Monday, August 05, 2013

PUASA DI MINGGU KEEMPAT - TERAKHIR

Minggu ini adalah minggu terakhir puasa dan semua umat Islam akan mengucapkan selamat tinggal Ramadhan dan selamat datang Syawal. Kini saya sibuk dengan persiapan untuk meninggalkan Ramadhan dan persiapan untuk menyambut Syawal.

Bila usia semakin meningkat, kematangan dan pemikiran sudah banyak berbeza. Bila Ramadhan semakin hari semakin menghampiri penghujungnya, maka hati semakin terasa kesedihan kerana saya tidak pasti adakah tahun depan saya dapat merasainya lagi atau sudah tiada kesempatan lagi.


Di minggu terakhir ini semua umat Islam tidak terkecuali saya sekeluarga sibuk dengan persiapan menyambut syawal. Setiap minggu pasti kami keluar ke pusat membelih belah untuk membeli keperluan hari raya kami sekeluarga.

Walaupun sibuk dengan persiapan menyambut Aidilfitri saya amat bersyukur pada Ilahi kerana Dia masih menjaga saya daripada leka dan lalai. Dengan persiapan yang telah saya dan isteri lakukan lebih awal, maka tidaklah saya di'lagha'kan dengan situasi semasa.


Memang menjadi rutin tahunan saya dan isteri membuat persiapan syawal lebih awal untuk keperluan asas Aidilfitri agar saya boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadah di bulan Ramadhan dan tidak terlalu sibuk pada 10 hari terakhir Ramadhan.

Alhamdulillah saya masih lagi dapat beristiqamah dan menambahbaik rutin Ramadhan pada 10 hari yang terakhir yang mana fadhilatnya amat besar bagi setiap hambaNya. Disebabkan kehebatan 10 hari terakhir inilah, maka disediakan cabaran yang amat besar dalam tempoh ini.


Minggu terakhir ini saya tumpukan kepada menambah amalan agar Lailatul Qadar yang dikejar tidak ketinggalan. Saya tidak mengambil peduli sangat bilakah malamnya, apa yang saya amalkan dari dulu ialah perbanyakkan amalan di 10 hari atau malam yang terakhir ini.


Alhamdulillah di minggu terakhir ini saya sekeluarga dapat berkumpul sepenuhnya apabila sekolah bercuti lebih awal dan Hafiy dapat berpuasa bersama keluarga setelah pulang dari asrama. Dapatlah Hafiy bersahur, berbuka dan beribadah bersama keluarga.

Saya amat bersyukur kepada Allah SWT kerana saya dapat melalui 10 hari terakhir Ramadhan dengan baik dan masih dapat beristiqamah dengan segala rutin Ramadhan saya setiap tahun. Penutup bagi bulan Ramadhan saya pada tahun ini ialah membawa keluarga berbuka puasa dan beribadah di Masjid 'Besi' Putrajaya sehari di minggu terakhir Ramadhan. ALHAMDULILLAH

  RAMADHAN DITANGISI, DISYUKURI, SYAWAL DIRAI PENUH SYAR'I
SELAMAT TINGGAL RAMADHAN, SELAMAT DATANG SYAWAL