Monday, June 18, 2007

Matlamat 'Ustaz Habib' Di Oxford UK

Hari ini saya nak bercerita dan berkongsi pengalaman kepada anak-anak murid saya yang sentiasa membaca dan mengikuti perkembangan blog saya. Ada yang bertanya apakah matlamat dan tujuan saya datang ke UK khususnya Oxford. Apabila saya memikirkan 'entry' ini, bukan senang untuk saya mula menulis, saya risau takut disalahertikan oleh pembaca-pembaca misteri yang tidak mengenali dan memahami saya. Tapi saya gagahkan juga untuk menulis kerana saya rasa mungkin ada unsur teladan dan sempadan dalam pengalaman hidup saya kepada kaum remaja dan muda anak-anak murid saya dalam menjalani kehidupan mereka yang masih baru di dunia ini. Yang baik jadikanlah teladan yang buruk jadikan sempadan.

Tujuan utama saya dan keluarga datang ke sini ialah untuk menyokong isteri yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat PHD. Kalau dari awal-awal kahwin dulu dia memang dah lama nak sambung belajar di UK ni, tapi saya yang berkeras tak bagi sebab saya masih baru memulakan karier saya sebagai guru. Kini setelah 7 tahun berkhidmat sebagai guru dan saya telah berjaya mencapai banyak kejayaan dalam bidang ini seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ( APC ) dari Kementerian Pendidikan Malaysia dan memperolehi Ijazah Sarjana Pendidikan Bahasa Arab dari Universiti Kebangsaan Malaysia barulah saya membenarkan isteri saya menyambung kembali usahanya yang terhenti selama ini.

Pada awalnya usaha kami untuk ke UK terhenti seketika apabila biasiswa yang paling tinggi yang kami target tak dapat. Kami tak nak terima biasiswa yang rendah dari target kami, memandangkan hidup kami sudah agak sempurna di Malaysia, jadi kenapa kami perlu memilih untuk merana di negara orang. Sikap yang kami ambil ini adalah kerana isteri saya perlu bercuti tanpa gaji dari MMU jika berhasrat untuk menyambung pelajaran di tempat lain begitu juga saya. Saya juga yakin dengan kemampuan isteri kerana beliau merupakan pelajar yang cemerlang di zaman pembelajarannya di sekolah dan universiti. Beliau merupakan graduan kelas pertama bidang kejuruteraan dari University College London UK. Jadi saya memilih untuk bersabar dahulu sementara mendapat tawaran yang lebih lumayan. Akhirnya rezeki kami datang juga, apabila isteri saya menghantar surat tawaran belajar dari Oxford University UK kepada Telekom Malaysia. Mereka bersetuju untuk menawarkan biasiswa yang lebih tinggi dari yang kami target. Apabila semua urusan selesai kami berdua memohon cuti tanpa gaji dari majikan-majikan kami dan terbang ke UK.

