Friday, January 25, 2008

Cabaran 2008 Cabaran Penamat

2008 merupakan tahun keramat dan tahun yang ditunggu-tunggu oleh saya kerana sejak 2005 lagi apabila saya terbang ke Oxford saya telah menetapkan tarikh untuk saya pulang ke Malaysia ialah pada 2008. Bila? Belum ada kepastian.

Cuti tanpa gaji yang saya ambil bermula 01hb Mei 2005 sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) di Malaysia akan berakhir pada 30hb April 2008. Bermakna saya perlu memohon untuk menyambung cuti kerana isteri saya yang sedang belajar di Universiti Oxford tidak dapat menamatkan pengajiannya dalam masa 3 tahun. Kami akan memohon untuk menyambung biasiswa, VISA dan cuti bekerja bagi setahun lagi sehingga 30 April 2009. Buat masa sekarang kami belum mendapat apa-apa kelulusan dari semua pihak yang berkenaan. Walaupun begitu saya merancang untuk kembali ke Malaysia selewat-lewatnya Bulan Disember 2008 dan kembali menjalani kehidupan kami seperti biasa di Malaysia pada 01hb Januari 2009. Ini hanya satu perancangan kami sebagai manusia biasa tetapi ketentuan akhir datang dariNYA dan dengan izinNYA.

Bagi merealisasikan hasrat ini, kami akan cuba melakukan apa sahaja yang terbaik bagi mencapai tujuan ini kerana usaha datangnya dari kami dengan izinnya dan hasilnya kami serahkan kepada Allah swt. Perkara pertama yang menjadi fokus kami ialah pengajian PHD isteri saya. Dia akan fokuskan 100% dalam pengajiannya dalam usaha agar selesai sebelum 4 tahun dan saya bertanggungjawab sepenuhnya dalam soal pengurusan anak-anak dan rumahtangga pada waktu pejabat agar tidak mengganggu sedikit pun waktu pengajian beliau. Saya juga akan memastikan tidak ada masaalah kewangan yang boleh mengganggu fokus beliau untuk belajar dan saya akan membuat perancangan awal bagaimana untuk pulang ke Malaysia nanti agar tidak mengganggu tumpuan beliau. Saya sedar semua ini bukan senang tetapi bagi kami di mana ada usaha di situ ada jalan. Dengan perancangan yang baik insyaAllah DIA akan membantu dan memberkatinya.

Jadual bekerja saya juga telah saya ubah waktunya bagi memberi lebih masa kepada isteri saya untuk belajar dan selepas 'Easter Holiday' nanti saya bercadang untuk melepaskan satu kerja yang saya buat sekarang dan hanya melakukan satu kerja 'part time' sahaja iaitu 'early morning receptionist' kerana waktu bekerjanya yang tamat pukul 7.45am yang langsung tidak mengganggu sesiapa dan bayarannya lebih tinggi. Memandangkan Hannan Sofea iaitu puteri kami telah pun berusia 3 tahun dan telah bersekolah tadika saya telah mula membawanya ke masjid pada setiap kali solat Jumaat agar isteri saya dapat belajar sepenuhnya pada hari tersebut dan tidak perlu pulang awal serta saya juga tidak lagi bekerja petang pada hari Jumaat.

Saya juga akan kurangkan segala aktiviti saya bersama masyarakat agar tidak ada perkara yang boleh mengganggu fokus beliau. Untuk makluman rakan-rakan di Oxford, saya tidak dapat lagi menganjurkan program wajib saya bersama rakan-rakan kerana sebelum ini program Yaasin Tahlil Tazkirah Oxford yang telah saya adakan bermula pada tahun 2005 dan yang terakhir pada Bulan Disember 2007 banyak memerlukan pengorbanan masa dan tenaga dari saya dan sedikit sebanyak mengganggu pengajian isteri. Jadi, saya rasa cukuplah setakat itu sahaja kerana fokus kami pada tahun ini hanyalah pengajian isteri saya. Alhamdulillah syukur saya pada Yang Maha Esa kerana isteri saya walaupun sibuk belajar dia faham dengan tugas saya sebagai seorang lelaki muslim yang berpendidikan Agama Islam untuk melakukan kerja-kerja agama. Dia tidak pernah menghalang malah menyokong penuh segala aktiviti-aktiviti keagamaan yang telah saya anjurkan di sini. Sekarang tibalah giliran saya pula untuk menyokong sepenuhnya pengajian beliau tanpa sebarang gangguan.

Saya juga bersyukur kerana semua matlamat saya telah tercapai di sini tanpa saya meninggalkan tugas dakwah Islamiyyah, walaupun jauh di sudut hati saya, saya merasa amat kecil dan terlalu sedikit apa yang telah saya lakukan selama ini kepada masyarakat Malaysia di Oxford. Walaubagaimanapun saya akan memberikan kerjasama kepada semua program yang akan dianjurkan oleh rakan-rakan di sini khususnya program kerohanian, saya akan cuba sedaya upaya memenuhi semua jemputan rakan-rakan yang memerlukan khidmat saya. InsyaAllah, cuma saya sudah tidak mampu untuk menganjurkan dan mengetuai apa-apa program. Mungkin ada rakan-rakan yang lama atau yang baru sampai di Oxford boleh meneruskan program-program keagamaan di sini dan saya akan memberi kerjasama jika khidmat saya di perlukan.

