SELAMAT TINGGAL HONDA ACCORD
( JANUARI 2009 - MAC 2012 )
SELAMAT DATANG MITSUBISHI PAJERO SPORT
( MAC 2012 - KINI )
SEJARAH MITSUBISHI PAJERO SPORT GL
Saya seorang lelaki yang tidak pernah setia dengan sesebuah kereta. Sesiapa yang mengenali saya mereka tahu yang saya memang kerap bertukar kereta. Dari tahun 1999 hingga sekarang saya telah dan pernah memiliki 8 buah kereta dengan pelbagai jenama.
Setelah 3 tahun bersama Honda Accord saya telah mempunyai alasan yang kukuh untuk menukar kereta sekali lagi. Dengan pertambahan anak, maka saya berbincang dengan isteri untuk mencari kereta yang mempunyai 7 tempat duduk.
ALHAMDULILLAH SAYA MEMPUNYAI SEORANG ISTERI YANG SENTIASA MENYOKONG DAN MEMAHAMI MINAT SAYA ;) TERIMA KASIH SAYANG ;)
Saya memang tidak berminat dengan kenderaan jenis van atau kenderaan yang seakan-akan van. Saya mencari kenderaan yang sesuai untuk keluarga tetapi yang mempunyai ciri-ciri 'macho', 'jantan' dan 'ganas'.
Maka pencarian saya bermula dengan 4X4 Toyota Fortuner dan kenderaan yang sewaktu dengannya. Apabila saya melihat kepada kenderaan yang baru di bilik pameran, semuanya berharga sekitar RM 170,000.00. Sedangkan kemampuan saya hanya RM 150,000.00 ke bawah.
Saya teruskan pencarian dengan melihat Toyota Fortuner 'secondhand' yang berharga sekitar RM 130,000.00 yang berumur 3 tahun. Dengan harga yang masih tinggi kebanyakan kereta ini agak lasak, maka keadaan kenderaan yang saya lihat agak 'uzur'.
Maka saya memutuskan untuk tidak membelinya kerana dengan harga RM 130,000.00 saya tidak dapat memiliki Toyota Fortuner yang masih dalam keadaan baik. Akhirnya saya meneruskan pencarian kepada model-model lain pula.
Dalam pemikiran saya memang tidak ada kereta 4X4 7 tempat duduk yang berharga RM 150,000.00 ke bawah. Melalui internet saya secara tidak sengaja terlihat Mitsubishi Pajero Sport. Dalam pemikiran saya 4X4 ini harganya tidak kurang daripada RM 160,000.00.
Namun apabila saya membaca semua tentang 4X4 ini, rupa-rupanya ada versi 4X2 yang berharga RM 150,000.00. Toyota Fortuner tidak menyediakan versi 4X2. Maka harganya kekal RM 170,000.00.
Akhirnya saya putuskan untuk menjual Honda Accord yang berumur 3 tahun kepada Mitsubishi dengan harga RM 102,000.00. Saya telah ditawarkan Mitsubishi Pajero Sport GL 4X2 dengan harga hanya RM 140,000.00. Saya mendapat diskaun RM 10,000.00 kerana kereta ini dibuat pada bulan 12 tahun 2011 dan didaftarkan di JPJ pada 15 Mac 2012.
Kos saya untuk kenderaan ini hanyalah sekitar RM 38,000.00 lengkap dengan kerusi kulit, cermin gelap, 'spoiler' belakang dan bawah serta 'door visor'. Saya juga memiliki NCD sebanyak 55%. Maka kos keseluruhan Mitsubishi Pajero Sport GL 4X2 berwarna perak ini hanyalah RM 140,000.00. Murahkan?