Thursday, December 10, 2009

Dr. Sarina Binti Haji Mansor

Bersyukur kami sekeluarga dengan anugerah terbaru dan nikmat yang besar dari Allah swt, iaitu isteri saya telah berjaya mencapai cita-citanya untuk mendapat ijazah PhD. Pelbagai rintangan dan dugaan yang kami sekeluarga terpaksa tempuhi sepanjang perjalanan isteri saya mengejar cita-citanya.

Kami sekeluarga telah berada di Oxford selama 3 tahun 4 bulan dan isteri saya sendiri telah berada di Oxford untuk 4 tahun, di mana saya terpaksa kembali awal dengan anak-anak kerana cuti saya yang telah habis. Selama 8 bulan kami berpisah dan dalam masa 8 bulan itu kami terpaksa berbelanja hampir RM 20,000.00 sebagai tambang saya dan isteri berulang alik 4 kali dari Malaysia ke Oxford. Saya cuma sekali ke Oxford dan isteri saya 3 kali perjalanan pergi balik dari Oxford ke Malaysia.

Selama itu jugalah saya menjaga anak-anak sendirian sambil sekali sekala dibantu oleh mertua dan adik ipar. Alhamdulillah semuanya telah berlalu apabila isteri saya telah lulus viva PhDnya pada hari selasa 08/12/2009 yang lepas selepas bertungkus lumus berjuang selama lebih kurang 4 tahun setengah. Tahniah Dr. Sarina Binti Haji Mansor.

Sukar untuk saya bayangkan perasaan saya pada tika dan saat ini. Bermacam rasa yang ada dalam hati dan minda apabila mengenangkan apa yang telah kami lalui. Payah untuk saya gambarkan dalam bentuk tulisan. Cuma apa yang saya boleh coretkan di sini bahawa saya berasa teramat lega dan seolah-olah sebiji batu yang amat-amat besar telah terangkat dari badan setelah menghempap saya bertahun-tahun lamanya.

Begitulah yang dikatakan perkongsian hidup suami isteri, semuanya dikongsi bersama. Kalau saya berasa amat lega, sudah tentu perasaan isteri saya lebih hebat lagi kerana seberat mana mata saya yang memandang berat lagi bahunya yang memikul. Syabas mama! Hanya padaNYA sahajalah yang selayaknya diberi pujian.

Tahun 2010 yang hanya beberapa hari lagi akan memberikan kehidupan yang baru, berbeza dan insyaAllah lebih baik kepada kami sekeluarga. Perjalanan hidup kami akan kembali seperti biasa dan saya juga telah bersedia menyahut semua cabaran yang akan datang dalam kehidupan dan kerjaya.

Kini saya sudah mula berjinak-jinak kembali dengan universiti, saya dah mula berjumpa dengan beberapa orang pensyarah-pensyarah lama saya untuk bertanyakan tentang PhD. Setakat ini saya hanya merancang untuk membuat proposal dahulu sebelum saya teruskan langkah yang seterusnya. Saya kurang tertekan dalam soal ini kerana saya berada di tanahair sendiri. Bila saya akan dapat PhD biar DIA sahaja yang tentukan. Saya hanya berusaha dengan niat hanya untuk mencari ilmu, bukan untuk komersial.

InsyaAllah dengan niat yang betul kerana Allah swt, maka DIA akan sentiasa membantu saya di samping isteri dan insan-insan yang rapat dengan saya. Apabila isteri saya selesai dan lulus viva tempohari maka saya mulalah berlari mengejar cita-cita saya pula. Bismillahi tawakkaltu 'alallahi wala haula wala quwwata illa billahil 'aliyyul 'azhim.


SEKALUNG TAHNIAH BUAT ISTERI TERCINTA DI ATAS KEJAYAAN YANG HEBAT INI