Monday, September 24, 2012

USTAZ, TUAN HAJI, ENCIK DAN HABIB

Masyarakat, jemaah surau, rakan sekerja dan kawan kini keliru dengan gelaran atau panggilan untuk saya. Saya sebenarnya tak kisah mana satu panggilan yang mereka hendak pilih dan gunakan bila berkomunikasi dengan saya.

Mungkin bagi ramai masyarakat mereka menganggap panggilan Ustaz adalah panggilan yang terbaik untuk saya kerana saya seorang yang berpendidikan agama. Namun anggapan itu tidak bagi saya.

Kerana saya merasakan panggilan Ustaz ini terlalu istimewa dan terlalu tinggi untuk insan seperti saya. Saya bukanlah seorang yang hebat dalam bidang agama.

Saya hanya guru agama bagi beberapa buah sekolah menengah yang saya pernah bertugas dan hanya terlibat dengan program keagamaan di peringkat rendah sahaja.

Namun saya selesa jika yang memanggil saya Ustaz ialah mereka yang pernah belajar dengan saya samaada di sekolah ataupun di surau.

Namun di kalangan rakan sekerja saya lebih selesa di panggil Haji daripada Ustaz kerana saya tak rasa yang saya layak untuk dipanggil Ustaz. lagipun saya kini bertugas di Sektor Pengurusan Kaunseling dan Disiplin BPSH bukanya di BPI.

Dalam majlis rasmi atau dalam urusan rasmi saya mohon mereka yang menggunakan khidmat saya tidak menggunakan Ustaz tapi menggunakan Haji, rasanya lebih molek digunakan Haji kerana saya sudah tidak mengajar agama dan gelaran Ustaz itu terlalu tinggi untuk orang sekerdil saya.

Bagi mereka yang tidak mengenali saya bolehlah menggunakan Encik bila berurusan dengan saya. Untuk rakan-rakan terutama rakan yang lebih senior saya tak kisah jika mereka hanya memanggil saya Habib, Bib atau Bi sahaja.

Akhirnya, setelah 8 bulan saya meninggalkan tugasan ustaz yang mengajar agama di sekolah, saya dah tak kisah apa yang mereka di sekeliling saya nak panggil. Panggillah dengan panggilan yang anda suka dan yang anda selesa :)