Wednesday, November 28, 2007

Hobi Dan Angan-angan

Kali ini saya nak berkongsi hobi saya. Bukan mengumpul setem, tapi mengumpul kenderaan. Kalau di zaman sekolah-sekolah dulu saya suka mengumpul basikal, berbagai jenis basikal saya dah gunakan, dari basikal biasa yang ada bakul kepada BMX hinggalah ke basikal lumba. Saya juga pernah membeli basikal terpakai dan membina basikal sendiri sehingga rupanya dah tak macam basikal tapi dah berupa motorsikal cuma tidak ada enjin sahaja.

Bila masuk zaman universiti, saya mula mengumpul motorsikal. Saya bermula dengan motorsikal Honda Fame di Matrikulasi Akademi Islam UM. Masuk tahun pertama di UM saya tukar kepada Honda EX5, tahun kedua pula saya tukar dengan Yamaha RXZ dan di tahun 3 dan 4 saya pakai Kawasaki KRZ. Sehinggalah saya dihantar bertugas ke Sarawak saya jual KRZ ini kepada seorang adik siswa di UM sebelum berangkat ke Sarawak dan setibanya saya di sana saya beli Modenas Kriss dan saya bawa balik ke Cyberjaya pada tahun 2000. Akhirnya motorsikal ini saya tinggalkan pada bapa mertua saya di Terengganu sebelum saya ke Oxford.

Bila mula bekerja secara rasmi dengan kerajaan saya telah menukar hobi saya dari meminati motorsikal kepada kereta pula. Kereta pertama saya ialah Toyota Corolla SE Limited Edition 1.5. yang saya beli di Sarawak pada tahun 1999 selepas saya berkahwin. Kereta ini saya bawa balik ke Semenanjung Malaysia dan saya beli sebuah lagi kereta kancil untuk kegunaan isteri ke tampat kerja. Pada tahun 2004 saya dah mula berangan-angan untuk tukar kereta. Saya telah menempah KIA Picanto untuk ditukar dengan kancil isteri dan saya telah pergi ke bilik pameran Honda untuk melihat Honda Accord terbaru pada waktu itu. Dipendekkan cerita hajat saya tak kesampaian kerana isteri saya telah mendapat tawaran biasiswa TM untuk melanjutkan pelajarannya ke Oxford. Akhirnya saya jual Toyota Corolla dan kancil dan terbang ke UK.

E200K Elegance

Bila dah sampai ke Oxford pada tahun 2005 saya terus beli sebuah kereta lama iaitu Ford Escort tahun 1984, Ford ini sangat popular di kalangan romeo-romeo di Malaysia pada zaman 80an. Pada tahun 2006 saya bertukar pula kepada kereta Rover 400 tahun 1998, saya suka sangat kereta ni, dia sporty dan nampak baru serta popular di kalangan orang muda-muda di sini. Pada awal tahun 2007 saya mula mencari kereta untuk dibawa balik ke Malaysia. Di sini Mercedes Benz murah sangat berbanding di Malaysia, jadi saya ambil peluang yang ada. Saya beli E200K Elegance tahun 2001. InsyaAllah kereta ini akan dibawa balik ke Malaysia pada hujung tahun 2008.

Saya rasa tak lama saya pakai E200K ni, sebab saya dah mula jatuh cinta dengan model terbaru Toyota Camry yang baru dilancarkan awal tahun ini di Malaysia, jadi berbekalkan modal Mercedes ini insyaAllah saya nak beralih kepada Camry. Kalau model Camry yang lepas-lepas memang tak cantik, maklumlah orang Malaysia panggil kereta 'ah pek', tapi model baru ini cukup mengancam. Model-model Honda Accord lebih cantik dan diminati di kalangan orang Melayu khususnya. Tapi kali ini saya rasa Camry dah dapat mengalahkan Honda Accord. Cuma rumus ada mengatakan Honda Accord akan keluarkan model barunya pada akhir 2008 atau awal 2009. Nampaknya saya kena tunggu 2009 baru dapat putuskan Camry atau Accord. Untuk isteri saya pilihan pertama saya ialah Honda Jazz atau Perodua Myvi, mungkin juga Proton Satria Neo. Tengoklah nanti kerana semuanya masih terlalu awal.

