersama dengan wali (penjaga) mereka. Jika lelaki tewas maknanya hanya dia sahaja yang tewas, tetapi jika perempuan yang tewas maknanya dia dan walinya yang tewas.

Inilah sebabnya mengapa orang tua-tua selalu berkata, lebih baik menjaga sekandang lembu daripada menjaga seorang anak perempuan. Fikirkanlah maksud yang tersirat di dalamnya. Maruah keturunan sesebuah keluarga banyak terletak di bahu seorang perempuan. Sebab itulah setiap perempuan Allah swt letakkan seorang penjaga disepanjang hayatnya.

Lelaki merupakan khalifah di bumi Allah swt, banyak tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya oleh Allah swt. Dia merupakan penjaga (wali) kepada setiap wanita yang dibawah tanggungannya, namun ditangan wanitalah biasanya lelaki akan tewas dan terjerumus ke neraka Allah swt.

Perempuan pula tanggungjawabnya lebih kepada menjaga maruah dirinya sahaja. Allah swt meletakkan pula seorang lelaki setiap masa untuk bersama menjaga maruahnya, samaada bapa, suami, adik beradik lelaki dan seterusnya. Begitulah eksklusifnya seorang perempuan disisi Islam.

Namun hanya kerana mengejar sebuah cinta yang agung dalam fantasi mereka akhirnya ramai yang menggadaikan maruah dirinya hanya untuk seorang lelaki yang haram dengannya. Mereka sudah tidak mampu berfikir dengan normal lagi apabila mereka dibuai mimpi indah bersama pasangan haramnya.



Bagi ibubapa di luar sana, fahamilah psikologi dan jiwa anak-anak remaja anda. Situasi mereka tidak sama dengan situasi kita dahulu. Kini cabaran dan dugaan seksual yang mereka tempuhi setiap hari sangat hebat dan kematangan seksual mereka amat pantas dan tidak seiring dengan kematangan fikiran.

Bagi ibubapa yang faham dan berjiwa Islam, mereka sepatutnya berusaha untuk mengahwinkan anak-anak mereka secepat mungkin apabila sampai waktu dan jodohnya. Buatlah sekadar yang mampu secara Islam dan bantulah mereka dalam sudut kewangan dan panduan, agar mereka diredhai Ilahi dalam melayari kehidupan mereka bersama.

Bagi pasangan yang sedang dilamun cinta dan yakin bahawa dialah orang yang anda yakin dan pasti untuk dikahwini. Tidak kiralah berapa usia anda. Mohon berhentilah sekejap bercinta dan bawalah pasangan masing-masing untuk bertemu ibubapa dan berbincanglah tentang perkahwinan. Hanya yang soleh dan solehah sahaja yang berani melakukannya.