Monday, September 09, 2013

PROJEK BAITUL HANA 1


Dari dulu lagi saya mengimpikan sebuah rumah yang lengkap untuk keluarga yang akan dinamakan dengan nama Baitul Hana.

Pada tahun 2003 saya telah memilih dan membeli sebuah rumah teres 2 tingkat di Dengkil Selangor untuk saya sekeluarga.

 Dulu
Kini

Sehinggalah pada tahun 2010 setelah saya mengkaji keadaan semasa, saya pasti bahawa inilah pilihan terbaik untuk saya jadikan Baitul Hana buat teduhan saya sekeluarga.

Baitul Hana bermaksud Rumah Habibullah dan Sarina yang kami ringkaskan menjadi Baitul Hana. Ia adalah tanda ikatan kasih saya dan isteri tercinta.

Pada tahun 2010 saya mula mengubahsuai rumah ini sedikit demi sedikit dan saya bahagikan kepada 3 fasa. Fasa 1 adalah fasa asas, fasa 2 pula adalah fasa melengkapkan Baitul Hana.

Fasa 3 pula adalah fasa menyempurna dan mencantikkan Baitul Hana. fasa 1 dan fasa 2 telah selesai sepenuhnya. Namun fasa 3 kami tangguhkan dahulu untuk sebarang kemungkinan.

Setelah 10 tahun menetap di Dengkil kami putuskan untuk terus berkampung di Dengkil Selangor. Faktor persekitaran dan jarak dari tempat kerja saya dan isteri amat sesuai dengan lokasi ini.

Setelah memutuskan untuk menetap terus di Dengkil saya mula berfikir tentang Baitul Hana. Adakah Baitul Hana kami hanyalah rumah teres 2 tingkat. Selesakah kami berlima di masa hadapan.


Akhirnya saya mula mencari pilihan-pilihan lain yang lebih baik. Dengan harga jualan rumah oleh pemaju yang semakin meningkat saya memilih untuk mencari tanah lot banglo.

Saya masih pasti dengan pilihan Dengkil sebagai kampung kami. Namun agak susah untuk membeli tanah di sini kerana pilihan yang ada sangat mahal dan terhad.

Ditaqdirkan Ilahi, selepas seminggu Syawal 2013 saya terbaca di laman web mudah.com.my tentang satu iklan tanah lot banglo di Kampung Dato' Ahmad Razali Dengkil.


Teruja saya membaca iklan ini kerana sebelum ini saya rasa agak mustahil untuk memiliki tanah di sini. Boleh dikatakan agak mustahil juga untuk mendapat tanah yang baik di Dengkil.

Setelah melihat lokasi tanah dan berjumpa dengan penjual. Saya berpuas hati dengan semua keadaan dan saya terus membeli tanah lot banglo tersebut.

Jarak tanah ini hanya 10 meter dari jalan utama, berada bersebelahan dengan Presint 20 Putrajaya dan hanya mengambil masa 5 minit sahaja untuk ke pintu masuk Putrajaya.

Tanah lot banglo di Kampung Dato' Ahmad Razali Dengkil Selangor ini hanya seluas 5400 kaki persegi ( 50 lebar X 108 panjang ) berharga RM 200 ribu.

Jika ada rezeki kami sekeluarga, nampaknya dari sinilah bermulanya projek sebenar dalam pembinaan 'Baitul Hana'. InsyaAllah !

  Dari Hadapan
 Dari Belakang
 Dari Kiri
 Dari Kanan