Apabila saya masuk ke Putrajaya saya melihat potensi keseluruhan tempat ini dapat memberi kelebihan yang banyak kepada saya untuk berkarya. Selepas setahun di sini memang banyak kejayaan yang saya raih.
Selepas dianugerahkan dengan anugerah pengurusan disiplin sekolah peringkat Putrajaya dan beberapa anugerah dan pengiktirafan lain di dalam dan di luar sekolah, juga 2 kali diri saya keluar di media perdana saya mula melihat sesuatu yang lebih besar dan hebat.
Berdasarkan pendapat dari beberapa orang pentadbir dan guru serta pelajar, hasil kerja saya dengan dibantu oleh beberapa orang guru dan pelajar telah berjaya membawa banyak perubahan positif di sekolah ini.
Kini sudah 2 tahun lebih saya terlibat dengan program disiplin di peringkat sekolah dan peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya dan saya telah menyampaikan banyak ceramah motivasi Islam di sekolah sekolah Putrajaya.
Jadi, saya merancang sesuatu yang lebih besar sekarang. Saya berangan-angan untuk menjadikan sekolah saya sebagai model untuk pemulihan disiplin dan sahsiah pelajar. Bagaimana?
Pada permulaan 2011 saya melihat segala perancangan saya telah berjaya. Saya telah berjaya membentuk satu kumpulan yang terdiri daripada beberapa orang pelajar yang saya latih dengan pelbagai cara dan kaedah.
Di kalangan mereka ada yang cemerlang dan ada yang tidak. Saya melihat mereka sebagai individu yang belum lengkap untuk memikul tugas yang besar. Namun mereka dipilih berdasarkan beberapa kriteria mengikut pengalaman dan kemahiran serta ilmu agama dan psikologi yang saya ada.
Mereka juga keliru kenapa mereka yang dipilih. Sukar untuk menjawab soalan mereka kerana hasilnya belum nampak sepenuhnya. Walaupun kejayaan telah banyak diraih namun kejayaan yang sebenar belum dicapai. Ada 5 prinsip yang saya tetapkan telah gagal dipenuhi.
Syukur alhamdulillah. Banyak pengiktirafan yang telah diberi kepada saya dan kumpulan saya pada tahun ini di dalam dan di luar sekolah. . Maka saya mengimpikan kejayaan yang lebih besar di dalam ruang lingkup yang lebih besar.
Terkini, segala strategi yang saya susun dan jalankan dari awal telah berjaya digagalkan oleh beberapa individu, beberapa keadaan dan beberapa perkara. Mungkin ia berpunca dari saya sendiri, kumpulan saya, musuh saya, kawan saya dan beberapa faktor luaran lain.
Astaghfirullah Hal 'Azim. Perjalanan perancangan saya nampak mudah di awalnya walaupun ada gelora yang melanda, tetapi ia semakin mencabar dan semakin susah sekarang ini apabila saya tewas di pertengahannya dengan gelora yang lebih besar.
Kini saya sedang membetulkan apa yang silap dan membaiki kelemahan yang ada. Saya telah menggantung seketika segala strategi saya bagi memberi laluan kepada saya dan orang lain bermuhasabah diri. Semoga keadaan akan menjadi lebih baik selepas ini.
Saya memang serius dalam perancangan saya dan bukan senang untuk berkerjasama dengan saya. Saya seorang yang proaktif dan kreatif dalam berkerja. Bidang ini saya yang pilih bukannya dipilih. Saya bercita-cita untuk membuat kejayaan yang besar dan berbeza dalam kerjaya ini untuk generasi kini dan akan datang.
Pelik ke? Kalau saya buat benda yang sama dengan orang lain. Kejayaannya pun mesti sama atau lebih kurang sahaja dengan yang lain-lain. Itu bukan saya. Namun saya sedar ada risiko yang besar menanti saya di mana-mana.Pada zaman kanak-kanak saya memang berjaya dalam banyak perkara dan saya berjaya mencapai kecemerlangan sebagai seorang pelajar di zaman persekolahan dan universiti. Jadi, bila saya berada di kerjaya ini saya bertekad untuk membuat yang terbaik. InsyaAllah
Kini saya berehat seketika dengan perancangan yang besar. Saya kembali fokus kepada perkara-perkara kecil. Saya melihat keadaan dan masa yang ada untuk kembali kepada peperangan dan perjuangan yang lebih besar. Bila? Saya tiada jawapannya.