Bercakap tentang matlamat saya, alhamdulillah semua matlamat utama yang telah saya tulis dalam penulisan saya yang lalu telah tercapai hanya menanti satu sahaja lagi iaitu PHD isteri saya. Dalam kesibukan kami sempat juga saya mengambil 6 kursus komputer di Oxford University Computing Services (OUCS) pada awal tahun 2007, dapat juga saya pengalaman dan merasai suasana belajar di Oxford University serta sijil kursus dari OU. Kebanyakan kursus yang diambil semuanya saya telah pandai cuma saya perlukan sijil untuk membuktikannya, apalagi sijilnya dikeluarkan oleh Oxford University. Ini akan menguatkan CV saya di malaysia nanti. InsyaAllah jika masih berpeluang saya akan mengambil 6 kursus lagi sebelum pulang ke tanahair. Rugi rasanya jika sudah berada di sini tapi tidak mengambil peluang untuk mencari ilmu di OU selain ilmu-ilmu yang tidak rasmi di sini yang boleh dipelajari melalui kehidupan.

Pada cuti krismas dan tahun baru yang lalu saya juga telah mengambil peluang daripada jualan besar-besar yang diadakan disini setiap tahun untuk membeli sedikit keperluan saya untuk dibawa balik ke Malaysia, seperti 'suit', kemeja, kasut dan beberapa keperluan lain. Bukannya tidak ada di Malaysia tapi keadaannya berbeza di sini. Kalau di Malaysia saya takkan beli jenama-jenama seperti Hugo Boss, Moss, Pierre Cardin, Next, Gap, Mark & Spencer, Clark, Ben Sherman, Timberland, nike dan jenama-jenama lain lagi. Sebagai Pegawai kerajaan sudah pasti saya tidak mampu membeli jenama-jenama tersebut tetapi bila saya bekerja di sini semuanya mampu untuk dimiliki termasuklah kereta Mercedes Benz kami. Terima kasih kepada isteri saya kerana telah membawa saya ke sini.

Kepada sesiapa yang berhajat untuk datang ke UK ini dan menikmati 'pound sterling' perlu ada perancangan dan matlamat yang jelas dan tersusun seawal tiba di sini, jika tidak anda akan menyesal bila tiba masa anda hendak pulang selama-lamanya ke Malaysia. Ketika itulah anda akan merasai semuanya telah terlambat. Ditambah lagi dengan kebanyakan biasiswa Malaysia telah pun dinaikkan tahun lepas. Peluang generasi baru kini lebih cerah berbanding generasi terdahulu. Wang bukan lagi satu penghalang untuk anda belajar dan menikmati kehidupan yang selesa di luar negara. Kami bertuah kerana kami telah pun menjalani kehidupan berkeluarga dan merasai asam garam kehidupan di Malaysia dan akhirnya kami tahu apa yang perlu dilakukan apabila kami ditawarkan untuk datang ke UK. Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan seperti yang dirancang.

Akhirnya saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan inayahNYA sehingga ke saat ini saya masih mampu dan berjaya untuk menguruskan anak-anak dan rumahtangga secara sepenuh masa dan melakukan dua kerja separuh masa selama hampir 3 tahun di sini sebagai sokongan kepada isteri yang bertungkus lumus menyiapkan kajian PHDnya di sini. InsyaAllah kehidupan kami akan kembali seperti dahulu pada tahun 2009 nanti dengan keadaan yang lebih baik dari sebelumnya.

Wassalam

Friday, January 18, 2008

Kenangan Akhir 2007 Dan Awal 2008

Kali ini saya abadikan kenangan-kenangan kami di sini pada cuti panjang yang lepas sempena perayaan Krismas dan sambutan tahun baru 2008.

Menonton Lakonan Hafiy di St Michael Primary School

Menziarahi En. Lokman sekeluarga di London

Menghadiri Christmas Party di St Catherine College

'Kenduri Mat Salleh' di Oxford

Menemani 'Acu' melawat kolej-kolej di Oxford


Membeli belah di Oxford City Centre

Kenangan bersama 'Acu' di Bicester Village

Membeli belah 'Boxing Day' di Swindon

Menghantar Suraya pulang ke Dublin Ireland di London Luton Airport

Sekali sekala papa bergambar solo

Kalau Hafiy yang ambil gambar mesti senget

Puteri papa dah mula bersekolah

Hannan (27/12) berkongsi kek harijadi dengan papa (01/01)

Selepas bercuti panjang. Kini bermulalah kehidupan 2008 yang penuh cabaran bagi kami kerana 2008 merupakan tahun terakhir kami di sini, insyaAllah.