Monday, August 20, 2007

Riwayat Hidup Ustaz Habib ( Remaja Siri 2 )

Masih ingat kisah saya di zaman remaja siri 1 ? Jadi, kali ini saya nak sambung untuk siri 2.

Saya hanya tinggal di rumah bersama keluarga sehingga tingkatan 2. Apabila bermulanya tingkatan 3 di Maahad Muhammadi Lelaki, saya mohon izin ibubapa untuk tinggal bersama kawan-kawan saya di rumah sewa yang berhampiran dengan sekolah, sewanya murah sahaja iaitu RM 100 untuk sebuah rumah kayu yang mempunyai 2 bilik, kami menyewa di situ seramai 10 orang dan kebanyakannya adalah pelajar MML tingkatan 3 dan 5. Walaupun rumah saya dan rumah sewa kami hanya 20 minit menaiki bas jaraknya, tapi saya memilih untuk tinggal di rumah sewa kerana untuk memberikan perhatian 100% kepada SRP, MML juga mempunyai asrama di dalam sekolah, tapi asrama disediakan bagi pelajar-pelajar dari luar Kelantan dan yang kampung mereka jauh dari sekolah.

Abah dan Che tidak menghalang niat saya, mereka sangat percaya kepada saya dan mereka tahu yang saya sentiasa boleh berdikari dan tahu apa yang terbaik untuk diri saya. Antara tujuan saya menyewa berhampiran sekolah ialah untuk menjimatkan masa saya menunggu bas yang kadang-kadang boleh sampai sejam baru boleh dapat bas, begitu juga waktu balik dari sekolah, ini mengganggu pengurusan waktu belajar saya, juga saya ingin belajar bersama kawan-kawan yang lebih pandai dari saya. Ini kerana kawan-kawan yang telah sepakat untuk menyewa rumah tersebut kebanyakannya berasal dari kawasan yang jauh dari sekolah dan mereka adalah antara pelajar terbaik di MML, jadi inilah peluang saya untuk membaiki diri saya dalam pelajaran kerana saya tidak berada dalama golongan sepuluh terbaik di sekolah walaupun berada di kelas yang pertama.

Waktu mula-mula saya nak menyertai kawan-kawan saya ini menyewa, mereka tidak mahu menerima saya kerana saya bukanlah pelajar terbaik di sekolah, mereka menolak permintaan saya untuk menyewa di situ dengan alasan saya bukannya dari kumpulan mereka. Kalau pembaca nak tahu, saya jenis pelajar yang berada di kelas pertama tapi suka berkawan dengan pelajar-pelajar dari kelas yang kedua dan kelas yang hujung-hujung. Jadi kawan-kawan yang saya bercampur bukanlah pelajar terbaik di sekolah tersebut. Mereka juga menyewa berhampiran dengan sekolah MML, tapi saya memilih untuk tidak menyewa dengan mereka. Prinsip saya yang masih hingusan pada waktu itu senang sahaja, kalau waktu pembelajaran saya akan berkawan dan belajar bersama-sama pelajar yang pandai walaupun mereka tak suka dengan saya atau mereka lebih pandai dari saya ataupun mereka bukan kawan saya, tapi diluar waktu pembelajaran saya akan kembali kepada kawan-kawan saya. Kawan-kawan saya pun kebanyakannya tak suka belajar, jadi mereka pun selalu merasa hairan dengan pencapaian akademik saya yang baik sebab mereka tak pernah tengok saya belajar, kerana apabila saya bersama mereka memang saya tak belajar, tapi apabila balik ke rumah sewa saya, saya hanya belajar, kerana kawan-kawan di rumah sewa saya semuanya gila belajar, merekalah yang banyak memberi motivasi secara tidak langsung kepada saya untuk lebih berjaya, sebab bila saya balik ke rumah mereka semua belajar, jadi saya pun belajarlah. Hehe!

Selepas berpenat lelah mengatur strategi untuk berjaya akhirnya apabila keputusan SRP diumumkan saya berada di tempat keenam terbaik di MML daripada seramai 300 orang pelajar tingkatan 3 di sekolah tersebut. Ramai orang tidak menjangka yang saya boleh mencapai kedudukan ini sebab saya selalu merahsiakan cara dan bila saya belajar, yang tahu hanya rakan-rakan di rumah sewa saya, mereka pun tewas dengan saya walaupun saya berguru dengan mereka apa sahaja yang saya tidak faham, mereka pun tak percaya yang saya mendapat keputusan yang lebih baik dari mereka kerana saya tak pernah berada di kedudukan sepuluh terbaik di sekolah dan tidak pernah mengatasi mereka dalam setiap peperiksaan penggal di sekolah. Bagi saya keputusan peperiksaan penggal dan percubaan kurang penting, sebab itulah strategi yang saya atur hanya untuk peperiksaan terbesar di tahun tersebut. Akhirnya semua rakan tidak melihat saya sebagai saingan mereka dan mereka sudi membantu saya dalam setiap masaalah yang saya hadapi dalam pembelajaran.

