Thursday, October 27, 2011

FACEBOOK EPISOD 1

Setiap hari pelajar berdepan dengan facebook. Tak bosan ke? Apa yang mereka buat dengan facebook?

Di awal facebook diperkenalkan, saya awal awal dah sign in. Tapi pada waktu itu facebook tak maju lagi di kalangan masyarakat.

Pada pertengahan tahun 2010 baru saya mula aktif. Ketika itu saya sudah setahun berada di Putrajaya.

Saya melihat pelajar-pelajar saya sangat aktif dengan facebook. Jadi saya mahu bersama mereka dalam dunia mereka.

Ini antara strategi saya sebagai Ketua Guru Disiplin dalam usaha memulihkan sahsiah dan disiplin pelajar. Iaitu bersama mereka selama 24 jam dalam 7 hari seminggu.

Bila saya dapati mereka kerap online dan berkongsi banyak perkara di facebook, akhirnya saya berjaya menguasai dunia mereka apabila saya lebih memahami mereka.

Alhamdulillah pelajar gembira dengan cara saya dan mereka lebih rapat dengan saya. Saya juga gembira dengan perkembangan mereka yang semakin hari semakin baik.

Apabila saya memahami mereka dan mengetahui hampir semua aktiviti mereka di dalam dan di luar sekolah, maka mudah untuk saya berdepan dengan mereka.

Saya juga sentiasa berfikir bagaimana untuk membawa mereka ke jalan yang positif melalui facebook. Bukan negatif seperti banyak yang berlaku di facebook pelajar.

Saya dapati apabila pelajar melihat saya ada bersama mereka di alam cyber ini, mereka lebih berhati hati dalam melakukan sebarang aktiviti melalui facebook.

Namun mereka tidaklah takut dengan facebook saya atau apabila melihat saya online kerana saya faham situasi mereka dan saya bukanlah guru yang cepat melatah.

Setelah setahun saya bersama dan mengkaji pergerakan mereka di facebook, akhirnya saya mulakan strategi baru saya untuk mereka.

Pertama, saya membuka Group Ustaz Habib yang terdiri daripada pelajar-pelajar yang rapat dan dah lama bekerja dengan saya.

Dari sini saya tubuhkan pula Group Naqib dan Naqibah bersama sama dengan pengawas pengawas yang saya pilih untuk menjadi AJK Indahnya Iman.

Group ini berjaya dan meriah serta mendapat perhatian yang istimewa dan dicemburui oleh semua pihak dan ramai yang berminat untuk bekerjasama dengan saya.

Dengan sambutan yang ada saya terus maju ke hadapan dengan membuka satu group yang lebih besar iaitu group Indahnya Iman.

Akhirnya group ini berjaya mengumpul lebih daripada separuh jumlah pelajar yang ada di sekolah saya. Ini satu kejayaan yang amat cemerlang bagi saya.

Pelajar pelajar berani berada di dalam group saya walaupun dikendalikan oleh Ketua Guru Disiplin sekolah, maknanya majoriti mereka menerima cara saya.

Selepas itu saya membuka pula facebook untuk pengawas. Tujuannya untuk mengumpulkan barisan kepimpinan pelajar dalam satu group.

Terkini saya gabungkan dua group kepimpinan pelajar iaitu Group Naqib Naqibah dan Group Pengawas. Kini mereka telah bersatu dalam satu group.

Sekarang saya tengah berfikir untuk strategi yang seterusnya, semuanya dalam perancangan dan akan diaplikasikan bila sampai masanya.

Sudah ada pelajar yang bertanya : "Selepas Naqib Naqibah dan Indahnya Iman apa lagi yang ustaz nak cipta". Saya cuma menjawab : "Tunggu je, pasti ada sesuatu nanti....".

Bersambung di FACEBOOK EPISOD 2....