Ramadhan kali ini keluarga saya telah bertambah seorang lagi. Haadin Solihin yang telah masuk bulan keempat kelahirannya. Saya harap dia akan mengikut jejak langkah abangnya Hafiy Syafiqy dan kakaknya Hannan Sofea yang berjaya berpuasa sebulan penuh bermula dari darjah satu lagi.
1 Ramadhan saya bermula dari waktu maghrib semalam. Selepas solat maghrib berjemaah saya mulalah seterika jubah putih saya dan saya mandi sekali lagi untuk menyegarkan badan. Selepas itu saya bersiap dengan memakai jubah putih dan kopiah putih serta mengenakan sedikit minyak attar yang agak eksklusif yang saya beli khas semasa menunaikan haji di Mekah.
Bila tiba waktu isyak saya terus ke Surau Al-Hidayah dengan Hafiy sahaja kerana mama dan Hannan terpaksa solat berjemaah berdua sahaja di rumah kerana menjaga Haadin. Mama dah lantik Hannan jadi bilal ketika mereka berterawih di rumah. Alhamdulillah Hannan mampu melakukannya.
Di surau saya telah mengimamkan hampir 100 orang makmum. Alhamdulillah saya masih mampu dan masih bertenaga untuk imamkan solat 23 rakaat selepas kepenatan bekerja di pejabat seharian.
Sebelum, semasa dan selepas mengimamkan terawih dan witir semalam tiba-tiba saya didatangi satu perasaan yang berbeza. Saya dapat merasakan kehadiran Ramadhan al-Mubarak. Saya dapat rasakan RahmahNya dan MaghfirahNya. Tiba-tiba saya rasa tenang, gembira dan suci jiwa. Astaghfirullahal Adzim.
Saya amat berharap Ramadhan kali ini akan merahmati saya sekeluarga dan Ramadhan kali ini juga akan menyucikan jiwa saya yang kotor dan membersihkan semua dosa yang tertulis dalam buku amalan saya.
Semoga kedatangan Ramadhan kepada saya sekeluarga akan menjadi satu madrasah yang akan mengajar kami erti kehidupan yang lebih soleh dan merapatkan lagi kami kepada Yang Maha Esa dengan segala ibadah wajib dan sunat serta menjadikan kami sekeluarga hambaNya yang sentiasa meletakkan Islam sebagai keutamaan dalam setiap pemikiran, perkataan dan perbuatan. Amin.