Honda Accord Facelift 2006


Honda Accord 2008/09


Toyota Camry 2007

Monday, November 19, 2007

Kenangan Mengusik Jiwa 1

Bila saya melihat kembali gambar-gambar lama anak-anak, sayu rasa hati, sebak dan gembira, sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata dan tulisan. Naluri kebapaan dalam diri semakin hari semakin menebal dan kuat. Mungkin semua bapa mempunyai perasaan yang sama. Pada bulan November ini anak lelaki saya sudah mencapai usia 7 tahun, terlalu banyak kenangan-kenangan lama yang mengusik jiwa. Jadi saya khususkan tulisan saya kali ini untuknya.
04hb November 2000 Lahirnya Hafiy Syafiqy Bin Habibullah

Gambar Yang Paling Papa & Mama Suka

Bergaya Dengan Basikal Pertama

Anak Mama Minat Komputer

Suka Kacau Orang Masak

InsyaAllah Bakal Pejuang Islam

Tadika Pertama Di Multimedia University Cyberjaya

Hari Sukan Tadika MMU

Berjogging Dengan Papa Di Cyberjaya Park

Pistol Pertama Hadiah Dari Tok Bah & Tok Mak

Meraikan Majlis Konvokesyen 'Master' Mama

Menemani Papa Berkursus Di Genting Highland

Melawat Zoo Negara

Semoga Menjadi Anak Soleh

Tuesday, November 13, 2007

Winter - Ujian Sudah Bermula

Sekarang ni cuaca semakin hari semakin sejuk. Tak lama lagi musim winter, jadi rutin hidup pun mula berubah mengikut perubahan cuaca dan waktu. Di UK ni setiap 3 bulan corak hidup mesti akan berubah, ia berubah mengikut musim, jadi dalam setahun 4 kali jugalah rutin kehidupan kami berubah.

Sekarang waktu malam semakin memanjang dan waktu siang semakin memendek. Bayangkan pukul 5 petang dah gelap, waktu maghrib masuk jam 4.00 petang dan pukul 7 pagi pun masih bergelap. Cepat betul masa berlalu dah masuk winter yang ketiga kami di sini. Mungkin winter yang terakhir, InsyaAllah.

Sekarang waktu solat semakin pendek terutama waktu zohor, asar dan maghrib. Kalau tak dijaga betul-betul akan terlepas waktu solat. Kalau di tahun-tahun yang lalu susah juga saya nak uruskan waktu solat dengan baik, terutama pada hari-hari bekerja, maklumlah belum biasa dengan keadaan di sini, sekarang alhamdulillah pengurusan saya semakin baik.

Bila dah masuk tahun yang ketiga saya di sini, saya kadang-kadang sedih dan kesian bila melihat muslim yang mengambil mudah soal solat. Ada muslim yang selalu terlepas waktu solat dalam waktu sekarang yang pendek. Solat itu fardhu ain ke atas setiap muslim tak kira walau dalam apa keadaan sekalipun. Tapi malangnya mereka meninggalkan solat bukan kerana alasan yang kuat tapi kerana sebab-sebab yang remeh temeh. Contohnya, kerana asyik sangat melepak dan berbual-bual kosong akhirnya terlepas waktu solat, juga kerana terlalu asyik bekerja sampai terlupa waktu solat dah habis dan juga kerana terlalu asyik berjalan-jalan dan membeli belah akhirnya solat ditinggalkan. Saya rasa ini kesalahan yang sangat besar kerana kelalaian dan kelemahan iman seseorang muslim itu sendiri. Saya pun tak tahu apa yang mereka nak jawab di hadapan Allah swt di Akhirat kelak.

Waktu hidup kita selalu lupa tanggungjawab kita di dunia sebagai seorang muslim, bila dah mati nanti kita tidak mampu untuk menyesalinya. Masa hidup kita boleh berbangga dengan apa yang kita buat dan apa yang kita ada tapi bila mati menyesal tidak berguna. Sebab itulah saya selalu mengingatkan diri saya dan keluarga tentang keadaan ini. Saya tak mahu hidup di dunia dipenuhi nikmat tapi bila mati di akhirat nanti dilimpahi azab neraka.

