Wednesday, May 18, 2011

SELAMAT HARI GURU 2

Sekadar berkongsi pengalaman dengan murid....

Di setiap zaman persekolahan saya, mesti ada guru yang paling rapat dengan saya dan saya ingat dan kenang mereka hingga kini.

Kalau di sekolah rendah saya paling rapat dengan seorang ustaz dan saya sentiasa bersama beliau dalam semua aktiviti keagamaan dan beliau sentiasa mencadangkan nama saya jika diperlukan oleh pihak sekolah.

Di sekolah menengah (menengah rendah) saya sentiasa mendengar ajaran dan nasihat dari guru disiplin dan beliau adalah guru agama yang tegas dan penyayang. Banyak ajarannya yang saya ikut sampai sekarang.

Sewaktu di menengah atas saya rapat dan minat pada seorang ustazah. Alhamdulillah setiap kali peperiksaan subjek beliau, saya akan mendapat markah yang tertinggi bagi seluruh tingkatan.

Di sekolah menengah ini juga saya amat rapat dengan seorang guru BM, sehingga ramai yang mengatakan yang beliau seperti bapa saya. Beliau banyak memberi pengalaman hidup kepada saya yang tidak diajar di dalam kelas.

Hatta, beliau pernah meminta saya mewakili beliau dalam suatu mesyuarat guru peringkat Daerah Kota Bharu. Tinggi kepercayaan beliau pada saya.

Sehinggalah saya pernah dianugerahkan pangkat dalam ko kurikulum dengan pangkat yang tidak pernah diberi kepada mana-mana pelajar sekolah di Kelantan.

Kerana beliaulah saya menjadi ketua bagi perbarisan kawad kaki seluruh daerah di Negeri Kelantan dan pemeriksaan perbarisan telah disempurnakan oleh Sultan Kelantan.

Saya juga pelajar terbaik dalam subjek beliau, Walaupun saya jarang berada di dalam kelas kerana banyak membantu beliau di luar kelas.

Di Matrikulasi, saya amat rapat dengan seorang pensyarah kesusasteraan arab. Dia selalu bersembang dengan saya dan meminta pertolongan saya. Bagi subjek yang diajar oleh beliau saya pasti dapat A dalam setiap peperiksaan.

Di universiti pula saya rapat dengan pensyarah bahasa arab saya, selalu berbual dan bertukar pendapat dengan beliau dan bertanya apa yang saya perlu. Alhamdulillah setiap kali peperiksaan saya dapat A.

Di peringkat sarjana (master), lagi sekali saya bersama dengan pensyarah bahasa arab yang juga merupakan penyelia saya. Saya amat menghormati beliau kerana kerendahan diri dan kehebatan bahasa arabnya. Semua peperiksaan yang melibatkan subjek beliau saya dapat A.


Pengajaran dari kisah saya ini kepada murid-murid saya :

Pastikan anda sentiasa menghormati setiap guru anda

Sentiasa bermanis muka dan memberi salam pada guru

Pastikan anda menyanjungi setiap guru anda

Pastikan anda menyayangi guru anda

Pastikan guru anda menyayangi anda

Sentiasa berfikiran positif pada guru

Ambil dan amalkan nasihat guru sebagai panduan hidup

Rapatkan diri dengan guru untuk keredhaan dan keberkatan belajar

Ringankan tulang anda untuk membantu guru samaada diminta atau tidak diminta

Lihatlah guru anda sebagai penasihat, ibu bapa dan teman setia anda.

IBU BAPA DI RUMAH DAN IBU BAPA (GURU) DI SEKOLAH MEREKALAH PUNCA KEBERKATAN DAN KEJAYAAN HIDUP SEORANG ANAK