Tuesday, May 28, 2013

BAHTERA SARINAHABIB TELAH 14 TAHUN BERLAYAR

Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan buat Ilahi di atas nikmat kurnianNYA yang amat tinggi nilai dan harganya kepada kami sekeluarga. Ya Rabbul Jalil ! Semoga dipanjangkan usia dan jodoh kami dalam barakah dan rahmahMU. Ameen.

Bagi sambutan yang ke 14 tahun ini, kami memilih untuk menyambutnya bersama keluarga di Rumbia Resort Villa, Paka Terengganu. Kami sepakat memilih hidangan 'steamboat' untuk jamuan kali ini.

       ENJOY THE MEMORIES - 25/05/13     


TERIMA KASIH SAYANG !!!
KERANA MELENGKAPKAN HIDUP ABANG
KERANA MENERIMA DAN MENYAYANGI ABANG
KERANA BERSABAR DENGAN SEMUA KERENAH ABANG
KERANA MELAHIRKAN 3 ORANG ZURIAT UNTUK ABANG
KERANA MENJADI ISTERI YANG SOLEHAH UNTUK ABANG

Wednesday, May 15, 2013

RM 1000.00 SAHAJA

Kali ini saya nak berkongsi dengan pembaca tentang telefon bimbit terbaru saya. Hahaha !

Saya bukanlah seorang yang akan berbelanja besar untuk telefon bimbit. Bajet saya untuk telefon hanya RM 1000.00 ke bawah sahaja.

Namun saya seorang yang kerap bertukar telefon. Biasanya setahun sekali saya akan 'trade in' telefon lama dan membeli telefon baru yang kosnya serendah RM 1000.00 ke bawah sahaja.

Disebabkan tabiat saya yang tidak setia dengan telefon, maka saya merendahkan bajet saya untuk setiap telefon yang akan saya miliki.

Setakat hari ini, mereka yang membeli telefon lama saya pasti beruntung kerana biasanya telefon yang saya jual masih dalam keadaan baik 'like new' walaupun telah digunakan selama setahun.

SAMSUNG GALAXY TAB 2 7" (RM 1299.00)

Pada bulan januari 2013 saya telah membeli Samsung Galaxy Tab 2 7" dengan harga pada waktu itu ialah RM 1299.00. Setelah saya 'trade in' telefon bimbit lama saya, saya kena tambah duit sebanyak RM 940.00 untuk mendapat Tab 2 7" yang lengkap dengan 'screen protector' dan 'book case'.




SAMSUNG YANG TERMURAH DI PASARAN (RM 60.00)

Pada bulan mei 2013 pula, saya telah membeli Samsung yang termurah di pasaran hanya dengan harga RM 60.00 sahaja.

Kini saya menggunakan dua telefon bimbit. Tab saya khususkan untuk penggunaan internet, al-Quran, 'game' dan buku catatan saya untuk setiap mesyuarat yang saya hadiri.

Manakala yang lagi satu, saya hanya gunakan untuk membuat dan menjawab panggilan, urusan penghantaran dan penerimaan mesej dan 'alarm clock'. Hahaha !

RM 940.00 + RM 60.00 = RM 1000.00 MURAHKAN !!!

Monday, May 13, 2013

PRU 13 : PEMBENTUKAN KERAJAAN 'BARU'

PRU 13 telah seminggu berlalu, semua sudah mengetahui keputusannya. Alhamdulillah semuanya telah berlalu tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. BN sekali lagi berjaya membentuk kerajaan.

Pada PRU 12 BN berjaya memperolehi 140 kerusi Parlimen, namun bagi PRU 13 BN hanya memenangi 133 kerusi Parlimen. Majoriti BN merosot dan gagal memperolehi keputusan majoriti 2/3. BN juga gagal memenangi undi popular kali ini. Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah PRU negara.

Nampaknya sekali lagi negara kita akan membentuk sebuah kerajaan yang agak lemah. Diharap PM dan BN akan menggunakan segala kelebihan dan apa sahaja kepakaran yang ada untuk membentuk satu kerajaan yang kuat dan efisien untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sekali lagi dalam sejarah PRU di negara kita pihak pembangkang tidak boleh menerima keputusan PRU yang tidak memihak kepada mereka. Sekarang mereka sedang mengadakan 'road show' ke seluruh negara bagi menerangkan kepada umum tentang ketidakadilan dan penipuan dalam PRU 13.

Setelah keputusan rasmi PRU 13 diwartakan, maka PR akan menghantar petisyen untuk membantah keputusan di beberapa kerusi Parlimen yang dimenangi oleh BN. Harapan rakyat agar PR boleh membuat bantahan secara rasmi tanpa menimbulkan kekacauan dan biarlah mahkamah yang membuat keputusan yang seterusnya.