Sebagai guru agama, saya bukan risau pada diri saya dan keluarga sahaja. Tapi saya juga risaukan masyarakat persekitaran saya. Saya berasa bertanggungjawab untuk mengingatkan saudara-saudara seagama yang ada. Mungkin bagi sesetengah muslim yang tidak faham Islam berpendapat mengapa mereka perlu menyibuk hal orang lain. Ini muslim yang tidak faham agama mereka sendiri sebenarnya.

Menjadi seorang muslim bukan hanya memikirkan diri dan keluarga mereka sendiri sahaja, tetapi mesti mengambil tahu keadaan masyarakat persekitaran. Tapi bukan senang sebenarnya untuk mengambil berat sesama muslim, ramai orang tak boleh terima, bagi mereka semua dah tahu kewajipan masing-masing, jadi masing-masing jaga diri masing-masing. Dengan keadaan sesetengah masyarakat sekarang yang bijak, ego dan susah mengakui kelemahan diri sendiri terutama dalam aspek keagamaan menjadikan segalanya semakin hari semakin rumit.

Sekali lagi saya ingatkan diri saya dan rakan-rakan seagama untuk menjaga solat, di mana bermula bulan ini waktu solat semakin hari semakin pendek sehinggalah musim sejuk berakhir. Jangan biarkan aktiviti-aktiviti keduniaan kita seperti bekerja, bermesyuarat, berpersatuan melepak, berbual-bual, jamuan, berjalan-jalan, membeli belah dan lain-lain menyebabkan kita terlalai dalam menunaikan solat dalam waktunya.

Wassalam


Monday, November 05, 2007

Syawal 1428H - 'Fitnah 2 jam'

Beberapa hari lagi Syawal akan meninggalkan kita. Walaupun Allah swt menghukumkan sunat beraya sehari sahaja pada 1 Syawal tapi muslim di Malaysia khususnya beraya sebulan. Biasalah benda seronok ni kalau boleh nak dilakukan sepanjang tahun. Tapi kalau Ramadhan semua nak cepat habis.

Sebagai penutup 'entry' raya tahun ini. Saya nak bercerita tentang 'apa' yang telah berlaku di Oxford. Setelah hampir sebulan sambutan perayaan Ei'dulfitri diadakan saya cuma terkenangkan peristiwa yang saya tajukkan sebagai 'fitnah 2 jam'. Sebenarnya peristiwa ini banyak berlaku di kalangan masyarakat muslim di UK setiap kali tiba masa untuk menentukan tarikh puasa dan raya. Kecoh dengarnya sehinggakan ada yang sampai ke tahap bergaduh, bertumbuk dan sebagainya. Kenapa? Saya pun susah nak menjawabnya. Hanya yang alim sahaja faham dengan situasi ini.

Saya dapat rasakan 'fitnah 2 jam' ini akan berlaku sebenarnya sebulan sebelum Ramadhan lagi. Saya selalu beritahu isteri yang saya dapat rasakan sesuatu perkara buruk akan berlaku, tapi saya tak tahu bila. Samaada dalam waktu terdekat atau lambat lagi. Dia akan cuba menenangkan saya dan bagitau saya tidak ada apa-apa yang akan berlaku. Setiap minggu malah setiap hari apabila saya berbual dengan isteri, saya akan sebut apa firasat yang saya dapat rasakan. Seperti biasa dia akan tenangkan dan positifkan saya. Ditaqdirkan Ilahi pada pagi hari Khamis sehari sebelum hari raya saya telah diberikan 'alamat' yang besar olehNYA. DitaqdirkanNYA juga saya sangat sibuk pada minggu dan hari tersebut. Banyak urusan kerja dan keluarga yang saya terpaksa uruskan. Akhirnya saya tak pedulikan 'petunjuk' Allah swt ini walaupun sangat jelas DIA cuba mengingatkan saya. Akhirnya saya sedar bila fitnah '2 jam' ini berlaku.

