Monday, April 18, 2011

KETUA GURU DISIPLIN

Kalau tahun 2010 saya dianugerahkan dengan naib johan pengurusan disiplin sekolah peringkat putrajaya oleh PPWPP yang dipimpin oleh Timbalan Pengarah Tuan Haji Khairil b Awang, setelah setahun setengah saya berkhidmat di sini.

Minggu lepas saya sekali lagi telah diberi pengiktirafan yang besar oleh Timbalan Pengarah yang baru iaitu Tuan Haji Jamaluddin Yusoff. Tapi kali ini anugerahnya berbeza dan kepuasannya berganda.

Selepas 3 bulan beliau berkhidmat di Putrajaya, beliau telah mengenali saya melalui pelbagai cara. Alhamdulillah. Kalau Tuan Haji Khairil memang dia kenal saya kerana beliau yang masukkan saya ke Putrajaya. Namun Timbalan Pengarah yang baru saya memang tak kenal.

Anugerah yang saya maksudkan ialah bukannya piala, tapi hanya kata-kata yang saya ambil sebagai penawar dan perangsang untuk saya berkerja. Kepuasannya lebih daripada sebuah piala.

Pada minggu lepas saya terserempak dengan beliau di satu mesyuarat di PPWPP. Bila berjumpa sahaja dengan saya beliau terus memuji sekolah saya. Katanya sekolah saya dari segi disiplin dan sahsiahnya amat baik sekali jika dibandingkan dengan sekolah lain. Alhamdulillah.

Beliau juga sempat menawarkan saya jawatan PK HEM di salah sebuah sekolah yang bermasaalah di Putrajaya. Kekananan dalam perkhidmatan sekali lagi menjadi penghalang utama saya. Saya redha dan bersyukur.

Bukan jawatan yang membuat saya gembira tetapi kejayaan dalam apa yang saya telah lakukan diiktiraf oleh mereka yang di atas saya dan mereka yang di bawah saya.

Pada pagi ini saya terkejut besar apabila Pengetua memaklumkan dalam perhimpuan rasmi sekolah bahawa Tuan Timbalan Pengarah telah memuji sekali lagi tahap disiplin dan sahsiah pelajar-pelajar saya yang baik dalam ucapan beliau di hadapan pengetua-pengetua dan penolong-penolong kanan Putrajaya.

Saya terharu dan bersyukur dengan kenyataan ini. Kini saya tidak akan menoleh ke belakang lagi kerana saya sedang merancang kejayaan yang lebih besar menyusul selepas ini. Saya akan fokuskan kerja saya hanya kepada yang terbaik.

KELAB INDAHNYA IMAN akan menyusul selepas ini. Ujian pertama kelab ini ialah mendapatkan 300 orang pelajar Islam yang sukarela untuk dilatih mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian mereka.

Ya Rabb...hanya padaMU hambaMU mengharap.......

Tuesday, April 05, 2011

SEDANG KELIRU DAN MAKIN KELIRU

Kerjaya guru - Kepuasan bekerja - Phd - Perjuangan - Kepuasan hidup

1) Kerjaya guru : Kini saya telah sampai ke peringkat untuk melangkah ke peringkat yang lebih baik dalam sumbangan saya kepada pelajar. InsyaAllah saya akan berjaya membuat sesuatu yang besar kepada sekolah sekiranya saya teruskan dan berjaya menghadapi cabaran yang datang. ( Kekuatan dalaman saya amat penting dalam hal ini )

2) Kepuasan bekerja : Kini saya rasa, saya tidak memerlukan sebarang jawatan untuk menyumbang dalam kerjaya ini. Jawatan mungkin akan membantutkan perjuangan saya dan mungkin tidak memberikan kepuasan kepada saya dalam berkhidmat kepada pelajar. ( Bukan jawatan yang saya idamkan ).

3) Phd : Kini saya keliru antara mengorbankan pelajar untuk belajar atau mengorbankan belajar untuk pelajar. Mungkin bagi sesetengah pihak mereka tidak merasai apa yang saya rasa. Mana mungkin saya korbankan Phd hanya untuk pelajar. Keseronokan saya ialah apabila bersama dengan pelajar-pelajar. ( Mereka memberikan harapan yang baik kepada saya untuk generasi masa hadapan ).

4) Perjuangan : Kini saya masih meneruskan perjuangan Islam dalam masyarakat, ia menuntut sedikit pengorbanan masa, tenaga dan lain-lain dari saya. Bila ingin melakukannya saya dapati saya sudah kehabisan tenaga, tapi saya gagahkan juga demi Allah swt. ( Inilah perjuangan yang saya nak bawa kepadaNYA bila saya menemuiNYA ).

5) Kepuasan hidup : Kini saya seronok dengan kehidupan saya sekeluarga. Kami puas dengan apa yang kami ada. Allah swt telah melengkapkan kehidupan kami. Kami amat bersyukur pada Yang Maha Esa. Kadang-kadang saya berfikir untuk hanya menjadi guru biasa dan menjadi ketua bagi sebuah keluarga yang saya kasihi dengan meneruskan sumbangan saya pada pelajar dan masyarakat di sekitar saya. ( Tapi adakah setakat itu yang DIA kehendaki ).

Saya akan teruskan kehidupan ini bersama dengan kekeliruan ini.

Saya akan membiarkan masa dan keadaan yang menentukan.
Saya akan melakukan yang terbaik dalam setiap perkara.
Saya akan menjadi hambaNYA yang setia
Biarkan DIA yang memutuskannya

Wassalam