JULAI 2014
Tarikh di atas adalah tarikh keramat dan penting dalam hidup saya sebagai pegawai kerajaan. Dari tarikh inilah bermulanya perjalanan sebenar dan lebih mencabar bagi karier dan kehidupan saya sebagai seorang pegawai kerajaan di KPM.
Pada bulan Februari 2012 saya telah dipilih oleh pihak pengurusan BPSH, KPM untuk menjadi seorang penolong pengarah di Unit Adu Disiplin, BPSH, KPM. Bulan inilah bermulanya kerjaya saya di BPSH, setelah sepuluh tahun saya berkhidmat di sekolah.
Melihat kembali perjalanan karier saya yang bermula pada bulan Julai 1998 hingga bulan April 2005 kemudian saya terpaksa bercuti tanpa gaji pada bulan Mei 2005 hingga bulan Ogos 2008 dan kembali ke sekolah pada bulan September 2008 hingga bulan Januari 2012.
Setelah 2 tahun 4 bulan saya sebagai penolong pengarah di BPSH, kini saya memikul tanggungjawab yang lebih besar iaitu sebagai Ketua Unit di BPSH, KPM. Tugas yang berat dan amanah yang lebih besar di atas bahu saya setiap hari.
Di bawah pentadbiran saya ada seorang penolong pengarah dan 2 orang kerani di BPSH, 16 orang pegawai penyelaras aduan dan 16 orang pegawai disiplin di JPN serta mengawal 140 PPD bagi kes-kes aduan awam dan pelaporan disiplin murid di seluruh negara.
Berada di dalam situasi ini ada harga yang tinggi yang perlu saya bayar. Masa untuk diri sendiri semakin hilang, masa bersama keluarga semakin berkurang dan masa untuk masyarakat kejiranan semakin minima. Sebahagian besar masa diperuntukkan untuk negara melalui KPM.
Apabila ketua keluarga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar dalam masyarakat maka pengorbanan yang besar juga diperlukan daripada semua ahli keluarga. Setakat ini kami semua berjaya menguruskannya dengan baik terutama di peringkat awal saya di KPM.
Saya akan buat yang terbaik dengan amanah Allah swt ini dan sekiranya saya menemui jalan buntu atau berasakan yang saya sudah tidak mampu di sini maka saya akan kembali bertugas di sekolah. Alhamdulillah setakat ini seolah-olah nampak ada sinar di hadapan. Hanya Tuhan sahaja yang tahu.