Thursday, January 17, 2013

RUTIN HARI BEKERJA

Bila bermulanya sesi persekolahan 2013 maka bermulalah kembali rutin harian saya yang padat dengan aktiviti pengurusan rumahtangga disamping tugasan-tugasan di KPM


Seawal jam 5.00 pagi saya dah bangun untuk pengurusan diri dan melaksanakan amalan-amalan sunat . Jam 5.30 pagi saya kejutkan Hafiy untuk mandi dan bersiap, lepas itu jam 6.00 pagi saya dan Hafiy akan ke masjid untuk solat subuh berjemaah. Jam 6.30 pagi Hafiy akan bersarapan dan saya akan bersiap untuk menghantar Hafiy ke SMAPUTRA di Presint 11 dan ke pejabat di Presint 1 Putrajaya.


Setelah selesai menguruskan Hafiy saya akan terus ke pejabat dan melaksanakan tugasan-tugasan di KPM sehingga jam 5.00 petang, seterusnya bergerak ke sekolah Hafiy dan biasanya kami berdua akan sampai di rumah pada jam 6.00 petang.


Sampainya kami di rumah, kami akan terus mandi dan menguruskan diri masing-masing. Selepas itu saya dibantu oleh Hafiy akan menguruskan pakaian di jemuran. Hafiy akan mengangkat kain-kain tersebut dan menguruskan pakaiannya sendiri terutama untuk persekolahan hari esok .


Saya pula akan seterika uniform sekolah Hannan untuk esok. Pada jam 6.45 petang saya dan isteri akan menguruskan makan malam dan Hafiy akan membuat jadual persekolahannya untuk esok. Kami akan makan malam pada jam 7.00 petang kerana menantikan Hannan yang balik dari sekolah sesi petang.


Setelah selesai makan malam, saya dan Hafiy akan mengemas dan membasuh pinggan mangkuk sementara isteri saya menguruskan Haadin dan Hannan akan menguruskan dirinya sendiri. Apabila azan maghrib berkumandang saya dan Hafiy akan ke surau untuk solat berjemaah.


Setelah pulang dari surau saya akan menjaga Haadin agar isteri saya dapat menguruskan dirinya dan solat maghrib bersama Hannan. Setelah selesai semuanya saya akan memenuhi waktu maghrib saya dengan amalan-amalan sunat sementara Hafiy dan Hannan pula akan membuat kerja rumah dan persiapan untuk persekolahan mereka hari esok .


Apabila masuk waktu isyak, saya dan Hafiy akan ke surau untuk solat berjemaah. Setelah pulang ke rumah dari surau, saya akan menjaga Haadin bagi memberi ruang untuk isteri saya solat isyak. Hafiy dan Hannan pula akan tidur setelah semua kerja rumah dan persiapan sekolah untuk hari esok selesai, biasanya lebih kurang jam 9.30 malam.


Apabila semua anak-anak dah tidur, saya akan minum malam dan berbincang dengan isteri perkara-perkara yang perlu dan penting. Biasanya kami akan berada di ruang tamu sambil menonton televisyen. Apabila semua dah selesai saya akan tidur pada jam 11.00 malam. ZZZZZZZZZZ