PM dan BN pula sedang sibuk membuat perancangan untuk membentuk kabinet baru. Pastinya PM akan memberikan kelainan dalam barisan kabinet baru beliau. Rakyat sudah pasti mengharapkan barisan kabinet yang berwibawa, telus, adil, tiada korupsi, tiada rasuah dan kronisme.

Rakyat telah memberikan petunjuk yang besar dalam PRU 13 bahawa majoriti mereka mahukan perubahan yang besar dalam sistem pentadbiran negara pada kali ini. Mereka mengharapkan program-program tarnsformasi kerajaan akan bersifat lebih baik dan lebih menyeluruh mengikut kehendak dan kebajikan rakyat.

Janji-janji yang telah ditaburkan oleh BN, pastinya akan dipenuhi dalam tempoh 5 tahun ini. Jika BN gagal melakukan seperti yang dijanjikan, pasti rakyat akan kecewa dan berubah hati. Ini kesan yang tidak baik untuk kerajaan BN.

Mungkin tidak menjadi kesalahan bagi BN sekiranya mereka cuba merealisasikan beberapa janji yang terkandung dalam manifesto PR. Kerana di dalam kedua-dua manifesto BN dan PR pasti ada yang baik untuk rakyat. Aspirasi, kepentingan dan kehendak rakyat ada di dalam kedua-dua manifesto tersebut. Fikirkanlah.

Bila kabinet baru telah berjaya dibentuk oleh PM, maka saya mengharapkan agar PR boleh menjadi pengimbang kepada semua dasar pentadbiran kerajaan. PR hendaklah menjadi pembangkang yang kuat dan terbaik yang pernah ada dalam sejarah negara kita.

Sekiranya kerajaan dan pembangkang berjaya memainkan peranan terbaik mereka, sudah pasti rakyat akan terbela dan banyak manfaat akan diperolehi oleh rakyat serta kehidupan rakyat akan bertambah makmur dan sejahtera.

Sebelum dan selepas PRU 13 saya cuma mengharapkan suatu perubahan besar berlaku dalam sistem pemerintahan negara. Saya inginkan sebuah negara yang lebih islamik, aman dan makmur, telus, tiada unsur rasuah, tiada korupsi, tiada kronisme dan sebuah kerajaan yang sentiasa menjaga dan mendahulukan kebajikan rakyat dalam segenap aspek.

Melalui PRU 12 dan 13, saya melihat rakyat makin berkuasa dalam menentukan pemerintahan negara. Rakyat makin celik dan sedar tentang hak-hak dan kebajikan mereka. Rakyat makin ghairah menunjukkan kuasa mereka. Kini kerajaan dan pembangkang perlu mengikut rentak rakyat. Semakin hari kita boleh melihat yang rakyat semakin menang dalam perjuangan mereka. Syabas Rakyat Malaysia !

Saturday, May 04, 2013

PRU 13 : PENENTU MASA DEPAN RAKYAT DAN NEGARA

Dalam perjalanan hidup saya, saya tidak pernah melihat PRU sehebat kali ini. Saya yakin yang masyarakat di luar sana juga sependapat dengan saya. PRU 13 akan mengubah banyak perkara di Malaysia. Saya menanti tarikh 5 Mei 2013 dengan penuh debaran.

Tinggal sehari lagi untuk berkempen. Apabila bermulanya penamaan calon kita boleh melihat prestasi parti-parti dan calon-calon yang berkempen. Jika dilihat kepada semua bentuk dan strategi kempen mereka semuanya banyak tertumpu kepada kebajikan dan kehendak rakyat.

Bila keadaan politik kurang stabil selepas PRU 12 yang lalu, apabila Barisan Nasional sebagai parti pemerintah dinafikan majoriti 2/3 di Parlimen, barulah semua rakyat dapat melihat kuasa politik dan kuasa pemerintahan kembali kepada mereka. Inilah yang dikatakan sistem demokrasi. Kuasa pemerintahan ditentukan oleh rakyat.

Transformasi dan slogan parti pemerintah iaitu 'rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan' bagi saya memberi kesan yang agak besar kepada majoriti rakyat. Program-program transformasi yang disusun oleh kerajaan berjaya menambat hati kebanyakan rakyat. Syabas PM !

Di pihak pembangkang pula, mereka mencuba dengan sebaik mungkin untuk membuktikan kepada rakyat di semua negeri yang diperintah oleh mereka bahawa mereka boleh membentuk kerajaan yang lebih baik, lebih telus dan lebih adil daripada kerajaan yang ada sekarang.

Inilah yang saya maksudkan dengan kuasa kembali kepada rakyat. Apabila semua parti yang bertanding hanya memikirkan kebajikan, kepentingan dan kehendak rakyat, maka di situlah menunjukkan dan membuktikan kepada seluruh rakyat yang merekalah yang berkuasa melantik pemerintah.