Biar saya ceritakan dahulu 'fitnah 2 jam' ini agar pembaca-pembaca lebih faham. Pada hari Khamis sehari sebelum raya saya terpaksa bekerja lebih masa kerana menggantikan 'site manager' saya yang bercuti sakit. Biasanya saya tidak bekerja pada hari Khamis. Pada jam 5 petang saya masuk kerja seperti biasa dan saya akan memastikan telefon tangan saya baterinya cukup sebelum ke tempat kerja. Selepas Ifthar lebih kurang pukul 7 petang saya dihubungi oleh seorang rakan yang akan menguruskan perayaan di Oxford untuk berbincang tentang penetapan 1 Syawal. Saya pun menerangkan kepada beliau pendapat saya setelah saya mendengar penjelasan beliau tentang keadaan masyarakat Islam dan masjid-masjid di Oxford dan UK. Selepas itu saya mendapat SMS dari rakan-rakan yang lain yang memberitahu bahawa MSD London akan beraya hari Jumaat. Sedangkan mengikut pendapat saya kami kena beraya hari sabtu. Maka bermulalah konflik tersebut.

Saya tidak panik kerana saya tahu apa yang saya telah pelajari sebagai guru agama di Malaysia. Untuk kepastian hukum saya terus menelefon rakan saya, juga seorang ustaz yang mahir dalam hukum fekah yang sedang belajar PHD di Scotland untuk berbincang. Akhirnya kami putuskan sah beraya hari Jumaat tapi lebih afdhal sekiranya kami beraya hari Sabtu. Lepas itu saya hubungi rakan yang akan menguruskan perayaan di sini untuk bertanyakan pendapat seorang ustaz di sini yang bagi saya mahir dalam hukum fekah. Dia telah putuskan keputusan yang sama iaitu sah beraya pada hari jumaat tapi lebih afdhal sekiranya kami beraya hari Sabtu. Saya juga diberitahu oleh rakan yang menghubungi pegawai agama di MSD London. Pegawai agama tersebut juga tak dapat nak putuskan untuk kami di Oxford. Keputusan beliau agar MSD dan masyarakat Malaysia Muslim di London untuk beraya hari Jumaat adalah kerana mengikut masjid terbesar dan rasmi di London yang memang mengikut Arab Saudi yang telah memutuskan untuk beraya hari Jumaat. Bagi saya keputusan yang beliau buat baik untuk masyarakat Malaysia Muslim di London. Tapi keadaan di Oxford berbeza, kerana masjid terbesar dan rasmi di Oxford mengikut keputusan Morocco iaitu negara Islam terdekat dengan UK untuk beraya pada hari Sabtu.

Dengan keyakinan yang saya ada terhadap rakan-rakan di sini, selepas berbagai program keagamaan dan kerohanian yang saya telah adakan di Oxford, saya dapat rasakan ramai rakan yang keimanan mereka telah bersedia untuk meninggalkan yang baik untuk mengambil yang terbaik. Maka saya nasihatkan kepada rakan yang akan menguruskan perayaan di sini untuk beraya pada hari Sabtu. Juga berdasarkan kepada faktor bahawa tahun ini permulaan Ramadhan juga adalah sama di antara masjid besar Oxford dan MSD London, jadi tidak menjadi masaalah sekiranya saya nasihatkan untuk beraya pada hari Sabtu. Perlu saya ingatkan di sini bahawa saya hanya penasihat bukan pembuat keputusan. Setelah perbincangan sesama pakar dalam hukum fekah di UK akhirnya saya nasihatkan rakan saya bahawa sah beraya pada hari Jumaat tapi lebih afdhal jika kami beraya pada hari Sabtu. Akhirnya keputusan ditetapkan pada hari Sabtu.

Selepas keputusan ini dibuat. DitaqdirkanNYA telefon bimbit saya habis bateri kerana penggunaan yang maksima. Maka bermula dari pukul 8 malam lebih hinggalah saya habis kerja pada jam 10 malam. 'Fitnah 2 jam' ini berlaku. Saya telah diberitahu oleh rakan-rakan yang rapat apabila saya dapat menghidupkan kembali telefon bimbit saya selepas jam 10 malam. Besar rupanya fitnah yang berlaku. Banyak kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan oleh orang lain tapi dikatakan saya yang menuturkannya dan banyak sifat-sifat mazmumah terserlah dengan kata-kata kesat yang terkeluar dari mulut muslimin dan muslimat pada malam raya tersebut. Nampaknya ini ujian yang sangat besar bagi saya. Kalau dulu orang lain yang putuskan tapi kali ini tanggungjawab saya amat berat. Bagaimana caranya dalam masa yang amat singkat saya nak terangkan kepada masyarakat untuk memilih yang terbaik dan meninggalkan yang baik. Memang sangat sukar.

