Tuesday, January 24, 2012

AWAL TAHUN 2012

Sesi persekolahan yang baru sudah menghampiri bulan kedua 2012. Banyak perkara yang telah saya lalui selama 3 minggu yang lalu.

Saya lalui sesi awal persekolahan dengan perasaan yang pelbagai. Susahnya untuk saya menetapkan sesuatu. Semuanya nampak tersusun namun bercelaru disebabkan situasi saya yang tidak menentu.

Ramai yang bertanya untuk kepastian. Soalan yang paling popular ialah "Ustaz nak pindah ke?", "Ustaz jadi pindah tak?", Ustaz nak pindah ke mana ?", Kenapa ustaz nak pindah?".

Ramai pelajar yang merayu agar saya tidak berpindah serta ramai juga guru yang mengucapkan tahniah kepada saya. Terima kasih atas keperihatinan semua pihak.


Banyaknya soalan yang sukar dijawab. Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, saya hanya mampu berkata "Saya masih belum menerima surat Kementerian Pelajaran Malaysia".

Kini apa yang pasti ialah surat saya telah diposkan dari Bahagian Sumber Manusia KPM ke sekolah pada minggu lepas namun sehingga saat saya menulis entry ini saya masih belum menerima surat tersebut.

Saya tidak pasti tentang prosedur penghantaran surat ini. Jadi, saya teruskan menanti, insyaAllah menanti sesuatu yang pasti.

Pihak pengurusan sekolah telah pun membuat beberapa perubahan yang melibatkan kedudukan dan tugasan saya di sekolah. Nampaknya sekolah saya telah bersedia dengan ketiadaan saya. Alhamdulillah.

Situasi terkini. Alhamdulillah saya melihat perkembangan keseluruhan sekolah ini semakin baik. Disiplin dan sahsiah pelajar-pelajarnya pun berada dalam keadaan yang baik.

Barisan kepimpinan pelajarnya juga telah saya susun dan latih dengan baik. Terkini mereka berjaya tampil dengan yakin dan bergaya serta berjaya melakukan tugasan yang diamanahkan dengan baik sekali. Semoga kecemerlangan berterusan.

Secara keseluruhannya sekolah ini telah berjaya dalam banyak aspek. Tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya sebagai ketua guru disiplin dan guru agama oleh Allah swt melalui Dato' Pengarah dan Datin Pengetua nampaknya telah selesai dalam tempoh 2 tahun setengah saya di sini.

Jika diizinkanNYA dan ada rezeki saya, tibalah masa untuk saya berkhidmat di tempat lain pula . Mohon DIA merestui saya dan mempermudahkan segala urusan yang berkaitan.

Namun Qadha' dan Qadar bukan di tangan saya. Hanya usaha, doa dan tawakkal yang mampu saya lakukan......