Monday, June 10, 2013

DARI SMAPUTRA KE SMAP LABU

Kalau diikutkan perancangan awal saya, Hafiy hanya akan masuk ke sekolah asrama penuh pada tingkatan 4. Tiada langsung dalam fikiran saya dan isteri untuk menghantarnya ke asrama seawal tingkatan 1.

Setelah keputusan SBP keluar, Hafiy gagal untuk ke asrama. Kami semua tak kisah dengan keputusan tersebut kerana Hafiy memang tak mahu pergi ke asrama dan kami pun memang tidak bercadang untuk menghantarnya ke asrama.

Dibuktikan lagi apabila saya telah membayar semua sekaligus bayaran yang telah ditetapkan oleh pihak SMAPUTRA kerana kami memang nekad bahawa Hafiy tidak akan ke asrama.

Memandangkan pengambilan pertama, kedua dan ketiga pun Hafiy tiada dalam senarai ke SBP. Lagilah kami tidak berfikir apa-apa. Cukuplah Hafiy bersekolah di SMAPUTRA.

Segala-galanya berubah apabila pada awal bulan Mei yang lepas, tiba-tiba kami mendapat sepucuk surat dari KPM yang menawarkan Hafiy ke SMAP Labu.

Apabila saya pulang dari kerja, saya terus membuka surat tersebut dan membaca dengan teliti. Tiba-tiba hati saya sebagai bapa terus berkata 'ya' Hafiy mesti mendaftar di SMAP Labu. Saya terus beritahu kepada isteri yang Hafiy akan ke SMAP Labu.

Isteri saya terkejut dengan keputusan tergesa-gesa dari saya kali ini, ini bukan cara suaminya. Saya seorang yang berhati-hati dalam membuat keputusan. Tapi kali ini saya yakin yang ini adalah keputusan terbaik untuk Hafiy. Itu yang hati saya katakan.

Semua ahli keluarga kami terkejut dengan keputusan ini. Hafiylah yang paling terkejut dalam keputusan ini. Seminggu selepas itu semua menyokong keputusan saya dan mereka menerima dengan cara yang amat positif. Akhirnya Putera Sulung Baitul Hana ke Sekolah Berasrama Penuh SMAP Labu di Negeri Sembilan.

SELAMAT TINGGAL SMAPUTRA


PENDAFTARAN DAN TAKLIMAT RINGKAS DI SMAP LABU


SELAMAT TINGGAL PUTERAKU, JAGA DIRIMU BAIK-BAIK