Oleh kerana saya tidak mampu menjelaskan perkara ini secara terperinci dan tak mampu untuk menerangkan hukum fekah yang ada, maka untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar di kalangan masyarakat yang ada, saya telah putuskan kami beraya pada hari Jumaat. Ini saya dasarkan kepada 2 masjid kecil di sini yang beraya pada hari Jumaat. Ramai yang menghubungi saya dan menyatakan yang mereka faham dan memberikan sokongan, tapi saya rasa lebih baik saya pilih yang sah dan meninggalkan yang afdhal, selagi masih ramai masyarakat belum memahaminya dan selagi tidak terjerumus ke dalam dosa. Keputusan ini saya ambil semata-mata untuk mengelakkan fitnah yang lebih besar berlaku setelah saya diberitahu 'fitnah 2 jam' telah berlaku. Mungkin suatu hari nanti masyarakat akan faham. Disinilah baru saya sedar 'alamat' yang DIA dah bagitau saya sebulan sebelum Ramadhan dan 'alamat besar' pada pagi hari Khamis sehari sebelum raya. Alhamdulillah saya berjaya mengatasinya dan menghalang fitnah yang lebih besar dari terjadi dengan pertolongan dan hidayah dariNYA.

Raya tahun ini merupakan perayaan ketiga saya di Oxford. Saya dengar fitnah begini berlaku sejak dari mula saya datang ke UK. Perayaan dan puasa di kalangan muslim di sini tak pernah sama. Satu puak ikut Arab Saudi dan satu puak lagi ikut Morocco (negara Islam terdekat). Setiap tahun perkara begini berlaku. Saya pun tak tahu bila akan berakhir.

Sejak mula sampai ke Oxford pada tahun 2005, saya boleh buat keputusan ikut ilmu agama yang saya pelajari, tapi sebagai orang baru saya lebih suka mengikut kebiasaan masyarakat yang ada selagi ia tidak bercanggah dengan syara'. Pendek kata selagi tidak haram atau berdosa saya akan ikut walaupun saya tahu mana yang terbaik. Alasannya mudah sahaja, sebab saya nak mengelakkan timbul hura-hara dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang dan tahap pemahaman terhadap Agama Islam. Jadi sebagai orang baru yang belum kenal masyarakat setempat secara mendalam saya ikut sahaja rentak yang ada.

Apabila masyarakat lama yang ada mengatakan yang kita di Oxford setiap tahun mengikut keputusan MSD di London saya ikut sahaja kerana ia sah untuk diikuti dan tidak berdosa mengikut pengetahuan yang saya ada. Saya juga tak berani untuk bersuara lebih kerana bimbang sebarang kemungkinan yang akan timbul disebabkan kejahilan saya dengan tahap keilmuan yang ada di kalangan masyarakat setempat. Ditambah lagi dengan cerita-cerita buruk yang telah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.

Bermula dari 2005 lagi saya tidak mahu memikirkan masaalah tersebut kerana ia sah dan tidak haram untuk mengikut keputusan MSD London. Lalu saya mulakan usaha dakwah Islamiyyah di kalangan masyarakat yang ada. Pelbagai program keagamaan dan kerohanian yang telah saya anjurkan sehingga saya dapat rasakan angin perubahan dari segi keagamaan telah berlaku di Oxford. Mungkin tak banyak perubahannya bagi saya yang dah hampir sepuluh tahun mengajar agama di Malaysia tetapi dah cukup rasanya untuk usaha 2 tahun lebih di sini. Lagipun masih sedikit apa yang saya lakukan. Astaghfirullah hal a'dzim. Berikanlah kami hidayahMU. Yang baik itu adalah dari hidayah Allah swt dan yang buruk itu saya mohon ampun dariNYA. Amin.

SAYA MENYERU DIRI SAYA DAN RAKAN-RAKAN UNTUK SAMA-SAMA MENDALAMI AGAMA ISLAM. AGAR KITA LEBIH FAHAM DAN SENTIASA MENJALANI KEHIDUPAN DI ATAS LANDASAN RABBUL JALIL. TUHAN YANG MENGUASAI SEGALANYA.