Itu matlamat pertama. Kedua, saya selalu berfikir bagaimana nak dapat 'duit besar' secara mudah tetapi tanpa unsur syubhat dan haram sedikit pun. Dari dulu sampai sekarang kami memang tak berani nak masuk apa-apa saham di Malaysia walaupun ada duit lebih, bukan apa takut syubhat, risau kalau-kalau duit yang diterima tak berkat dan memberi kesan negatif kepada hidup saya sekeluarga di dunia dan akhirat. Akhirnya kami hanya memilih untuk menabung dan masuk saham-saham yang kami benar-benar yakin halal dari segi syara'. Jadi bila saya diberikan peluang oleh Allah swt untuk ke UK yang memang nilai 'pound sterling'nya sangat tinggi (tujuh kali ganda lebih waktu itu), apa lagi, inilah peluang saya buat duit besar. Saya sudah memohon apa sahaja kerja di Oxford sebelum saya datang lagi, kerana saya sedar dengan biasiswa sahaja walaupun tinggi masih belum boleh 'buat duit', saya mesti rebut peluang ini. Alhamdulillah selepas sebulan setengah saya menganggur di sini baru saya dapat kerja sebagai 'domestic assistant' di Radcliffe Infirmary Hospital Oxford, kerja yang saya buat ini cuma 3 jam sehari selepas isteri saya balik dari belajar di universiti selama 5 hari seminggu, bermula isnin hingga jumaat. Hanya dengan 15 jam seminggu bekerja sudah cukup untuk menampung balik gaji yang saya tak dapat di Malaysia kerana bercuti tanpa gaji. Memang lumayan. Tapi ini belum mencapai matlamat saya. Saya teruskan usaha mencari kerja lain yang lebih baik agar saya boleh berhenti kerja yang saya buat sekarang. Ditaqdirkan tuhan setelah 2 bulan lebih bekerja di situ saya berjaya mendapat kerja lain sebagai penyelia bangunan sekolah yang digabungkan dengan Pusat Muzik Oxford, kerjanya hanya 15 jam seminggu dan hanya 3 hari bekerja, selasa, jumaat dan sabtu, serta saya selalu ditugaskan untuk membuat 'overtime'. Alhamdulillah gaji saya bertambah sekali ganda lagi kerana kadar bayarannya lebih tinggi.

Saya pun berhenti kerja yang pertama. Bagi saya bekerja 3 hari seminggu tidak cukup kerana saya sememangnya seorang yang aktif bekerja di Malaysia. Suatu hari saya nampak satu iklan di surat khabar tempatan yang menawarkan kerja 'sunday cleaner' dari pukul 7.30 am hingga 11.30 am di Bicester Village di 4 kedai iaitu Versace, Christian Dior, Starbuck dan Pret and Manger hanya 15 minit memandu dari Oxford dengan kadar bayaran yang tinggi untuk 4 jam bekerja sahaja. Dengan hanya bekerja 16 jam sebulan gajinya sudah menyamai gaji kerani kerajaan Malaysia yang telah berkhidmat selama 15 tahun. Memang berbaloi. Lebih kurang lapan bulan saya berterusan dengan dua kerja separuh masa ini. Seperti biasa, saya memang tak puas hati dengan dua kerja ini kerana masih belum maksima rasanya dalam memenuhi matlamat saya ini. Akhirnya dengan pengalaman berkerja selama setahun sebagai penyelia bangunan di Oxford ini, saya cuba memohon jawatan ' early morning receptionist' waktu berkerja dari 5.45 am hingga 7.45 am, hanya 10 jam seminggu dan waktu ini memang tidak mengganggu jadual pengajian dan persekolahan isteri dan anak lelaki saya serta jadual dua kerja saya yang terdahulu. Akhirnya saya dapat kerja ini dengan gaji yang lebih lumayan dari penyelia bangunan.

Hanya sebulan sahaja saya mampu untuk melakukan 3 kerja separuh masa. Bulan berikutnya saya berhenti kerja 'sunday cleaner' dan hanya menumpukan kepada 2 kerja. Kerja penyelia bangunan memang banyak 'overtime' dan sekali sekala ada juga 'overtime' untuk kerja receptionist. Berbekalkan dengan dua kerja yang kadar bayarannya agak tinggi ini saya yakin matlamat saya untuk buat 'duit besar' akan tercapai. Buktinya dengan gaji tahun yang pertama 2005 sahaja saya berada di sini saya sudah mampu membeli kereta Mercedes Benz E200 Kompressor model 2001. Bagi gaji 2006, 2007 dan 2008 saya akan bawa balik ke Malaysia. Siapa kata datang ke Oxford UK tak boleh buat duit besar. Kami agak beruntung kerana biasiswa yang kami dapat dari TM sudah melebihi keperluan kami di sini, alhamdulillah. Rumah yang kami beli di Malaysia pun kami dapat bayar untuk 3 tahun sekaligus dengan duit 2 kereta kami yang telah kami jual sebelum datang ke sini dan duit simpanan untuk menunaikan umrah dan haji pun telah kami cukupkan di Tabung haji. Begitu juga dengan insuran takaful kami sekeluarga dapat kami bayar melalui duit sewa rumah kami yang sampai sekarang masih ada penyewa. Jadi duit hasil dari kerja saya di sini hanya untuk di bawa balik ke Malaysia.