Saya juga bukan seorang anak yang terbaik dalam pembelajaran jika dibandingkan dengan adik beradik saya dan di kalangan sepupu-sepupu saya, cuma saya pernah mendapat keputusan terbaik di kalangan adik beradik dan sepupu-sepupu saya dalam peperiksaan penilaian sekolah rendah darjah lima iaitu peperiksaan terbesar di sekolah rendah di zaman saya dahulu. Tetapi dalam setiap peperiksaan penggal dan percubaan saya selalu mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan, sebab itulah semua orang tidak pernah menaruh harapan yang tinggi kepada saya setiap kalli saya menghadapi peperiksaan besar. Tidak pernah ada sebarang tekanan ke atas saya setiap kali peperiksaan besar di sekolah. Apabila keputusan SRP saya diumumkan, saya balik ke rumah untuk bagitahu abah dan che serta adik beradik saya, mereka semua terkejut, gembira dan bersyukur. Yang paling saya ingat dan agak menggelikan hati saya ialah abah telah membuat beberapa salinan fotostat dan memberikan kepada kawan-kawannya di kampung dan juga beliau telah menghantar salinan tersebut kepada saudara-mara yang jauh. Puas hati saya apabila melihat abah gembira begitu sekali. Alhamdulillah.


Zaman Sijil Rendah Pelajaran (SRP) di Sekolah Arab Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bharu Kelantan (MML) merupakan zaman yang terindah dalam diari hidup saya yang tidak akan saya lupakan dan akan saya ceritakan kepada anak-anak dan cucu-cucu saya sampai akhir hayat saya. Kenapa? Sebab saya tidak pernah mengalami pengalaman itu sebelum ini dan saya tidak mempu mengulanginya semula selepas itu. Kerana strategi dan kejayaan saya selepas SRP tidak sehebat di zaman SRP. Walaupun saya masih berjaya tapi tidak sehebat SRP. Ini kerana rutin hidup dan keadaan di waktu itu tidak dapat saya teruskan sepenuhnya selepas SRP sehinggalah saya tamat belajar di universiti dan insyaAllah saya akan kembali ke universiti untuk PHD saya pada tahun 2009 atau 2010 nanti. Amin.

Saya akan kongsikan rutin hidup dan belajar saya semasa SRP dalam tulisan saya yang seterusnya untuk siri 3, insyaAllah.

Wassalam. Bersambung..................

Friday, August 03, 2007

Ustaz Habib Pindah Lagi

Selamat Tinggal Flat 94 Summertown House Oxford

01 hb Mei 2005, waktu mula-mula menjejak kaki ke Oxford kami tinggal di North Oxford Overseas Centre (NOOC) di Summertown Oxford, oleh kerana kami hanya dibenarkan menyewa di situ untuk sebulan sahaja, kami telah berpindah ke sebuah flat di London Road Headington Oxford, itupun hanya untuk sementara iaitu selama 3 bulan kerana kami dalam senarai menunggu untuk masuk menyewa di University Accomodation, Summertown House Oxford. Akhirnya pada Bulan Ogos 2005 kami berjaya mendapat tempat di Summertown House, iaitu sebuah flat 2 bilik tidur. Alhamdulillah kami semua selesa di situ.

Ini semua berlaku kerana kami telah menangguhkan kedatangan kami ke sini yang sepatutnya pada Bulan Oktober 2004. Oleh kerana isteri saya sedang sarat mengandungkan anak kedua kami, maka kami mendaftar lewat satu semester. Selepas Hannan Sofea berumur 4 bulan barulah kami datang ke sini, sekiranya kami datang mengikut jadual asal maka kami akan ditempatkan di St Catherine's College Accomodation. Kolej ini yang mengendalikan semua urusan yang berkaitan dengan pembelajaran isteri saya.

Selepas dua tahun di Summertown House, akhirnya kami berjaya juga untuk menyewa di St Catherine's College Accomodation. Pelajar-pelajar Malaysia yang lain mungkin memulakan kehidupan mereka di kolej masing-masing di sini sebelum berpindah ke University Accomodation yang lebih murah sewanya atau rumah sewa persendirian, tapi taqdir kami berbeza kerana kami bermula di 3 tempat yang berlainan sebelum berakhir di kolej kami, insyaAllah kami akan menetap di sini selama setahun sehinggalah kami pulang ke Malaysia tahun depan.