Sekarang kita boleh melihat semua parti, pemimpin dan ahli politik daripada mereka yang berada di kedudukan yang tertinggi sehinggalah mereka yang berada di kedudukan paling bawah, setiap hari dalam kempen mereka merayu-rayu rakyat agar mengundi mereka dan menaburkan banyak janji manis untuk kebaikan rakyat.

Saya harap semua orang boleh meilhat kebaikan dan kelebihan dalam situasi begini. Saya melihat banyak kebaikan untuk rakyat dalam PRU 13 ini. Semua bangsa yang ada di negara kita boleh mengambil peluang terbaik ini untuk kepentingan bangsa masing-masing dan untuk menaiktaraf kehidupan masing-masing.

Saya melihat mood pengundi  muda berumur 40 tahun ke bawah sangat berbeza dengan mood pengundi yang berumur 40 tahun ke atas. Saya amat memahami kehendak mereka kerana saya berada di umur 40 tahun. Saya dapat melihat keinginan mereka di kedua-dua peringkat umur. 

Majoriti mereka yang berumur 40 tahun ke atas sudah pasti dengan undi mereka, mereka telah lama mengundi parti yang sama setiap kali pilihanraya. Namun majoriti pengundi yang berumur 40 tahun ke bawah masih tidak pasti dengan pilihan mereka. Mereka masih keliru dan dalam masa yang sama mereka menilai dengan meneliti semua perkara.

Apa yang saya nampak mereka yang berumur 40 tahun ke bawah sedang memilih dan mencongak sesuatu yang terbaik untuk masa depan mereka dan arah tuju negara dalam bentuk yang mereka impikan. Mereka mahukan satu sistem yang lebih telus dan lebih adil dalam semua aspek. Mereka mahukan perubahan besar berlaku dalam sistem pemerintahan negara tidak kiralah siapa yang memerintah.

Parti politk mana yang mereka yakin dan percaya untuk melakukan perubahan besar ini saya masih tidak pasti. Mereka sedang mengkaji setiap perubahan dan strategi yang telah diambil oleh pemerintah dan pembangkang. Apa yang saya sangat pasti ialah mereka berani untuk membuat perubahan, mereka berani untuk berdepan dengan cabaran dan mereka berani untuk mengambil apa sahaja risiko yang datang bersama pilihan mereka.

Sehingga hari ini yang berbaki sehari lagi untuk rakyat keluar mengundi, semua parti politik telah membentangkan manifesto dan janji-janji mereka kepada rakyat pengundi. Kedua-dua parti terbesar yang akan bertanding juga telah melakukan apa sahaja yang terbaik untuk rakyat di negeri yang mereka kuasai dan cuba sebaik mungkin menunjukkan kepada seluruh rakyat kebaikan dan keikhlasan mereka untuk berbakti kepada rakyat.

Esok tibalah masanya rakyat menghakimi dan membuat keputusan ke atas semua parti politik yang bertanding, siapa yang layak memerintah kita dan memimpin negara kita akan ditentukan. Tugas rakyat bukan ringan dan bukan senang. Rakyat hendaklah memilih parti dan calon yang benar-benar ikhlas untuk menjaga rakyat dan negara. Pilihan yang tepat akan memberi banyak manfaat kepada rakyat.

Apa yang saya pasti sebagai seorang muslim, setiap undi akan disoal di hadapan Allah swt, setiap undi akan menentukan saf kepimpinan yang terbaik untuk memimpin negara, setiap undi yang diberikan akan menentukan kehidupan rakyat yang lebih selesa atau lebih teruk dan setiap undi amat bermakna sebagai penentu untuk semua aspek kehidupan rakyat sehingga ke generasi seterusnya.

Semoga pada 6 Mei 2013 nanti negara kita akan dipimpin oleh parti dan pemimpin yang diredhai Ilahi. Tiada kejadian yang tidak diingini berlaku dalam negara yang kita sayangi ini. Semua pihak boleh mengawal diri dan emosi. Semua pihak boleh menerima KETENTUAN DAN PILIHAN RABBUL JALIL.

SAYA YAKIN SEPENUH HATI DENGAN KAJIAN YANG SAYA LAKUKAN SERTA DENGAN MELIHAT SITUASI YANG ADA MASAKINI

PARTI MANA PUN YANG AKAN MENANG SAYA PASTI KEHENDAK DAN KEBAJIKAN RAKYAT AKAN DIUTAMAKAN

KEMBALIKAN SEMUA HAK RAKYAT KEPADA RAKYAT. RAKYATLAH PENENTU MASA DEPAN NEGARA

SELAMAT MENGUNDI UNTUK PRU 13. PILIHAN YANG BIJAK DAN MATANG AKAN MENDAPAT REDHA DAN BARAKAH ILAHI !!!