Saya bersyukur kerana kami diberi peluang berada di Oxford ini. Matlamat ketiga ialah anak-anak saya dapat bersekolah di sini. Alhamdulillah Hafiy Syafiqy telah pun dua tahun bersekolah di sini dan pada bulan September 2007 nanti dia akan bertukar ke sekolah yang lebih baik, begitu juga Hannan Sofea akan mula bersekolah January 2008. InsyaAllah semuanya akan berjalan seperti yang dirancang, kerana kami dijangka pulang ke Malaysia pada Ogos 2008. Keempat saya harap saya sekeluarga dapat bertutur Bahasa Inggeris dengan lebih baik bila berada di sini. Bukannya saya berbangga sangat dengan bahasa penjajah ini, tapi situasi sekarang yang meletakkan bahasa ini bahasa yang terpenting di dunia. Apalagi dengan keadaan di Malaysia yang sangat mementingkan bahasa ini, sehinggakan banyak matapelajaran yang diajar di sekolah di malaysia sekarang menggunakan Bahasa Inggeris, begitu juga dengan alam pekerjaan yang sangat mementingkan bahasa ini. Alhamdulillah setelah 2 tahun 2 bulan kami di sini Bahasa Inggeris kami semakin baik.

Itu sahaja matlamat besar kami, matlamat-matlamat kecil tak perlulah saya tulis di sini. Cuma, yang saya amat bersyukur sekali ialah walaupun kesibukan saya sekeluarga mengejar matlamat-matlamat kami, saya masih berjaya meneruskan kerja-kerja dakwah Islamiyyah yang telah menjadi darah daging saya, cuma saya hanya menumpukan kepada rakan-rakan Malaysia Muslim sahaja di sini. Dengan Program mingguan, bulanan dan tahunan samaada secara nyata atau 'online'. Saya juga masih dapat meneruskan tradisi saya membantu rakan-rakan di sini yang memerlukan bantuan samaada dari sudut kewangan yang pernah mencecah ribu pound sterling, juga dari segi kenderaan, nasihat, masa dan tenaga. Saya merasa bersyukur dan puas kerana dapat membantu dalam segala hal. Memang cita-cita saya untuk menjadi seorang yang cukup dan mencukupi keperluan orang-orang yang susah dan memerlukan pertolongan.

Akhirnya, saya berdoa kepada Yang Maha Esa agar menjauhkan diri dan hati saya sekeluarga dari sifat-sifat mazmumah agar saya terus diredhai olehNYA sehingga qiamat dan dimasukkan ke syurga bersama Para Nabi saw dan Para Solihin. Yang baik itu hanya dariNYA dan jadikanlah teladan hidup dan yang tidak baik itu saya mohon ampun dariNYA dan jadikanlah sempadan hidup.

Monday, June 04, 2007

Kad Harijadi YTT Oxford UK



Kad Harijadi untuk Warga Malaysia Muslim Oxford UK yang menghadiri Program Yaasin Tahlil Tazkirah. InsyaAllah kad ini akan saya anugerahkan kepada setiap ahli pada setiap bulan bermula dari bulan Mei 2007 hingga April 2008. Terima kasih kepada Cik Afidalina Tumian kerana sudi mereka dan menguruskan penganugerahan kad ini pada setiap bulan. Wassalam

Yaasin Tahlil Tazkirah Oxford UK

http://oxfordytt.multiply.com/

Saturday, June 02, 2007

Buletin YTT Oxford UK Edisi 1


Buletin Yaasin Tahlil Tazkirah Oxford UK Edisi 1