01 hb Mei 2005, waktu mula-mula menjejak kaki ke Oxford kami tinggal di North Oxford Overseas Centre (NOOC) di Summertown Oxford, oleh kerana kami hanya dibenarkan menyewa di situ untuk sebulan sahaja, kami telah berpindah ke sebuah flat di London Road Headington Oxford, itupun hanya untuk sementara iaitu selama 3 bulan kerana kami dalam senarai menunggu untuk masuk menyewa di University Accomodation, Summertown House Oxford. Akhirnya pada Bulan Ogos 2005 kami berjaya mendapat tempat di Summertown House, iaitu sebuah flat 2 bilik tidur. Alhamdulillah kami semua selesa di situ.
Ini semua berlaku kerana kami telah menangguhkan kedatangan kami ke sini yang sepatutnya pada Bulan Oktober 2004. Oleh kerana isteri saya sedang sarat mengandungkan anak kedua kami, maka kami mendaftar lewat satu semester. Selepas Hannan Sofea berumur 4 bulan barulah kami datang ke sini, sekiranya kami datang mengikut jadual asal maka kami akan ditempatkan di St Catherine's College Accomodation. Kolej ini yang mengendalikan semua urusan yang berkaitan dengan pembelajaran isteri saya.
Selepas dua tahun di Summertown House, akhirnya kami berjaya juga untuk menyewa di St Catherine's College Accomodation. Pelajar-pelajar Malaysia yang lain mungkin memulakan kehidupan mereka di kolej masing-masing di sini sebelum berpindah ke University Accomodation yang lebih murah sewanya atau rumah sewa persendirian, tapi taqdir kami berbeza kerana kami bermula di 3 tempat yang berlainan sebelum berakhir di kolej kami, insyaAllah kami akan menetap di sini selama setahun sehinggalah kami pulang ke Malaysia tahun depan.
Mungkin ada yang bertanya kenapa kami berpindah lagi sedangkan kehidupan di Summertown House dah selesa bagi kami sekeluarga. Bagi saya banyak sebabnya, pertama, keputusan permohonan untuk melanjutkan tempoh menyewa di Summertown House terlalu lewat iaitu pertengahan tahun 2007, sedangkan keputusan permohonan kami untuk menyewa di college telah kami ketahui pada awal tahun 2007, jadi untuk merasa lebih selamat kami terima tawaran yang datang lebih awal. Kedua, ia banyak juga bergantung kepada keputusan saya untuk tinggal di UK berapa lama, jadi bila saya putuskan untuk balik pada Bulan Ogos 2008 maka kami pun putuskan untuk pindah kerana di St Catherine's College kami hanya boleh tinggal selama setahun sahaja dan permohonan untuk melanjutkan sewa belum pasti kerana mereka memberikan keutamaan kepada pelajar yang baru datang serta flat untuk keluarga amat terhad. Jadi insyaAllah hanya 13 bulan kami di sini.
Ketiga, naluri saya memang kuat untuk tinggal di sini kerana ini merupakan kawasan yang paling ramai orang Islam, walaupun mereka terdiri daripada bangsa Bangladesh dan Pakistan yang selalu dipandang negatif oleh sesetengah manusia, tetapi di sini ada suasana Islam, ada masjid-masjid, kedai-kedai makanan halal, kelas-kelas agama dan lain-lain. Jadi selama ini saya jauh dengan masjid tapi sekarang tidak lagi, InsyaAllah Ramadhan dan Syawal yang akan datang akan lebih meriah lagi bagi kami sekeluarga. Keempat ialah sekolah Hafiy, kalau dulu kami selalu rasa terkilan kerana tidak dapat menghantar Hafiy ke sekolah yang bagus di Oxford, kerana polisi kerajaan di sini ialah setiap pelajar mesti bersekolah di kawasan yang berhampiran dengan rumah mereka, tidak banyak pilihan sekolah yang bagus di tempat lama. Tapi kami tidak pernah kecewa kerana Hafiy sentiasa berada di kumpulan pertama semasa beliau di Foundation Stage sesi 05/06 dan Year 1 sesi 06/07 di Cutteslowe Primary School sekolah yang paling hampir dengan rumah kami dan beliau disukai oleh guru-gurunya. Banyak sangat jasa sekolah ini kepada beliau, kerana di sinilah persekolahan Hafiy bermula. Terima kasih Cutteslowe Primary School. Kini Alhamdulillah kami merasa amat bersyukur kepada Allah swt kerana untuk Year 2 Hafiy akan berpindah ke St Michael Primary School antara sekolah yang boleh dianggap antara yang terbaik di Oxford. Ini merupakan sekolah yang kedua terdekat dengan rumah baru kami, mula-mula memang tak dapat masuk, tapi alhamdulillah dengan kuasaNYA yang tidak terbatas dan doa kami yang berterusan akhirnya Hafiy mendapat tempat di situ.
Kelima, insyaAllah tempat belajar isteri saya akan berpindah tempat pada penghujung tahun 2007 ini, iaitu dari Parks Road ke Churchill Hospital tak jauh dari rumah baru kami sekarang. Jadi sekiranya kami tinggal di rumah lama akan menyulitkan sedikit pengurusan beliau untuk ke tempat belajar. Keenam, rumah baru kami berada di pertengahan antara dua tempat kerja saya iaitu di Pharmacology Department di Mansfield Road dan di Oxfordshire Music Service di Barton Headington. Dengan perpindahan ini insyaAllah akan memudahkan lagi pengurusan saya ke tempat kerja.
Ini merupakan perpindahan keempat kami di Oxford United Kingdom dan insyaAllah yang terakhir di sini sebelum kami pulang ke Malaysia dan inilah enam sebab yang paling kuat mempengaruhi keputusan kami untuk berpindah lagi dalam usaha kami untuk membaiki lagi kehidupan kami ke arah yang lebih baik dan sempurna.
Ya Allah Ya Tuhan kami! Berkatilah dan rahmatilah kehidupan kami di tempat baru kami ini dan Engkau permudahkanlah segala urusan kami di sini serta Engkau halalkanlah, berkatilah dan permurahkanlah segala rezeki kami di sini. Kami juga berserah diri kepadaMu dan Engkau lindungilah kami sekeluarga dari segala cubaan-cubaan dan anasir-anasir negatif dan jahat daripada manusia dan jin yang cuba menganggu kehidupan kami sekeluarga. Amin! Ya Rabbal Alamin!
Wassalam