Mungkin ada yang bertanya kenapa kami berpindah lagi sedangkan kehidupan di Summertown House dah selesa bagi kami sekeluarga. Bagi saya banyak sebabnya, pertama, keputusan permohonan untuk melanjutkan tempoh menyewa di Summertown House terlalu lewat iaitu pertengahan tahun 2007, sedangkan keputusan permohonan kami untuk menyewa di college telah kami ketahui pada awal tahun 2007, jadi untuk merasa lebih selamat kami terima tawaran yang datang lebih awal. Kedua, ia banyak juga bergantung kepada keputusan saya untuk tinggal di UK berapa lama, jadi bila saya putuskan untuk balik pada Bulan Ogos 2008 maka kami pun putuskan untuk pindah kerana di St Catherine's College kami hanya boleh tinggal selama setahun sahaja dan permohonan untuk melanjutkan sewa belum pasti kerana mereka memberikan keutamaan kepada pelajar yang baru datang serta flat untuk keluarga amat terhad. Jadi insyaAllah hanya 13 bulan kami di sini.

Ketiga, naluri saya memang kuat untuk tinggal di sini kerana ini merupakan kawasan yang paling ramai orang Islam, walaupun mereka terdiri daripada bangsa Bangladesh dan Pakistan yang selalu dipandang negatif oleh sesetengah manusia, tetapi di sini ada suasana Islam, ada masjid-masjid, kedai-kedai makanan halal, kelas-kelas agama dan lain-lain. Jadi selama ini saya jauh dengan masjid tapi sekarang tidak lagi, InsyaAllah Ramadhan dan Syawal yang akan datang akan lebih meriah lagi bagi kami sekeluarga. Keempat ialah sekolah Hafiy, kalau dulu kami selalu rasa terkilan kerana tidak dapat menghantar Hafiy ke sekolah yang bagus di Oxford, kerana polisi kerajaan di sini ialah setiap pelajar mesti bersekolah di kawasan yang berhampiran dengan rumah mereka, tidak banyak pilihan sekolah yang bagus di tempat lama. Tapi kami tidak pernah kecewa kerana Hafiy sentiasa berada di kumpulan pertama semasa beliau di Foundation Stage sesi 05/06 dan Year 1 sesi 06/07 di Cutteslowe Primary School sekolah yang paling hampir dengan rumah kami dan beliau disukai oleh guru-gurunya. Banyak sangat jasa sekolah ini kepada beliau, kerana di sinilah persekolahan Hafiy bermula. Terima kasih Cutteslowe Primary School. Kini Alhamdulillah kami merasa amat bersyukur kepada Allah swt kerana untuk Year 2 Hafiy akan berpindah ke St Michael Primary School antara sekolah yang boleh dianggap antara yang terbaik di Oxford. Ini merupakan sekolah yang kedua terdekat dengan rumah baru kami, mula-mula memang tak dapat masuk, tapi alhamdulillah dengan kuasaNYA yang tidak terbatas dan doa kami yang berterusan akhirnya Hafiy mendapat tempat di situ.


Kelima, insyaAllah tempat belajar isteri saya akan berpindah tempat pada penghujung tahun 2007 ini, iaitu dari Parks Road ke Churchill Hospital tak jauh dari rumah baru kami sekarang. Jadi sekiranya kami tinggal di rumah lama akan menyulitkan sedikit pengurusan beliau untuk ke tempat belajar. Keenam, rumah baru kami berada di pertengahan antara dua tempat kerja saya iaitu di Pharmacology Department di Mansfield Road dan di Oxfordshire Music Service di Barton Headington. Dengan perpindahan ini insyaAllah akan memudahkan lagi pengurusan saya ke tempat kerja.

Ini merupakan perpindahan keempat kami di Oxford United Kingdom dan insyaAllah yang terakhir di sini sebelum kami pulang ke Malaysia dan inilah enam sebab yang paling kuat mempengaruhi keputusan kami untuk berpindah lagi dalam usaha kami untuk membaiki lagi kehidupan kami ke arah yang lebih baik dan sempurna.

Ya Allah Ya Tuhan kami! Berkatilah dan rahmatilah kehidupan kami di tempat baru kami ini dan Engkau permudahkanlah segala urusan kami di sini serta Engkau halalkanlah, berkatilah dan permurahkanlah segala rezeki kami di sini. Kami juga berserah diri kepadaMu dan Engkau lindungilah kami sekeluarga dari segala cubaan-cubaan dan anasir-anasir negatif dan jahat daripada manusia dan jin yang cuba menganggu kehidupan kami sekeluarga. Amin! Ya Rabbal Alamin!

Wassalam